Soalan

Assalamualaikum Ustaz. Saya ada satu soalan. Adakah benar kita boleh memilih untuk tidak pergi menunaikan solat Jumaat, jika sudah menghadiri solat Hari Raya pada sebelah paginya? Mohon pencerahan. Terima kasih. 

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” 

(Surah al-Jumu‘ah : 9)

Ayat di atas adalah di antara dalil pensyariatan dan kewajipan solat Jumaat. Selain itu, solat Jumaat juga termasuk dalam beberapa kelebihan yang dikurniakan khusus kepada umat Nabi Muhammad SAW supaya mereka mendapat kemuliaan hari Jumaat tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/198). Hal ini berdasarkan hadith, daripada Abu Hurairah R.A, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

نَحْنُ الآخِرُونَ السَّابِقُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، بَيْدَ أَنَّهُمْ أُوتُوا الْكِتَابَ مِنْ قَبْلِنَا، ثُمَّ هَذَا يَوْمُهُمُ الَّذِى فُرِضَ عَلَيْهِمْ فَاخْتَلَفُوا فِيهِ، فَهَدَانَا اللَّهُ، فَالنَّاسُ لَنَا فِيهِ تَبَعٌ، الْيَهُودُ غَدًا وَالنَّصَارَى بَعْدَ غَدٍ

Maksudnya: “Kita adalah umat yang terakhir (lahir ke dunia) dan umat yang terdahulu (menikmati kelebihan, ganjaran dan masuk syurga) pada hari kiamat walaupun mereka (umat terdahulu) diberikan kitab (syariat samawi) sebelum kita. Hari Jumaat ialah hari yang telah difardhukan atas mereka (untuk mendampingkan diri kepada Allah) tetapi mereka telah mempertikaikannya. Lalu Allah memberi petunjuk kepada kita sedangkan mereka menerima hari-hari berikutnya, iaitu Yahudi pada hari Sabtu dan Nasrani pula pada hari Ahad.

Riwayat (876) dan Muslim (855)

Solat Jumaat adalah wajib

Pada asasnya solat Jumaat adalah suatu kewajipan atau wajib ain bagi kaum lelaki yang memenuhi syarat-syaratnya iaitu beragama Islam, baligh, berakal, merdeka sepenuhnya (yakni bukan hamba), sihat tubuh badan dan bermukim di tempat solat Jumaat didirikan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/200-201; Matla‘ al-Badrain, disusun oleh PMWP, 1/159). 

Selain itu, terdapat riwayat daripada Tariq bin Syihab R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ

Maksudnya: “Solat Jumaat adalah hak yang wajib ke atas setiap lelaki Muslim.”

 Riwayat Abu Daud (1067)

Begitu juga riwayat daripada Abu Hurairah dan Ibn Umar R.Anhum, mereka berdua mendengar Rasulullah SAW bersabda ketika Baginda berada di atas mimbarnya:

لَيَنْتَهِيَنَّ أَقْوَامٌ عَنْ وَدْعِهِمُ الْجُمُعَاتِ أَوْ لَيَخْتِمَنَّ اللَّهُ عَلَى قُلُوبِهِمْ ثُمَّ لَيَكُونُنَّ مِنَ الْغَافِلِينَ

Maksudnya: “Hendaklah sesuatu kaum itu daripada meninggalkan solat Jumaat atau Allah akan menutup hati-hati mereka, akibatnya mereka akan menjadi golongan yang lalai.”

Riwayat Muslim (865)

Bahkan menurut Ibn Munzir menyebutkan bahawa mereka (kaum Muslimin) telah berijma‘ bahawa sesungguhnya solat Jumaat itu adalah wajib ke atas orang-orang lelaki yang merdeka, baligh, bermukim lagi tiada uzur yang menghalangi mereka. (Lihat al-Ijma‘, hlm 40).

Justeru, pensyariatan solat Jumaat adalah disepakati kewajipannya kepada kaum lelaki yang memenuhi syarat-syaratnya berdasarkan nas dan kesepakatan umat Islam.

 Solat Hari Raya adalah sunat muakkad

Solat Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha adalah disyariatkan di dalam Islam. Sementara dalil pensyariatannya pula ialah firman Allah SWT yang ditujukan kepada Nabi SAW:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَٱنْحَرْ

Maksudnya: “Oleh itu, kerjakanlah solat kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).

(Surah al-Kauthar: 2)

Arahan mengerjakan solat dalam ayat di atas menurut ulama tafsir adalah solat Aidiladha. Ini berdasarkan hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Sa‘id al-Khudri R.A bahawa:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ يَوْمَ الفِطْرِ وَالأَضْحَى إِلَى الـمُصَلَّى فَأَوَّلُ شَيْءٍ يَبْدَأُ بِهِ الصَّلاَةُ ثُمَّ يَنْصَرِفُ فَيَقُومُ مُقَابِلَ النَّاسِ وَالنَّاسُ جُلُوسٌ عَلَى صُفُوفِهِمْ فَيَعِظُهُمْ وَيُوصِيهِمْ، وَيَأْمُرُهُمْ، فَإِنْ كَانَ يُرِيدُ أَنْ يَقْطَعَ بَعْثًا قَطَعَهُ أَوْ يَأْمُرَ بِشَيْءٍ أَمَرَ بِهِ ثُمَّ يَنْصَرِفُ

Maksudnya: “Rasulullah SAW pergi ke Musalla (tempat sembahyang) pada hari Aidilfitri dan Aidiladha. Perkara pertama yang Baginda lakukan ialah solat. Kemudian, Baginda berpaling menghadap orang ramai yang masih duduk di dalam saf mereka, lalu Baginda memberikan nasihat dan menyampaikan apa-apa arahan kepada mereka. Jika hendak menghantar pasukan pejuang atau menyampaikan apa-apa arahan, Baginda membuat keputusan dan mengarahkannya pada masa itu. Selepas itu, Baginda pun bersurai.”

Riwayat al-Bukhari (913) dan Muslim (889)

Musalla ialah kawasan lapang seperti padang dan sebagainya. Jumhur ulama menyebut adalah sunat kita melakukan solat Aidilfitri dan Aidiladha di Musalla (tempat yang lapang atau padang). Imam al-Nawawi menyebutkan, hadith ini menjadi dalil bahawa sunat mengerjakan solat hari raya di tempat lapang dan ia lebih afdal daripada mendirikannya di masjid. (Lihat al-Minhaj fi Syarh Muslim, 6/177).

Begitulah juga apa yang disebutkan oleh al-hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani. Akan tetapi bagi mazhab al-Syafi‘i tidak mengapa ditunaikan solat hari raya di masjid sebagaimana yang kita lihat pada hari ini,  khususnya jika masjid boleh menampung bilangan jemaah yang ramai. (Lihat Fath al-Bari, 2/450).

Selain daripada itu, tidak ada khilaf dalam kalangan umat Islam bahawa solat hari raya adalah diperintahkan perlaksanaannya secara ijma‘. Namun, para ulama berselisih berkenaan hukumnya sama ada sunat muakkad atau fardhu kifayah.

Jumhur ulama yang terdiri daripada Imam Abu Hanifah, Malik, al-Syafi‘i, Daud dan satu riwayat daripada Imam Ahmad bin Hanbal menyatakan, hukumnya adalah sunat muakkad (yakni sangat dituntut dan meninggalkannya adalah makruh).

Manakala sebahagian ulama mazhab Hanafi dan satu riwayat daripada Imam Ahmad bin Hanbal menyatakan, hukumnya adalah fardhu kifayah. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 5/3).

Status Solat Jumaat Jika Berbetulan dengan Hari Raya

Berbalik kepada soalan yang diajukan, sememangnya terdapat khilaf dalam kalangan ulama berkenaan perkara ini, di mana apabila hari raya dan hari Jumaat jatuh pada hari yang sama, maka adakah solat Jumaat tetap wajib ditunaikan seperti mana hukum asalnya atau terdapatnya rukhsah untuk meninggalkannya bagi sesiapa yang sudah mendirikan solat hari raya pada paginya. Ringkasnya, mereka berselisih berkenaan hal tersebut kepada beberapa pendapat:

Pendapat yang Pertama

Ini adalah pendapat jumhur ulama di mana mereka menyatakan bahawa solat Jumaat tidak gugur dan mereka yang dianggap sebagai ahl al-balad (orang yang tinggal dalam pusat bandar/pekan/kampung/karyah) adalah tetap wajib menunaikan fardhu Jumaat. Namun, mereka berbeza pendapat bagi ahl al-qura

Menurut mazhab al-Syafi‘i, pendapat yang muktamad adalah hukum solat Jumaat tidak gugur apabila solat raya sudah dilaksanakan bagi orang yang berstatus ahl al-balad, manakala ahl al-qura pula boleh memilih sama ada untuk menunaikan solat Jumaat atau solat Zuhur sahaja.

Imam al-Syafi‘i dan ashabnya menyebutkan, jika bertemu hari Jumaat dan hari raya dalam satu hari yang sama, dan ahl al-qura — yang diwajibkan menunaikan solat Jumaat kerana telah sampai azan daripada balad kepada mereka — hadir, lalu mereka mendirikan solat hari raya. Maka kefardhuan solat Jumaat ke atas ahl al-balad tidak gugur tanpa sebarang khilaf. Sebaliknya ke atas ahl al-qura terdapat dua wajah (pendapat dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i). Pendapat yang sahih lagi dinaskan oleh Imam al-Syafi‘i dalam al-Umm dan pendapat qadimnya bahawa solat Jumaat digugurkan (yakni tidak wajib dan diganti Zuhur). Manakala pendapat kedua menyatakan, ia tidak gugur dan dalilnya adalah dalam al-Kitab.

Menurut Imam al-Nawawi, wajah (pendapat) pertama itu juga merupakan pendapat Uthman bin ‘Affan, Umar bin ‘Abd al-‘Aziz dan majoriti ulama.

Mereka berdalilkan athar daripada Uthman bin ‘Affan R.A yang berkhutbah pada hari raya Aidiladha:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ، إِنَّ هَذَا يَوْمٌ قَدِ اجْتَمَعَ لَكُمْ فِيهِ عِيدَانِ، فَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يَنْتَظِرَ الجُمُعَةَ مِنْ أَهْلِ العَوَالِي فَلْيَنْتَظِرْ، وَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يَرْجِعَ فَقَدْ أَذِنْتُ لَهُ

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya hari ini adalah satu hari yang telah berkumpul padanya untuk kalian dua hari raya. Sesiapa yang ingin menunggu (untuk menunaikan solat) Jumaat, daripada kalangan mereka yang tinggal di pinggiran (kota Madinah), maka dia boleh untuk tunggu dan sesiapa yang mahu pulang maka sesungguhnya aku telah memberikan keizinan untuknya.”

Riwayat al-Bukhari (5572)

Imam al-Nawawi menyebutkan, athar daripada Uthman R.A ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam kitab sahihnya, dan lafaz al-‘Aliyah (iaitu al-‘Awali) dalam hadith di atas adalah merujuk kepada kampung yang terletak sebelah timur Madinah. 

Manakala Imam Abu Hanifah pula berpendapat, tidak gugur kefardhuan Jumaat daripada ahl al-balad mahupun ahl al-qura berdasarkan kepada hukum asal wajib solat Jumaat. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/491-492).

Pendapat yang Kedua

Ini adalah pendapat Imam Ahmad bin Hanbal. Mazhab Hanbali menyatakan bahawa jika berkumpul hari raya dan hari Jumaat dalam satu hari yang sama, maka gugurlah kewajipan menghadiri solat Jumaat bagi sesiapa yang sudah melaksanakan solat hari raya, kecuali Imam, tidak kira daripada kalangan ahl al-balad atau ahl al-qura. Akan tetapi diwajibkan untuk mendirikan solat Zuhur. Imam tidak gugur kewajipan daripada menunaikannya kecuali sekiranya tidak berkumpul bilangan orang yang membolehkan solat Jumaat dilaksanakan. (Lihat al-Mughni, 2/265; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/492).

Mereka berdalilkan hadith yang diriwayatkan oleh Iyas bin Abu Ramlah al-Syami, bahawa dia pernah menyaksikan Mu‘awiyah bertanya Zaid bin Arqam: “Adakah engkau pernah bersama dengan Rasulullah SAW apabila dua hari raya berkumpul pada satu hari?” Dia menjawab: “Ya.” Mu‘awiyah bertanya lagi: “Maka apakah yang Baginda lakukan?” Zaid menjawab: “Baginda mendirikan solat hari raya kemudian memberi rukhsah (kemudahan) bagi solat Jumaat, kemudian bersabda:

مَنْ شَاءَ أَنْ يُصَلِّيَ فَلْيُصَلِّ

Maksudnya: “Barangsiapa yang hendak solat (Jumaat) maka solatlah.”

Riwayat Abu Daud (1070); Ibn Majah (1310); Ibn Abi Syaibah (5846) dalam Musannaf; al-Darimi (1653); al-Hakim (1653).

Selain itu, terdapat hadith lain daripada riwayat Abu Hurairah R.A, Ibn Umar R.Anhuma, dan Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اجْتَمَعَ فِي يَوْمِكُمْ هَذَا عِيدَانِ، فَمَنْ شَاءَ أَجْزَأَهُ مِنْ الْجُمُعَةِ، وَإِنَّا مُجَمِّعُونَ إِنْ شَاءَ اللَّهُ

Maksudnya: “Telah berhimpun pada hari kamu ini dua hari raya. Barangsiapa yang berkehendakkan maka memadailah baginya (yakni solat hari raya) daripada (melaksanakan) solat Jumaat. Adapun kami, kami lakukan kedua-duanya sekali, InsyaAllah.”

Riwayat Ibn Majah (1311); Abu Daud (1073); ‘Abd al-Razzaq (5728) dalam Musannaf; al-Hakim (1064). 

Tambahan lagi, mereka juga menyebutkan bahawa solat Jumaat itu hanyalah penambahan khutbah berbanding solat Zuhur. Maka sudah memadai dengan didengar khutbah itu pada solat hari raya. Ini kerana waktu keduanya adalah sama, maka satu menggugurkan satu yang lain seperti solat Jumaat dengan solat Zuhur. (Lihat al-Mughni, 2/266).    

Pendapat yang Ketiga

Ada juga pendapat dalam kalangan ulama yang menyatakan bahawa setelah ditunaikan solat hari raya, maka gugurlah kewajipan solat Jumaat dan solat Zuhur sama ada bagi ahl al-qura ataupun ahl al-balad. Ini adalah pendapat ‘Ata’ bin Abu Rabah RA. Selain itu, Ibn al-Munzir turut menyebutkan bahawa diriwayatkan juga seumpamanya daripada Ali bin Abu Talib dan Abdullah bin Zubair R.Anhum.

Mereke berhujahkan dengan riwayat bahawa suatu ketika bertemu hari raya dan hari Jumaat pada zaman Abdullah bin Zubair. Lalu beliau berkata:

عِيدَانِ اجْتَمَعَا فِي يَوْمٍ وَاحِدٍ فَجَمَعَهُمَا جَمِيعًا فَصَلَّاهُمَا رَكْعَتَيْنِ بُكْرَةً لَمْ يَزِدْ عَلَيْهِمَا حَتَّى صَلَّى الْعَصْرَ

Maksudnya: “Dua hari raya telah bertemu pada hari yang sama, maka dijamakkan keduanya dengan dua rakaat pada awal pagi dan tidak ditambah ke atas kedua-duanya sehingga solat Asar.”

Riwayat Abu Daud (1072). 

Bahkan ‘Ata’ bin Abu Rabah sendiri pernah meriwayatkan bahawa:

صَلَّى بِنَا ابْنُ الزُّبَيْرِ فِي يَوْمِ عِيدٍ، فِي يَوْمِ جُمُعَةٍ أَوَّلَ النَّهَارِ، ثُمَّ رُحْنَا إِلَى الْجُمُعَةِ، فَلَمْ يَخْرُجْ إِلَيْنَا فَصَلَّيْنَا وُحْدَانًا، وَكَانَ ابْنُ عَبَّاسٍ بِالطَّائِفِ، فَلَمَّا قَدِمَ ذَكَرْنَا ذَلِكَ لَهُ، فَقَالَ: أَصَابَ السُّنَّةَ

Maksudnya: “Ibn al-Zubair solat hari raya bersama kami pada awal pagi hari Jumaat, kemudian kami pergi menunaikan Jumaat sedangkan dia (Ibn al-Zubair) tidak keluar dengan kami, maka kami pun solat sesama kami. Ketika itu Ibn Abbas R.Anhuma berada di Ta’if, apabila beliau kembali kami menceritakan perkara itu kepadanya, lalu beliau berkata: ‘Dia menepati sunnah.’”

Riwayat Abu Daud (1071) 

Seterusnya, Majlis al-Imarat li al-Ifta’ al-Syar‘i yang diketuai oleh Syeikh Ibn Bayyah telah mengeluarkan beberapa keputusan fatwa berhubung dengan perkara ini. Di antaranya isi kandungan fatwa tersebut ialah:

Sesungguhnya permasalahan mendirikan solat Jumaat jika ia berbetulan dengan hari raya termasuk dalam perkara yang diperselisihi oleh para ulama. Namun, fatwa yang telah dikeluarkan oleh Majlis menetapkan bahawa kedua-duanya hendaklah dilaksanakan pada waktunya dan mengikut sunnahnya. Hal tersebut adalah berdasarkan kepada dalil-dalil syar‘i yang berikut:

Pertama: Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” 

(Surah al-Jumu‘ah : 9)

Ayat di atas mengandungi perintah untuk segera pergi ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat ketika mendengar seruan azan untuknya, dan ia adalah bersifat umum bagi seluruh hari. Justeru, tidak boleh mentakhsiskannya (yakni mengeluarkan hari tertentu daripada keumuman tersebut) melainkan dengan dalil yang soleh kerana ia akan mengkhususkan keumuman nas qat‘i ini. Sedangkan dalil-dalil yang menyebutkan mengenai pengguguran kewajipan solat Jumaat ke atas sesiapa yang sudah menunaikan solat hari raya kesemuanya adalah zanniyah al-thubut dan zanniyah al-dilalah

Kedua: Terdapat riwayat daripada al-Nu‘man bin Basyir R.A, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ قْرَأُ فِي الْعِيدَيْنِ وَفِي الْجُمُعَةِ بِسَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الْأَعْلَى وَهَلْ أَتَاكَ حَدِيثُ الْغَاشِيَةِ؛ قَالَ: وَإِذَا اجْتَمَعَ الْعِيدُ وَالْجُمُعَةُ فِي يَوْمٍ وَاحِدٍ يَقْرَأُ بِهِمَا أَيْضًا فِي الصَّلَاتَيْنِ

Maksudnya:Rasulullah SAW membaca dalam solat dua hari raya dan solat Jumaat dengan ‘سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الْأَعْلَى’ (surah al-A‘la) dan ‘هَلْ أَتَاكَ حَدِيثُ الْغَاشِيَةِ’ (surah al-Ghasyiah). Baginda bersabda: ‘Apabila berhimpunnya hari raya dan hari Jumaat pada hari yang sama, maka bacalah dengan kedua-dua surah itu juga dalam kedua-dua solat tersebut — yakni solat hari raya dan solat Jumaat.’

Nas ini menunjukkan bahawa Rasulullah SAW selalu melazimi kedua-dua solat itu, dan mendirikan setiap satu daripadanya pada waktunya. Begitu juga tidak dilaporkan sama sekali bahawa Baginda tidak mendirikan solat Jumaat disebabkan Baginda telah menunaikan solat hari raya.

Ketiga: Sesungguhnya solat Jumaat adalah adalah salah satu kewajipan yang paling besar dalam Islam, dan ia adalah satu-satunya solat yang disepakati para ulama bahawa menghadirinya secara berjamaah adalah fardhu ain ke atas mukallaf (yang memenuhi syarat-syarat mendirikannya) dan tidak mempunyai keuzuran yang membolehkannya untuk meninggalkannya. 

Adapun solat hari raya pula, hukumnya di sisi ulama berkisar antara sunat dan wajib ain atau kifayah. Di antara kaedah-kaedah fiqh menyebutkan bahawa suatu perkara yang fardhu tidak boleh gugur disebabkan oleh apa yang lebih rendah dari segi kedudukannya dalam hukum syarak.

Keempat: Fatwa yang telah diputuskan oleh Majlis adalah pendapat jumhur ulama dan merupakan pendapat yang masyhur dalam mazhab Imam Malik. Ini juga merupakan pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam al-Syafi‘i serta salah satu riwayat daripada Imam Ahmad. 

Kelima: Dalil-dalil syar‘i yang terdapat dalam petunjuk Nabi SAW berkaitan kelonggaran yang diberikan kepada sesiapa yang telah hadir menunaikan solat hari raya untuk hanya mendirikan solat Zuhur sebagai ganti kepada solat Jumaat, tidak terlepas daripada apa yang telah dipilih oleh Majlis selari dengan apa yang telah diamalkan dan kekuatan dalil. Semua dalil yang dikemukakan ini telah dijawab oleh para ulama, di samping mereka turut menjelaskan makna sebenar yang dikehendaki daripadanya. Bolehlah merujuk perbahasan tersebut pada tempat-tempatnya dalam kitab-kitab fiqh dan syarah-syarah hadith.

Namun, jika diketahui bahawasanya ada yang mengambil pendapat yang satu lagi dengan mengikuti ulama yang melihat adanya kelonggaran diberikan untuk meninggalkan solat Jumaat bagi sesiapa yang sudah mendirikan solat hari raya, dan mendirikan solat Zuhur sebagai ganti kepada solat Jumaat itu, maka tidak mengapa dalam hal tersebut. Akan tetapi sekiranya dia mendirikan solat Jumaat dengan berpegang kepada ‘azimah (yakni bukan rukhsah), maka ia adalah lebih baik dan afdhal, sebagai keluar daripada khilaf  dan berpegang kepada hukum asalnya. 

Kesimpulannya

Setelah meneliti kedua-dua pendapat dan pandangan ulama lain, kami berpendapat bahawa solat Jumaat tetap wajib dilaksanakan sekiranya cukup syarat-syaratnya dan tiada keuzuran sebagaimana pendapat jumhur ulama. Ini berdasarkan sebab-sebab berikut: 

  • Hadith Uthman bin ‘Affan dari sudut sanad adalah paling kuat berbanding hadith-hadith lain kerana diriwayatkan dalam Sahih al-Bukhari. Maka, hadith-hadith lain perlu ditakwilkan rukhsah berkenaan hanya untuk ahl al-‘awali iaitu ahl al-qura iaitu merujuk mereka yang tinggal di pedalaman sehingga menimbulkan masyaqqah (kesukaran) untuk mereka hendak bersiap sempena hari raya dan terpaksa berpatah balik untuk solat Jumaat.

Dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidin (hlm. 187) oleh Syeikh ‘Abd al-Rahman bin Muhammad bin Husain al-Masyhur yang juga dikenali dengan Ba`lawi menyebutkan, mazhab kita (mazhab Syafi‘i), kalau bagi orang pendalaman yang jauh dari masjid Jami‘ maka mereka dapat keringanan untuk meninggalkan Jumaat, sedangkan bagi yang tinggal di bandar atau dekat dengan masjid Jami‘ maka solat Jumaat tetap diwajibkan kerana tidak susah baginya untuk melakukan perjalanan ke masjid untuk menunaikan kedua solat tersebut.

Seperti yang kami jelaskan sebelum ini, ‘illahnya adalah kerana masyaqqah atau kesukaran dan kejauhan untuk berulang-alik buat kali kedua ke masjid tatkala sudah menunaikan solat sunat hari raya. 

  • Rasulullah SAW sendiri menyatakan: “وَإِنَّا مُجَمِّعُونَ” dalam salah satu lafaz hadith di atas yang menunjukkan bahawa Baginda sendiri mendirikan solat Jumaat. Bahkan tidak dilaporkan bahawasanya Baginda pernah meninggalkan solat Jumaat disebabkan telah mendirikan solat hari raya. Justeru, ditakwilkan bahawa rukhsah itu hanyalah untuk ahl al-qura.
  • Athar daripada Ibn Zubair dan Ibn Abbas yang menyatakan bahawa menggugurkan solat Jumaat itu adalah sunnah (apabila berhimpun dengan hari raya), sekiranya marfu‘sekalipun riwayatnya, tetap tidak dapat mengatasi hadith Uthman yang lebih sahih.
  • Pada zaman Rasulullah SAW bilangan masjid tidak sebanyak yang ada di negara kita pada hari ini. Hampir setiap kampung dan kawasan kini memiliki masjid yang memungkinkan seseorang itu pergi dengan mudah dan senang untuk mendirikan solat Jumaat.
  • Solat Jumaat adalah satu syiar Islam bahkan merupakan antara syiar yang teragung, yang perlu ditegakkan agar menampakkan gah Islam itu sendiri.
  • Tambahan lagi, pendapat ini juga bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:

الْخُرُوجُ مِنْ الْخِلَافِ مُسْتَحَبٌّ

Maksudnya:Keluar daripada khilaf itu adalah digalakkan (disunatkan).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 136).

  • Justeru, melakukan solat hari raya dan solat Jumaat pada waktunya tanpa menggugurkan salah satu daripada keduanya adalah pendapat yang lebih baik dan afdhal. Ia juga sesuai dengan kaedah ihtiyat (berhati-hati), di samping pendapat yang dilihat selari dengan pendapat mazhab setempat seperti mazhab Imam Syafi‘i di Malaysia ini.

Sekalipun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa perkara ini termasuk dalam perkara yang diperselisihi dalam kalangan ulama (khilaf muktabar). Maka, setiap Muslim perlu bersikap lapang dada dan tidak berlebih-lebihan dalam menghadapi isu-isu khilaf yang muktabar.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh:19 April 2023 bersamaan 28 Ramadhan 1444H

Leave a Reply