Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa yang perlu kita lakukan kalau masa solat kita nampak ada jemaah lelaki lain yang tersingkap auratnya (sebab baju singkat)? Adakah kita kena tegur dia selepas solat untuk solat semula atau bagaimana ya? Terima kasih

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat. 

Aurat merupakan bahagian tubuh badan yang tidak boleh ditunjukkan oleh lelaki dan perempuan kepada orang lain. Allah SWT telah menetapkan aurat bagi lelaki dan perempuan. Menjaga aurat dan kehormatan adalah wajib, tidak kira di mana sahaja. ((Lihat al-Mausû’ah al Fiqhiyah al Kuwaitiyah, 31:44)

Menutup aurat merupakan salah satu syarat sah solat. Firman Allah SWT:

يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ

Maksudnya : Wahai anak Adam pakailah pakaian yang indah (menutup aurat) setiap kali memasuki masjid.

Surah Al-A’raaf (31)

Jika sekiranya aurat terdedah semasa solat, maka wajib baginya segera menutupnya. Jika orang yang solat itu lalai dan membiarkan sahaja auratnya terbuka tanpa segera ditutup, maka ketika itu batal solatnya dan hendaklah dia solat semula. Namun jika dia sempat menutup aurat yang terdedah, maka solatnya tidak batal dan dia boleh meneruskan solatnya. (Lihat Al-Fiqh al-Manhaji, 1/124)

Maka, berbalik kepada soalan yang diajukan, perkara ini sebaiknya ditegur secara baik dan hikmah dan mengikut kemampuan yang ada. Sabda Nabi SAW:

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

Maksudnya: Barangsiapa di antara kalian melihat kemungkaran maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya, jika dia tidak mampu maka dengan lisannya, jika dia tidak mampu maka dengan hatinya dan itu adalah selemah –lemah iman.

Riwayat Muslim (49) 

Jika aurat tersebut terdedah ketika solat, seaulanya rakan yang melihat menutupkannya seperti meletakkan pada bahagian terdedah aurat dengan kain atau pakaian yang menutupinya. Begitu juga, kalau memungkinkan diangkat kain pelekatnya sebagai contoh, supaya lebih tinggi dari pusatnya, hendaklah diberitahu dengan penuh kasih sayang.

Saya berpendapat jika benar-benar terdedah aurat semasa melaksanakan solat jika jemaah tersebut lelaki biarlah imam atau orang yang mempunyai ilmu pengetahuan memberi peringatan dengan sebaik mungkin. Bahasa yang digunakan itu, penuh dengan kesopanan dan dalam bentuk dakwah agar ia mudah diikuti dan dituruti.

Ramai sahabat dan pendakwah telah dapat mendidik masyarakat dalam isu aurat bahkan dalam memberi peringatan dan teguran yang penuh mesra atas kesilapan seseorang yang akhirnya menatijahkan kebaikan kepada yang ditegur. Sebenarnya, adanya hikmah, kesabaran, kebenaran dan keikhlasan dalam menegur sudah pasti menatijahkan kebaikan yang banyak.

Benarlah firman Allah SWT:

وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ

Maksudnya: “Dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”

(Surah al-‘Asr: 3)

Imam al-Tabari berkata: Saling berpesan dengan kebenaran membawa maksud: “Mereka saling menasihati untuk mengerjakan amalan, sebagaimana diturunkan oleh Allah di dalam Kitab-Nya, iaitu yang diperintahkanNya dan menjauhi apa yang dilarangNya.” Saling berpesan dengan kesabaran pula bermaksud: “Mereka saling menasihati untuk menetapi kesabaran dalam melaksanakan ketaatan terhadap Allah” (Lihat Tafsir al-Tabari, 24/590)

 

Kesimpulan

Terbuka aurat ketika solat tanpa segera ditutup, menjadikan solat seseorang itu terbatal. Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami nasihatkan agar saudara untuk menegur secara baik jika melihat situasi begini lagi agar dia tidak mengulanginya lagi. Namun, ia berdasarkan kemampuan yang ada pada saudara yang bertanya, samada mencegahnya dengan kuasa yang ada seperti meminta tolong kepada mereka yang lebih tua, atau menegur dengan lisan kepada mereka yang lebih kurang sebaya umurnya.

Semoga Allah SWT merahmati kita dan kita diberi kefahaman dalam melaksanakan segala perintah Allah yang Maha Esa.

Bertarikh: 12 Mei 2023 bersamaan 23 Syawal 1444H

Leave a Reply