Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum menunaikan fardhu haji dari hasil wang haram?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah.”
(Surah al-Baqarah : 188)
Syeikh al-Maraghi dalam tafsirnya menyatakan bahawa umat Islam perlu menghormati harta orang lain seperti mana dia menghormati hartanya sendiri. Tidak dibenarkan untuk memiliki sesuatu harta tersebut dengan cara penipuan, riba, rasuah dan lain-lain yang menyalahi syariat. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 1/374)
Dalam menjawab persoalan di atas, ulama’ berbeza pandangan kepada dua pendapat:
Pertama: Pendapat yang dipegang oleh Imam Ahmad. Beliau berpendapat bahawa hukum haji tersebut tidak sah dan tidak diterima berdasarkan kepada hadith di bawah:
إِنَّ اللهَ طَيِّبٌ لَا يَقْبَلُ إِلَّا طَيِّبًا
Maksudnya: “Bahawa Allah itu baik (bersih), tidak menerima melainkan yang baik (bersih).”
Riwayat Muslim (1015) dan al-Tirmizi (2989)
Lafaz Tayyib dalam hadith ini bermaksud suci bersih dari segala kekurangan. Dikatakan tayyib sebagai salah satu sifat Allah. (Lihat Ikmal al-Mu’lim, 3/535)
Kedua: Pendapat yang dipegang oleh jumhur (Syafi’i, Maliki, Hanafi)
Imam al-Nawawi berkata: apabila seseorang itu melakukan haji dengan harta yang haram atau dia menunggang haiwan tunggangan yang dirampas ataupun haram keatasnya, maka dia mendapat dosa di atas perbuatannya, namun hajinya sah. Ini kerana, haji merupakan perbuatan-perbuatan yang khusus (rukun dan syarat) dan pengharamannya adalah disebabkan perkara yang di luar daripadanya. (Lihat al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, 7/62)
Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ حَجَّ بِمَالٍ حَرَامٍ، إذَا لَبَّى، قِيلَ لَهُ: لَا لَبَّيْكَ، وَلَا سَعْدَيْكَ، وَحَجُّك مَرْدُودٌ عَلَيْك.
Maksudnya: “Sesiapa yang melakukan haji dengan harta yang haram, apabila dia bertalbiah, akan dikatakan kepadanya: “Tidak diterima seruanmu dan tidak ada kebahagiaan buatmu serta hajimu tertolak ke atas dirimu.”
Dinyatakan sebagai dha’if dalam kitab al-Nawafikh al-‘Atirah fi al-Ahadith al-Musytaharah (29). Begitu juga dinyatakan sebagai dha’if oleh pengarang al-Silsilah al-Dha’ifah (1091)
Dalam riwayat lain, daripada Abu Hurairah RA secara marfu’ (disandarkan kepada Nabi SAW):
إِذَا خَرَجَ الرَّجُلُ حَاجًّا بِنَفَقَةٍ طَيِّبَةٍ، وَوَضَعَ رِجْلَهُ فِي الْغَرْزِ، فَنَادَى: لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ، نَادَاهُ مُنَادٍ مِنَ السَّمَاءِ: لَبَّيْكَ وَسَعْدَيْكَ، زَادُكَ حَلَالٌ، وَرَاحِلَتُكَ حَلَالٌ، وَحَجُّكُ مَبْرُورٌ غَيْرُ مَأْزُورٍ، وَإِذَا خَرَجَ بِالنَّفَقَةِ الْخَبِيثَةِ، فَوَضَعَ رِجْلَهُ فِي الْغَرْزِ، فَنَادَى: لَبَّيْكَ، نَادَاهُ مُنَادٍ مِنَ السَّمَاءِ: لَا لَبَّيْكَ وَلَا سَعْدَيْكَ، زَادُكَ حَرَامٌ وَنَفَقَتُكَ حَرَامٌ، وَحَجُّكَ غَيْرُ مَبْرُورٍ
Maksudnya: “Jika seorang yang melakukan haji pergi dengan menggunakan belanja yang baik, dan meletakkan dua kakinya ke atas binatang tunggangannya dan berkata: Ya Allah aku menyahut panggilanmu, akan bersuara satu suara dari langit: Aku sahut panggilanmu dan ketaatanmu, bekalanmu juga kenderaanmu daripada sesuatu yang halal, maka hajimu diterima tanpa ada dosa. Jika dia keluar dengan belanja yang tidak halal dan meletakkan dua kakinya di atas kenderaannya dan berkata: Ya Allah aku menyahut panggilanmu, akan terdengar satu suara dari langit: Aku tidak menerima panggilanmu dan ketaatanmu, bekalanmu haram, kenderaanmu haram, maka hajimu tidak diterima.”
Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (5228). Dinyatakan sebagai dha’if jiddan dalam al-Silsilah al-Dha’ifah (4403)
Kesimpulan
Dalam isu ini, kami berpandangan bahawa hukum haji yang dilakukan dengan menggunakan wang haram adalah sah namun penggunaan wang tersebut dikira sebagai berdosa. Ini kerana, pengharaman terhadap perbuatan tersebut adalah disebabkan perkara-perkara yang di luar dari ibadah haji. Ia dikenali sebagai jihah al-munfakkah atau pihak yang terpisah.
Kami mengambil peluang disini untuk menasihati para jemaah haji agar sama-sama meneliti sumber kewangan bagi melaksanakan ibadah haji kerana dibimbangi haji yang kita lakukan itu menjadi sia-sia disebabkan sumber yang haram tersebut. Bagi mereka yang berpeluang untuk menunaikan ibadah haji adalah satu anugerah yang besar daripada Allah SWT. Justeru, berusahalah sebaik mungkin untuk mencapai haji yang mabrur.
Akhir sekali, marilah kita berdoa semoga kita dijauhi dan dilindungi oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dimurkai oleh-Nya seterusnya hidup di bawah rahmat-Nya. Amin.
Bertarikh: 16 Mei 2023 bersamaan 27 Syawal 1444H