Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, apa hukum memandulkan kucing? Ini kerana, saya dengar ada beberapa kebaikan melakukan pemandulan kucing. Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Dalam sebuah hadith Rasulullah SAW,  daripada Abu Qatadah bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

إِنَّهَا لَيْسَتْ بِنَجَسٍ، إِنَّمَا هِيَ مِنَ الطَّوَّافِينَ عَلَيْكُمْ، أَوِ الطَّوَّافَاتِ

Maksudnya: “Sesungguhnya kucing itu tidak najis kerana ia ialah haiwan yang berkeliaran di sekeliling kamu.”

Riwayat al-Tirmizi (92)

Kami mulakan dengan takrif pemandulan kucing. Menurut Dr Muhammad Naim Md Kasim, pengasas Klinik Haiwan dan Surgeri Kitty’s Care, pemandulan kucing boleh dilakukan terhadap kedua-dua jantina. Bagi jantan dipanggil ‘castration’ dan betina pula dipanggil ‘spaying’. Pemandulan kucing jantan boleh dilakukan apabila kedua-dua testis (telur) sudah turun ke kantung telur. Secara amnya kedua-dua telur ini akan kelihatan seawal empat bulan dan ke atas. Kawasan kantung telur dicukur bersih dan potongan kecil akan dilakukan di bahagian kantung telur dan testis dikeluarkan. Bahagian ini tidak dijahit kerana potongan yang dilakukan amat kecil dan kering dalam tempoh tiga hingga lima hari. Manakala pemandulan kucing betina atau lebih dikenali sebagai ‘spaying’ adalah prosedur mengeluarkan rahim dan kilang telur (ovari) sepenuhnya dari kucing berkenaan.

Menurut Dekan Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Universiti Putra Malaysia (UPM), Professor Dato’ Dr. Mohd Azmi Mohd Lila, pemandulan kucing dapat mengelakkan risiko tumor dan barah mamari (kelenjar susu), jangkitan rahim bernanah (pyometra) dan kurang risiko penyakit berjangkit seperti Leukemia Kucing.

Menurut beliau lagi, kesedaran pemandulan kucing ini perlu ditingkatkan untuk mengurangkan komplikasi kepada kucing yang berkeliaran tanpa tuan serta salah satu alternatif kawalan populasi kucing kerana kucing merupakan sejenis haiwan yang sangat senang membiak.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah menyenaraikan beberapa kebaikan pemandulan anjing dan kucing. Antara kebaikan pemandulan terhadap haiwan peliharaan jantan adalah:

  • Mengurangkan sifat agresif dan kecenderungan untuk kencing merata-rata.
  • Kurang risiko untuk merayau, bergaduh dan tercedera.
  • Mengelakkan risiko barah buah zakar dan penyakit berjangkit seperti FIV (Aids Kucing) dan FeLV (Leukemia Kucing)
  • Mengelakkan penyakit TVT (Transmissible Venereal Tumor) & Testicular Cancer (anjing)

Manakala bagi haiwan peliharaan betina:

  • Mengurangkan sifat merayau untuk mencari kucing jantan dan mengawan.
  • Kos lebih rendah menjaga haiwan yang dikembiri berbanding anak haiwan kesayangan yang banyak.
  • Mengelakkan risiko tumor dan barah mamari (kalenjar susu), jangkitan Rahim bernanah (pyometra) dan kurang risiko penyakit berjangkit seperti FIV dan FeLV (Leukimia Kucing)
  • Mengelakkan penyakit TVT (Transmissible Venereal Tumor) bagi anjing.

Dalam menjawab persoalan di atas, pada asasnya, dalam mazhab al-Syafi’i, hukum memandulkan haiwan yang tidak dimakan adalah haram. Imam al-Nawawi menyebut:

قَالَ الْبَغَوِيّ وَالرَّافِعِيُّ لَا يَجُوزُ خِصَاءُ حَيَوَانٍ لَا يُؤْكَلُ لَا فِي صِغَرِهِ وَلَا فِي كِبَرِهِ قَالَ وَيَجُوزُ خِصَاءُ الْمَأْكُولِ فِي صِغَرِهِ لِأَنَّ فِيهِ غَرَضًا وَهُوَ طِيبُ لَحْمِهِ وَلَا يَجُوزُ فِي كِبَرِهِ وَوَجْهُ قَوْلِهِمَا أَنَّهُ دَاخِلٌ فِي عُمُومِ قَوْله تَعَالَى إخْبَارًا عَنْ الشَّيْطَانِ (وَلآمُرَنَّهُمْ فَلَيُغَيِّرُنَّ خلق الله) فَخَصَّصَ مِنْهُ الْخِتَانَ وَالْوَسْمَ وَنَحْوَهُمَا وَبَقِيَ الْبَاقِي دَاخِلًا فِي عُمُومِ الذَّمِّ وَالنَّهْيِ

Maksudnya: “Al-Baghawi dan al-Rafi’i berkata bahawa tidak boleh memandulkan (mengasi) haiwan yang tidak dimakan, sama ada semasa kecil atau dewasa. Mereka juga berkata bahawa harus memandulkan haiwan yang boleh dimakan semasa ia masih kecil untuk mendapatkan daging yang bagus, tetapi tidak boleh ketika ia sudah dewasa. Sudut pandangan kedua-dua Syeikh ini sebenarnya terangkum dalam keumuman firman Allah SWT yang mengkhabarkan perihal hasutan syaitan: ‘وَلآمُرَنَّهُمْ فَلَيُغَيِّرُنَّ خلق الله’ (“Aku akan menyuruh mereka untuk mengubah ciptaan Allah.”) [Surah al-Nisa’: 119] Kemudian dikhususkan khitan haiwan dan menanda badan menggunakan besi panas, dan seumpama keduanya, maka yang berbaki termasuk dalam perbuatan terkutuk dan larangan.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6/177)

Dalam kalangan Hanafiyyah memandang boleh melakukan pengasian pada haiwan ternakan (baha’im). Mazhab Maliki membolehkan mengasi baghal dan himar (keldai), namun melarang mengasi kuda kerana akan mengurangkan kekuatan kuda, sedangkan kuda digunakan untuk berjihad. Adapun binatang ternakan yang halal dimakan boleh dikasi. Hanabilah membolehkan pengasian binatang ternakan kerana akan membaguskan (menggemukkan) dagingnya, dan makruh mengasi binatang yang tidak halal kerana tidak ada manfaatnya dan menyakiti mereka. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 19/22)

Imam Ahmad pernah menyebut:

لَا يُعْجِبُنِي لِلرَّجُلِ أَنْ يَخْصِيَ شَيْئًا، وَإِنَّمَا كُرِهَ ذَلِكَ لِلنَّهْيِ الْوَارِدِ عَنْ إيلَامِ الْحَيَوَانِ.

Maksudnya: “Aku tidak menyukai jika ada seseorang mengasi haiwan. Hal itu dibenci kerana terdapat larangan daripada menyakiti haiwan.” (Lihat al-Adab al-Syar’iyyah oleh Ibn Muflih, 3/263)

Meskipun begitu, jika terdapat keperluan, maka ia dibolehkan. Disebut di dalam kitab al-Fatawa al-Hindiyyah:

خِصَاءُ السِّنَّوْرِ إذَا كَانَ فِيهِ نَفْعٌ أَوْ دَفْعُ ضَرَرٍ لَا بَأْسَ بِهِ، كَذَا فِي الْكُبْرَى.

Maksudnya: “Mengasi kucing, jika hal itu memberikan manfaat atau menghindari mudharat, maka hukumnya boleh. Demikian keterangan dalam al-Kubra.” (Lihat al-Fatawa al-Hindiyyah, 44/20)

Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin menyebut: “Adapun memandulkan haiwan, maka hukumnya harus jika ada masalah. Akan tetapi, mestilah menggunakan proses-proses yang dapat mengelakkan daripada menyakiti haiwan tersebut.” (Lihat Liqa’ al-Bab al-Maftuh, 15/37)

Selain itu, beliau turut mengulas tentang pengkasian kucing, katanya: 

إذا كانت القطط كثيرة مؤذية ، وكانت العمليَّة لا تؤذيها : فلا حرج ؛ لأن هذا أولى من قتلها بعد خلقها .. وأما إذا كانت قططاً معتادة ولا تؤذي : فلعلَّ في بقائها تتنامى خيراً

Maksudnya: “Jika populasi kucing terlalu banyak dan mengganggu, sementara tindakan mengasi tidak sampai menyakitinya, maka tidak ada masalah mengasi kucing. Ini lebih baik daripada membunuh haiwan itu selepas ia diciptakan oleh Allah. Namun, jika kucing itu tidak mengganggu, barangkali dibiarkan berkembang-biak akan menyuburkan kebaikan.” (Lihat Fatawa Islamiyyah, 4/448)

Mesyuarat Panel Kajian Syariah (Panel Pakar Syariah) yang bersidang pada 3-4 April 2002 telah membincangkan Hukum Mengembiri Binatang Kesayangan. Mesyuarat bersetuju memutuskan bahawa mengembiri binatang kesayangan (seperti kucing atau anjing) adalah diharuskan dengan sebab-sebab tertentu iaitu bagi menjaga maslahah ammah.

Penutup

Setelah perbincangan di atas, kami berpendapat, hukum mengkasi kucing adalah harus berdasarkan kepada hujah-hujah sama ada dari segi agama mahupun dari segi pakar haiwan. Keduanya, tindakan tersebut dari segi kemudaratan kepada haiwan seperti kucing adalah amat sedikit. Walaupun begitu, membiarkan haiwan mengikut fitrah asalnya adalah lebih baik. 

Semoga dengan pencerahan ini kita memahami dengan lebih mendalam berkenaan dengan hukum terhadap haiwan. Saya mengakhiri dengan satu kisah, daripada Ibn Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

دَخَلَتِ امْرَأَةٌ النَّارَ فِي هِرَّةٍ رَبَطَتْهَا، فَلَمْ تُطْعِمْهَا، وَلَمْ تَدَعْهَا تَأْكُلُ مِنْ خَشَاشِ الأَرْضِ

Maksudnya: “Seorang wanita masuk ke dalam neraka kerana seekor kucing yang diikatnya. Dia tidak memberinya makanan, bahkan tidak membiarkannya memakan serangga-serangga tanah.” 

Riwayat al-Bukhari (3318) dan Muslim (2242)

Marilah sama-sama kita mengasihi haiwan dan jangan sekali-kali kita menzaliminya. Sesungguhnya, haiwan yang diwujudkan di muka bumi adalah untuk kegunaan dan kemaslahatan manusia dengan penuh hikmahnya dan kadang-kadang kita capai dan kadang-kadang kita tidak mencapainya.

 

Bertarikh: 9 Mei 2022 bersamaan 20 Syawal 1444H

1 thoughts on “#1469: Mandulkan Kucing untuk Tujuan Tertentu

Leave a Reply