Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, saya ada pertanyaan nak tanya. Selama ini saya mandi wajib dalam bath tub dan saya baru tahu bath tub saya kurang daripada dua kolah. Saya berasa agak terbeban setelah dapat tahu perkara ini. Perlu ke saya ulang semua solat yang saya lakukan selama ini?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam sebuah hadith Abdullah Ibn ‘Umar daripada bapanya, katanya aku mendengar Rasulullah SAW ketika ditanya tentang air yang berada di padang atau tanah lapang yang digunakan oleh binatang ternakan dan binatang buas. Lantas Rasulullah SAW berabda:

‏ إِذَا بَلَغَ الْمَاءُ قُلَّتَيْنِ لَمْ يُنَجِّسْهُ شَىْءٌ

Maksudnya: “Apabila air mencapai dua kolah, maka ia tidak dinajiskan oleh sesuatu.”

Riwayat Ibn Majah (517), Ahmad (5803), Nasa’ie (52), dan Tirmizi (67)

Dalam hadith ini, diukur nilai dua kolah yang tidak membawa najis iaitu sekitar:

  • Dua Kolah ataupun dalam istilah arabnya, qullah (قُلَّة) ialah 500 kati Baghdad, bersamaan 192.857 kg atau 1 ¼ hasta padu. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/175)
  • Sebenarnya sukatan atau kadar air yang dikemukakan oleh ulama’ berkenaan dengan dua qullah bersifat taqribi bukan tahdidi atau tepat. Dr Wahbah al-Zuhaili dalam al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh menyebut nilainya seperti berikut:
    • Dari segi timbangan iaitu 446 3/7 kati Mesir, 81 kati Syam (1 kati Syam bersamaan 2.5 kg. justeru, 2 qullah bersamaah 195.113 kg).
    • Dari segi sukatan 10 tin (ada pendapat mengatakan 15 tin atau 270 liter).
    • Dari segi ukuran 1 ¼ hasta segi empat panjang, lebar dan dalam berdasarkan hasta sederhana. Bagi bekas bulat pula seperti telaga 2 hasta dalam dan 1 hasta lebar. Menurut pandapat ulama’ Hanbali, ukurannya ialah 2 ½ hasta dalam dan 1 hasta lebar. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 1/273)
  • Majlis Agama Islam Singapura juga mentakrifkan dua kolah sebagai 270 liter. 
  • Mengikut Dr Abdul Salam Muhammad Shukri, dari Kulliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, ukuran dua kolah adalah isi padu air kira-kira 9 ¾ tin minyak tanah atau 192.121 kilogram.

Berdasarkan kepada hal ini, jika benar tidak mencukupi, maka air tersebut menjadi air musta’mal selepas digunakan dan tidak bertukar kepada mutlak. Justeru, cuba pastikan terlebih dahulu jumlah air yang terdapat dalam bath tub anda. Ini kerana, air musta’mal tidak boleh digunakan untuk bersuci, daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW:

لَا يَغْتَسِلْ أَحَدُكُمْ فِي الْمَاءِ الدَّائِمِ وَهُوَ جُنُبٌ فَقَالَ كَيْفَ يَفْعَلُ يَا أَبَا هُرَيْرَةَ؟ قَالَ َتَنَاوَلُهُ تَنَاوُلًا

Maksudnya: “Janganlah seseorang kamu mandi dalam air yang tetap tidak mengalir sedangkan dia berada dalam keadaan berjunub.”

Lalu Abu Hurairah ditanya: “Bagaimana sepatutnya dia lakukan wahai Abu Hurairah?,” Lalu dia menjawab: “Mengambilnya satu persatu.”

Riwayat Muslim (283)

Imam al-Nawawi berkata: Tiada masalah khilaf sekiranya air itu kekal dua kolah, namun jika dia turun menyelam pada air yang tidak mencapai dua kolah, maka harus dilihat:

  • Sekiranya dia turun tanpa niat, dan kemudian dia berniat ketika berada di dalam air untuk mengangkat hadas, maka terangkatlah hadasnya, jikalau dia bukan di dalam situasi ini, maka air itu akan terus menjadi musta’mal berdasarkan pendapat sahih yang diputuskan oleh jumhur.
  • Sekiranya dia turun ke dalam air dalam keadaan berniat, maka air tersebut akan menjadi musta’mal kepada orang lain berdasarkan pandangan yang sahih, dan padanya terdapat pandangan al-Baghawi, iaitu terangkat junubnya berdasarkan kadar air yang terkena ketika awal penurunannya ke dalam air, dan adakah terangkat junub pada badannya yang berbaki? Pandangan yang sahih dan disepakati oleh ahli kami, adalah terangkat hadasnya, kerana air tersebut menjadi musta’mal jika ianya terpisah daripada badan. Sekiranya air itu masih lekat dengan badannya, maka air tersebut belum menjadi musta’mal sehingga air tersebut terpisah daripada badannya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/165)

Oleh kerana isunya anda dalam keadaan jahil saya mengharapkan kepada Allah SWT agar Allah SWT menerima ibadat anda dan mengampuni kesilapan yang dilakukan. Begitu juga ia merupakan salah satu pendapat yang dianggap sah seperti nukilan kitab al-Majmu‘ di atas. 

Kesilapan yang lalu kita mengharapkan keampunan dan penerimaan dari-Nya. Ini berdasarkan hadith Nabi SAW:

رُفِعَ عَنْ أُمَّتِيْ الخَطَأُ وَالنِّسْيَانُ وَمَا اسْتُكْرِهُوْا عَلَيْهِ

Maksudnya: “Telah diangkat (dibebaskan) umatku kepada yang tersalah, terlupa dan yang dipaksa ke atasnya.”

Riwayat Ibn Majah (1677) dengan lafaz ‘إنّ اللهَ وضَعَ عن أمَّتي الخطَأَ والنِّسيانَ وما استُكرِهوا عليهِ’. Dinyatakan sebagai sahih dalam Sahih Ibn Majah. Manakala hadis dengan lafaz di atas pula, Imam al-Nawawi menghukumnya sebagai sahih. (Lihat al-Majmu’, 8/450)

Justeru, saya katakan anda termasuk di kalangan yang tersilap dan tersalah di samping kejahilan yang membelenggu. Marilah kita berdoa kepada Allah SWT:

رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami.”

(Surah al-Baqarah: 286)

Semoga Allah SWT sentiasa faqihkan kita dalam agama.

Bertarikh:19 April 2023 bersamaan 28 Ramadhan 1444H

Leave a Reply