Soalan:

Assalamualaikum Dato Seri, boleh Dato Seri terangkan, apakah dia sunnah yang telah ditinggalkan, terutama apabila kita bertemu dengan orang ramai?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Pertamanya, sebagai seorang islam, sunnah nabi aula kita ikuti dan menjadi pegangan kepada kita. Dr Yusuf al-Qaradhawi telah menyebut dalam bukunya Kaifa Na’amal Ma’a al-Sunnah al-Nabawiyyah, cara dan bagaimana kita berinteraksi dengan Sunnah Nabi.

Saya kemukakan terlebih dahulu dalil yang mengajar kita mengikut sunnah. Firman Allah SWT:

قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللَّـهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّـهُ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah akan mengasihi kamu.”

(Surah ali-Imran: 31)

Firman Allah SWT:

وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا

Maksudnya: “Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya.”

(Surah al-Hasyr: 7)

Adapun hadis Nabi SAW:

Daripada ‘Irbadh bin Sariyah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِيْنَ الْمَهْدِيِّيْنَ.

Maksudnya: “Hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah para khulafa’ al-Rasyidin yang mendapat petunjuk.” [1]

Riwayat Abu Daud (4607), al-Tirmizi (2672), Ibn Majah (44), Ahmad (17144). Syeikh Syu’aib menyatakan hadis ini sahih dalam takhrij al-Musnad.

Antaranya riwayat daripada Kathir bin Abdillah bin Amr bin Auf, daripada bapanya, daripada datuknya (Auf R.A), bahawa Rasulullah SAW bersabda:

تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ

Maksudnya: “Aku telah tinggalkan buat kalian dua perkara yang kalian tidak akan sesat selama-lamanya selagi mana kalian berpegang pada keduanya iaitu kitab Allah dan sunnah nabi-Nya.”

Riwayat Imam Malik dalam al-Muwatta’ (3)

Menjawab persoalan di atas, antara sunnah yang terkadang kita lupa lakukan adalah memberi salam sama ada orang yang kita kenal atau tidak. Begitu juga, membaca doa kaffarah majlis. Inilah yang diajar oleh Rasulullah SAW. Doa tersebut ialah:

سُبحانَكَ اللَّهمَّ وبحمدِكَ، أشهدُ أن لا إلَهَ إلَّا أنتَ أستغفرُكَ وأتوبُ إليكَ.

Maksudnya: “Maha Suci Allah dan segala pujian hanya untuk-Mu, aku memohon keampunan daripada-Mu dan aku bertaubat kepada-Mu.” [2]

Semoga kita dapat memahami sunnah-sunnah nabi dan mempelajarinya seterusnya dapat mengamalkannya dalam kehidupan kita selaras dengan perintah Tuhan dan Rasul-Nya SAW.

[1] Antara istifadah daripada hadith ini adalah wajibnya mengikut sunnah Nabi SAW. Inilah jalan penyelamat iaitu dengan kembali kepada sunnah Nabi SAW dan sunnah Khulafa’ al-Rasyidin. (Lihat al-Kafi Syarah Hadith 40, hlm. 266)

[2] Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَن جلسَ في مجلِسٍ فَكَثرَ فيهِ لغطُهُ، فقالَ قبلَ أن يقومَ من مجلسِهِ ذلِكَ: سُبحانَكَ اللَّهمَّ وبحمدِكَ، أشهدُ أن لا إلَهَ إلَّا أنتَ أستغفرُكَ وأتوبُ إليكَ، إلَّا غُفِرَ لَهُ ما كانَ في مجلِسِهِ ذلِكَ

Maksudnya: Sesiapa yang duduk dalam satu majlis, maka banyaklah salah dan silapnya. Justeru, dia berkata sebelum bangkit daripada majlis tersebut: ‘سُبحانَكَ اللَّهمَّ وبحمدِكَ، أشهدُ أن لا إلَهَ إلَّا أنتَ أستغفرُكَ وأتوبُ إليكَ’ melainkan ia diampunkan dosanya selama mana dia berada dalam majlis tersebut. [Riwayat al-Tirmizi (3433), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (10330) dan Ahmad (10415)]

Bertarikh: 5 April 2023 bersamaan 14 Ramadhan 1444H

Leave a Reply