Soalan: 

Assalamualaikum Dato’ Seri, boleh saya tahu apakah hukum memakai gelang atau rantai berbentuk Daun Clover?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pengenalan Daun Clover

Daun Clover dikenali sebagai Daun Semanggi. Kebiasaannya, ia mempunyai tiga kelopak sahaja dan kadangkala empat kelopak. Daun Clover yang mempunyai tiga kelopak dikatakan melambangkan konsep Trinity iaitu Father, Son dan Holy Spirit. Manakala, Clover yang mempunyai empat kelopak dianggap membawa kebaikan bagi mereka yang menyimpan dan menjaganya. Ia melambangkan Faith (kepercayaan), Hope (harapan), Love (cinta) dan Luck (nasib yang baik). (Lihat Symbols In The Church: 30)

Namun, persoalannya di sini, adakah memakai perhiasan berbentuk Daun Clover ini dianggap meniru atau menyerupai sesuatu agama yang dilarang oleh syarak?

Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah dari kalangan mereka.”

Riwayat Abu Dawud (4031)

Hukum memakai perhiasan berbentuk Daun Clover

Sepertimana diketahui, lambang salib merupakan lambang yang khusus bagi agama Kristian. Oleh sebab itu, haram bagi seseorang yang memakai lambang tersebut bagi tujuan meniru atau menyerupai orang kafir. Namun, bagi bentuk Daun Clover, ia bukanlah simbol khusus bagi agama Kristian. Maka menurut Dr Samiah Abdullah Bukhari, sesuatu perkara yang terangkat  (tidak lagi menjadi syiar sesuatu agama atau kaum), maka ia diharuskan. (Lihat Dawabit al-Tasyabbuh al-Manhiy ‘Anhu, 34-35)

Begitu juga, menurut Ibn Hajar al-Asqalani menerangkan berkenaan keharusan memakai sejenis pakaian yang dinamakan taylasan, yang mana menjadi syiar kaum Yahudi. Namun setlah itu,  ia tidak lagi dianggap sedemikian. Maka, ia termasuk dalam perkara yang umum dan diharuskan syarak. ( Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 10/275)

Justeru itu, dalam isu ini ia kembali kepada hukum harus apabila illahnya (sebab) iaitu menjadi syiar yang khusus bagi sesuatu agama atau kaum telah terangkat. Sepertimana kaedah fiqh menyebut:

الحُكْمُ يَدُورُ مَعَ عِلَّتِهِ وُجُودًا وَ عَدَمًا

Maksudnya: “Keberadaan sesuatu hukum itu, bergantung kepada illahnya, sama ada wujud ataupun tidak.”

Kesimpulan

Oleh hal yang demikian, jika sekiranya perhiasan tersebut sudah menjadi pemakaian yang lazim dan tidak lagi menjadi syiar bagi sesuatu agama atau kaum, maka hukumnya adalah harus dan dibenarkan. 

Namun, jika ia melambangkan sesuatu agama seperti Kristian (lambang salib, orang yang disalib dan seumpamanya), ia perlu dilihat sama ada tahap tasyabbuh (penyerupaan) itu ketara atau tidak. Maka sebaiknya dia mengelakkannya dari membeli atau memakai perhiasan tersebut. 

Akan tetapi, jika sekiranya ia simbol yang jelas menunjukkan lambang agama Kristian seperti salib, orang yang disalib dan seumpamanya atau sengaja memakainya bagi tujuan menyerupai orang kafir maka hukumnya haram dan berdosa.

Di sini juga, kami nyatakan sebaiknya jika ia boleh menimbulkan prasangka seperti lambang sesuatu agama, maka sebolehnya dielakkan untuk memakai atau membeli perhiasan sebegitu. Sabda Rasulullah SAW:

إِنَّ الْحَلَالَ بَيِّنٌ، والْحَرَامَ بَيِّنٌ، وبَيْنَهُمَا مُشْتَبِهَاتٌ لَا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ فَقَدِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ، وعِرْضِهِ، ومَنْ وقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وقَعَ فِي الْحَرَامِ

Maksudnya: “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu juga jelas. Diantara keduanya, terdapat perkara-perkara yang syubhat (samar-samar) yang tidak diketahui oleh orang banyak. Oleh itu, siapa yang takut terhadap syubhat bererti dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhah, maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan.”

Riwayat Tirmizi (1205)

Semoga Allah SWT memberi kefahaman kepada kita dan sentiasa berjalan atas landasan kebenaran. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.” 

Bertarikh: 6 Mei 2023 bersamaan 17 Syawal 1444H

Leave a Reply