Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, apakah hukum, bekerja di syarikat membina sistem, alat untuk kesan (detect) produk oil & gas dan minuman tiruan atau diseludup? Sistem dan alat ni digunakan client dari syarikat arak. Sistem ini dapat mengesan arak yang diseludup atau mengesan syarikat yang seludup arak. (Client ialah syarikat arak)

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Islam menggalakkan umatnya bekerja dan mencari sumber yang halal. Begitu juga, sebaik mungkin elakkan daripada perkara yang membawa kepada syubhah. Kadang-kadang secara tidak langsung tetapi dia ada kena-mengena dengan perkara yang haram.

Saya mulakan jawapan ini dengan menukilkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A, Nabi Muhammad SAW bersabda:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الخَمْرِ عَشَرَةً: عَاصِرَهَا، وَمُعْتَصِرَهَا، وَشَارِبَهَا، وَحَامِلَهَا، وَالمَحْمُولَةُ إِلَيْهِ، وَسَاقِيَهَا، وَبَائِعَهَا، وَآكِلَ ثَمَنِهَا، وَالمُشْتَرِي لَهَا، وَالمُشْتَرَاةُ لَهُ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat dalam isu arak ini 10 golongan: “Pemerah (anggur untuk arak), orang yang minta diperahkan, peminumnya, pembawanya, orang yang meminta bawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya.”

Riwayat Tirmizi (1295)

Hadith ini merupakan satu dalil jelas betapa perlunya kita menjauhi diri daripada melibatkan diri dengan amalan meminum arak dan industri pembuatannya.

Berkenaan isu yang ditanya, suka kami bawakan pandangan Imam al-Suyuti ketika membincangkan kaedah umum fiqh:

اليَقِيْنُ لَا يُزَالُ بِالشَّكِّ

Maksudnya: “Keyakinan tidak dapat dihilangkan dengan keraguan.”

Beliau membawakan huraian daripada Syeikh Abu Hamid al-Isfirayini tentang kategori perkara syak yang tidak diketahui atau ditentukan sumber asalnya, “…seperti melakukan transaksi dengan orang yang majoriti hartanya bersumber daripada perkara yang haram dan tidak dapat dipastikan harta yang diperolehi itu dari sumber haram atau tidak, maka hukum transaksi jual beli itu tidak haram kerana ada kemungkinan ia berasal dari sumber yang halal dan sumber haram itu juga tidak dapat dipastikan; tetapi makruh mengambilnya kerana ditakuti terjatuh dalam perkara yang haram”. (Lihat al-Asybah wa al-Nazha’ir,  1/74-75).

Soalan yang hampir sama telah kami jawab beberapa kali. Justeru, kami katakan isu ini masih lagi dalam status syubhah, walaupun terdapat di sana pandangan yang membolehkan atau mengharuskan. Sebaik-baiknya dengan sifat warak maka hendaklah ditinggalkannya. Hal ini bertepatan dengan hadith Rasulullah SAW:

فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ، وَعِرْضِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang memelihara dirinya daripada sebarang syubah maka sebenarnya dia telah menyelamatkan agama dan maruahnya.”

Sahih al-Bukhari (52) dan Sahih Muslim (20)

Kami akhiri dengan doa kepada Allah SWT:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.” (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 3/75)

Bertarikh: 3 Mei 2023 bersamaan 14 Syawal 1444H

Leave a Reply