Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Di pejabat saya, terdapat pantri di mana yang disediakan oleh pihak majikan. Soalan saya, bolehkah peralatan seperti pinggan, mangkuk, span yang telah digunakan oleh rakan sekerja bukan Islam, dikongsi dengan pekerja Islam?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan hadith daripada Abu Tha‘labah al-Khusyani bahawa beliau bertanya kepada Rasulullah SAW:

يَا نَبِيَّ اللَّهِ، إِنَّا بِأَرْضِ قَوْمٍ مِنْ أَهْلِ الكِتَابِ، أَفَنَأْكُلُ فِي آنِيَتِهِمْ؟ قَالَ: أَمَّا مَا ذَكَرْتَ مِنْ أَهْلِ الكِتَابِ، فَإِنْ وَجَدْتُمْ غَيْرَهَا فَلاَ تَأْكُلُوا فِيهَا، وَإِنْ لَمْ تَجِدُوا فَاغْسِلُوهَا وَكُلُوا فِيهَا

Maksudnya: “Wahai Nabi Allah, sesungguhnya kami berada di negeri Ahli Kitab, maka bolehkah kami makan menggunakan bekas-bekas mereka? Baginda SAW bersabda: ‘Adapun apa yang engkau sebutkan berkenaan dengan Ahli Kitab, sekiranya engkau mempunyai (bekas-bekas) selain daripadanya, maka janganlah engkau makan menggunakannya. Sekiranya kamu tidak mempunyai (bekas-bekas lain), maka cucilah ia dan makanlah menggunakan bekas-bekas tersebut.’”

Riwayat al-Bukhari (5478)

Para ulama menyebutkan, hadith ini dapat difahami bahawa bekas-bekas itu telah digunakan untuk memasak dan meminum bahan-bahan bernajis sebagaimana hal tersebut telah dinyatakan secara jelas dalam riwayat Abu Tha‘labah yang lain, katanya:

إِنَّا نُجَاوِرُ أَهْلَ الْكِتَابِ، وَهُمْ يَطْبُخُونَ فِي قُدُورِهِمْ الْخِنْزِيرَ، وَيَشْرَبُونَ فِي آنِيَتِهِمْ الْخَمْرَ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنْ وَجَدْتُمْ غَيْرَهَا، فَكُلُوا فِيهَا وَاشْرَبُوا، وَإِنْ لَمْ تَجِدُوا غَيْرَهَا فَارْحَضُوهَا بِالْمَاءِ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا

Maksudnya: “Sesungguhnya kami telah berjiran dengan Ahli Kitab. Mereka memasak daging babi dalam periuk-periuk mereka dan meminum arak menggunakan bekas-bekas minuman mereka. (Justeru, bolehkah kami menggunakan bekas-bekas itu)? Rasulullah SAW bersabda: ‘Jika engkau dapat menggunakan (perkakas-perkakas) yang lain, maka makan dan minumlah menggunakannya. Jika engkau tidak dapat selainnya, maka cucilah ia dengan air, kemudian makan dan minumlah (dengan menggunakannya).’”

Riwayat Abu Daud (3839)

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa kenyataan al-Syirazi yang berpendapat makruh menggunakan bekas-bekas orang kafir dan pakaian-pakaian mereka sama ada mereka dalam kalangan Ahli Kitab atau selainnya, begitu juga sama ada mereka menggunakan najis dalam pengamalan agamanya atau selainnya adalah bermaksud jika tidak yakin atau pasti akan kebersihan bekas-bekas dan pakaian-pakaian itu. 

Hal ini kerana jika yakin dan pasti akan kebersihan perkakas-perkakas atau pakaian-pakaian mereka, maka ulama mazhab Syafi‘i berpendapat bahawa hukumnya tidak lagi makruh ketika itu untuk menggunakannya, sama seperti pakaian seorang Muslim. Di antara ulama yang menjelaskan hal ini ialah al-Mahamili dalam al-Majmu‘, al-Bandaniji, al-Jurjani dalam al-Bulghah, al-Baghawi, dua pemilik kitab al-‘Uddah dan al-Bayan dan selain mereka, dan kami tidak ketahui adanya perbezaan pendapat dalam masalah ini. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/263-264)

Para pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut: “Adalah harus menggunakan bekas orang kafir, dan ini berdasarkan hadis daripada Abu Tha’labah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

فَاغْسِلُوهَا وَكُلُوا فِيهَا

Maksudnya: “Basuhlah bekas tersebut dan makanlah dengannya.”

Riwayat al-Bukhari (5161)

Perintah membasuh bekas adalah sunat kerana ia mungkin telah tercemar disebabkan orang kafir menggunakannya untuk minum arak, makan babi dan sebagainya. Demikian juga hukum menggunakan pakaian mereka dan seumpamanya sama dengan hukum menggunakan bekas mereka. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/37)

Syeikh Dr. Muhammad al-Zuhaili berkata: Perintah untuk membasuhnya adalah sunat kerana orang bukan Islam tidak menghindarkan diri mereka daripada bahan-bahan bernajis. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/50-51)

Justeru, kami katakan selagi mana tidak zahir najis maka ihtiyat seperti pendapat ramai ulama berdasarkan nas hadith hendaklah dibasuh bekas tersebut sebelum menggunakannya. Semoga kita dikurniakan kefahaman dalam agama dan seterusnya dapat mengamalkannya.

Bertarikh:17 April 2023 bersamaan 26 Ramadhan 1444H

Leave a Reply