Soalan
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Kami menerima soalan berkenaan pelaksanaan dam yang dibayar ketika berada di Malaysia sebelum menunaikan ibadah Haji di Tanah Suci. Adakah ia diterima ataupun sebaliknya?
Jawapan
Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.
Bagi mereka yang melakukan haji tamattu’ dan qiran, diwajibkan untuk membayar dam hadyu dengan menyembelih seekor kambing. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:
فَمَن تَمَتَّعَ بِالْعُمْرَةِ إِلَى الْحَجِّ فَمَا اسْتَيْسَرَ مِنَ الْهَدْيِ
Maksudnya: “Maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan dengan mengerjakan Umrah, (dan terus menikmati kemudahan itu) hingga masa (mengerjakan) ibadat Haji, (bolehlah ia melakukannya kemudian wajiblah ia) menyembelih Dam yang mudah didapati.”
(Surah al-Baqarah: 196)
Ibn Kathir berkata: “Ayat ini bermaksud jika kamu mampu untuk menunaikan ibadah haji, maka bagi mereka yang di antara kamu yang melakukan haji tamattu’ dengan melakukan umrah terlebih dahulu kemudian melakukan haji, termasuk di dalamnya orang yang berniat ihram untuk keduanya pada masa yang sama, atau yang pertama kali berniat ihram untuk umrah dan kemudian setelah selesai melakukan umrah, dia berniat ihram untuk haji. Ini disebut dengan haji tamattu’ secara khusus, dan ia maaruf dalam kalangan para fuqaha’. Maka hendaklah dia menyembelih haiwan hadyu berdasarkan apa yang dia mampu, dan yang paling sedikit adalah seekor kambing. Namun, boleh juga menyembelih lembu kerana Rasulullah SAW telah menyembelih lembu untuk isteri-isterinya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/399)
Imam al-Nawawi berkata: “Sesungguhnya kewajipan bagi yang melakukan haji tamattu’ membayar dam adalah dengan empat syarat:
- Dia tidak kembali ke miqat negerinya kerana ihram haji.
- Dia berihram dengan umrah pada bulan-bulan haji.
- Dia melakukan haji pada tahunnya.
- Dia tidak menghadiri Masjid al-Haram iaitu dia bukan penduduk Tanah Haram dan penduduk tanah haram ini ialah mereka yang kurang daripada 2 marhalah.
Jika dia luput daripada syarat-syarat ini maka dia tidak perlu membayar dam sekalipun dia dikira melakukan haji tamattu’ mengikut pendapat yang paling sahih. Dikatakan juga bahawa hajinya itu dikira sebagai haji ifrad.
Sesungguhnya diwajibkan kepada yang melakukan haji qiran kerana dua syarat:
- Dia tidak kembali kepada miqat selepas memasuki Makkah dan sebelum hari Arafah.
- Dia bukan daripada penduduk Makkah (yang hadir di Masjid al-Haram).” (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-Umrah, hlm. 138-139)
Pembayaran Dam adalah denda yang wajib dilunaskan oleh jemaah yang melakukan perkara-perkara yang melanggar syarat-syarat ketika menunaikan ibadah haji atau umrah. Justeru, merujuk kepada persoalan di atas, pembayaran dam yang dilakukan di luar Tanah Haram seperti di Malaysia adalah dibolehkan, dengan syarat haiwan itu perlu disembelih dan dilaksanakan di dalam kawasan Tanah Haram dan bukannya di tempat lain.
Dalam buku Soal Jawab Haji dan Umrah (hlm. 162) yang diterbitkan oleh Bahagian Bimbingan Lembaga Tabung Haji, dinyatakan bahawa Jemaah Haji Malaysia yang melakukan ibadah Haji Tamattu‘ kebanyakan daripada mereka akan menggunakan perkhidmatan Tabung Haji sebagai wakil kepada mereka untuk melakukan pembayaran dam. Menggunakan wakil sebagai penyelaras atau pelaksana terhadap Dam yang dikenakan adalah dibolehkan. Dalam kaedah fiqh cara ini dipanggil sebagai Wakalah. Firman Allah SWT di dalam Al-Quran yang menyatakan penggunaan sistem wakalah ini:
قَالَ اجْعَلْنِي عَلَى خَزَآئِنِ الأَرْضِ إِنِّي حَفِيظٌ عَلِيمٌ
Maksudnya: “Berkata Yusuf: ‘Jadikanlah aku bendaharawan negara (Mesir); Sesungguhnya aku adalah orang yang pandai menjaga, lagi berpengetahuan.’”
(Surah Yusuf: 55)
Ayat al-Quran tersebut menerangkan bahawa agama Islam membenarkan untuk mewakili atau menyerahkan kepada orang lain sebagai wakil dan penganti untuk melakukan perkara yang tidak mampu dilakukannya.
Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji oleh Lembaga Tabung Haji telah membincangkan dan memutuskan bahawa jemaah haji Malaysia diharuskan dan digalakkan untuk membayar dam pada kadar yang telah ditentukan sebelum sampai di Tanah Haram. Justifikasinya adalah supaya memudahkan pengurusan Tabung Haji untuk membeli binatang ternakan yang akan disembelih di sana. Walaupun wang pembayaran dam diserahkan di Malaysia tetapi penyembelihan tetap dilakukan di Tanah Haram. Pada keadaan ini maka ia dibolehkan. Ini berdasarkan firman Allah SWT di dalam Al-Quran:
لَكُمْ فِيهَا مَنَافِعُ إِلَى أَجَلٍ مُّسَمًّى ثُمَّ مَحِلُّهَا إِلَى الْبَيْتِ الْعَتِيقِ
Bermaksud: “Bagi kamu padanya (binatang hadyu itu) ada beberapa manfaat, sampai kepada waktu yang ditentukan, kemudian tempat wajib (serta akhir masa) menyembelihnya ialah setelah sampai ke Baitul Atiq (Baitullah).”
(Surah al-Hajj: 33)
Berdasarkan ayat ini, secara terang dijelaskan tidak boleh untuk memindahkan ke tempat yang lain. Bahkan wajib dilakukan di tempat yang dikhususkan. Maka pembayaran dam dengan maksud penyembelihan haiwan tetap wajib dilakukan di Makkah dan dibahagikan kepada golongan fakir miskin di Makkah.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami nyatakan bahawa mendahulukan membayar dam hadyu bagi haji tamattu’ adalah dibolehkan dibayar di Malaysia melalui wakil tabung haji dengan syarat haiwan hadyu yang ingin dikorbankan itu disembelih di kawasan Tanah Haram Makkah sebagaimana hujah yang kami kemukakan.
Akhir sekali, marilah kita berdoa semoga kita dijauhi dan dilindungi oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dimurkai oleh-Nya seterusnya hidup dibawah rahmat-Nya. Amin. Wallahua‘lam.
Bertarikh: 16 Mei 2023 bersamaan 27 Syawal 1444H