Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin mendapatkan kepastian berkaitan solat rawatib. Bolehkah solat sunat selain daripada rawatib dilakukan selepas solat fadhu, tetapi sebelum solat rawatib? Sebagaimana yang saya faham, solat rawatib adalah solat yang mengiringi solat fardhu. Contoh: Selesai solat jemaah fardhu Isya’, kemudian ada permintaan jemaah mahukan solat Hajat. Maka imam laksanakan solat Hajat tersebut dahulu barulah jemaah bersurai dan melakukan solat sunat rawatib selepas Isya’. Sekiranya tidak boleh, apakah nasihat Dato’ Seri kepada para imam yang mendepani permintaan solat hajat tersebut?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat rawatib sebelum solat fardhu dikenali sebagai solat sunat qabliyah, manakala solat rawatib yang setelah solat fardhu pula dikenali sebagai solat ba’diyah.

Solat sunat rawatib ini pula terbahagi kepada mu’akkad (ditekankan) dan ghairu mu’akkad (tidak ditekankan). Adapun tentang jumlah rakaat solat rawatib yang mu’akkad, telah tsabit hadith yang diriwayatkan oleh Ummu Habibah R.’Anha yang menjelaskan terdapat dua belas rakaat solat Rawatib sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:

مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يُصَلِّي لِلَّهِ كُلَّ يَوْمٍ ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً تَطَوُّعًا غَيْرَ فَرِيضَةٍ إِلاَّ بَنَى اللَّهُ لَهُ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ.

Maksudnya: “Tidaklah seorang hamba Muslim mengerjakan solat kerana Allah SWT dalam satu hari dua belas rakaat sebagai tathawwu’ dan bukan fardu, melainkan Allah SWT akan membangunkan untuknya sebuah rumah di syurga.”

Sahih Muslim (728)

Dalam hadith yang lain dijelaskan pula perincian solat-solat yang berjumlah dua belas rakaat seperti yang disebut dalam hadith di atas. Daripada Ummu Habibah R.’Anha, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ صَلَّى فِي يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً بُنِيَ لَهُ بَيْتٌ فِي الْجَنَّةِ أَرْبَعًا قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ صَلاَةِ الْفَجْرِ.

Maksudnya: “Barang siapa yang mengerjakan solat (sunat) sebanyak dua belas rakaat dalam sehari semalam kelak akan dibangunkan untuknya sebuah rumah di syurga. Dua belas rakaat itu adalah empat rakaat sebelum solat Zohor, dua rakaat setelah solat Zohor, dua rakaat setelah solat Maghrib, dua rakaat setelah solat Isyak dan dua rakaat sebelum solat Subuh.”

Sunan Tirmidzi (380) dan Sunan Ibn Majah (1196)

Dalam menjawab persoalan di atas, melakukan solat seperti solat jenazah, boleh didahulukan daripada solat rawatib ba’diyyah. Contohnya, selepas solat Zuhur kita dahulukan solat jenazah. Seusai solat jenazah barulah kita solat ba’diyyah Zuhur.

Tetapi berkenaan dengan solat hajat, para ulama khilaf, dan kami telah nyatakan dengan panjang lebar dalam buku kami Ensiklopedia Solat-Solat Sunat. Saya berpendapat boleh dilakukan solat hajat terlebih dahulu tetapi ia adalah khilaf aula

Cadangan saya, solatlah rawatib terlebih dahulu kemudian baru solat hajat atau boleh imam solat hajat bersama makmum sebelum solat Isya’ dan solat qabliyyah. Kemudian, azan Isya’ barulah dapat meraikan solat-solat sunat rawatib.

Semoga Allah SWT memberi kefahaman kepada kita dengan kefahaman yang sebaik-baiknya. Saya akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.” 

 

Bertarikh: 9 Mei 2022 bersamaan 20 Syawal 1444H

Leave a Reply