Soalan

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah diwajibkan haji ke atas seseorang yang mempunyai rumah lebih daripada keperluannya, namun tidak mempunyai wang tunai untuk membiayai perbelanjaan menunaikan ibadah haji?

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Firman Allah SWT:

وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepada-Nya.”

 (Surah ali-Imran: 97)

Syeikh al-Maraghi berkata: “ibadah haji ini diwajibkan kepada setiap orang muslim mukallaf yang berkemampuan. Hal ini kerana, perintah haji merupakan satu penghormatan besar kepada Baitullah bermula dari zaman Nabi Ibrahim A.S sehinggalah ke zaman Nabi Muhammad SAW. Justeru, perlaksanaan ibadah haji dan umrah mampu menjadi mercu tanda dan bukti pengabdian setiap hamba kepada Penciptanya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/853)

Ayat ini menunjukkan bahawa ibadah haji dan umrah hanya wajib ke atas orang yang berupaya dan berkemampuan. Seseorang itu dianggap berkemampuan apabila memiliki harta yang mencukupi untuk mengerjakan haji dan umrah. Harta ini termasuk tambang pengangkutan, perbelanjaan pergi dan balik, di samping perbelanjaan passport perjalanan dan upah pemandu haji dan umrah, sebagaimana yang dikehendaki oleh pemerintah. Semua harta tersebut mestilah lebihan daripada jumlah hutangnya, dan perbelanjaan ahli keluarga semasa ketiadaannya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/123.)

Jenis Kemampuan

Kemampuan mempunyai dua jenis, iaitu kemampuan secara langsung, dan tidak secara langsung.

Pertama: Kemampuan secara langsung bermaksud seseorang itu mampu melakukan sendiri ibadah haji dan umrah disebabkan masih berupaya, iaitu badan yang sihat, sanggup menempuh perjalanan dan melakukan kerja-kerja ibadah tersebut tanpa mengalami kemudharatan yang berat dan kesulitan yang tidak mampu ditanggungnya.

Kedua: Kemampuan secara tidak langsung bermaksud seseorang mukallaf yang memiliki harta yang mencukupi untuk mengupah orang lain mengerjakan haji bagi pihaknya sama ada semasa dia masih hidup atau selepas dia meninggal dunia. Ini kerana dia sendiri tidak berupaya melakukannya disebabkan tua, berpenyakit dan seumpamanya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/124).

Merujuk kepada persoalan di atas, telah dinyatakan bahawa orang yang sedemikian wajib ke atasnya mengerjakan haji. Dia wajib menjual rumah yang lebih daripada hajatnya untuk perbelanjaan menunaikan fardhu hajinya. Ini kerana haji adalah wajib bagi mereka yang berkemampuan dan telah cukup syarat yang telah ditetapkan.

Jika seseorang tersebut hanya mempunyai sebuah rumah untuk dia tinggal, maka tidak diwajibkan ke atasnya haji kerana rumah merupakan dharuriyyat (keperluan mendesak) bagi setiap individu untuk berteduh, beristirahat, melindungi diri dan keluarga daripada ancaman bahaya di luar. Akan tetapi, memiliki lebih daripada satu rumah bukanlah keperluan dharurah.

Bagi mereka yang menunaikan ibadah haji akan memperolehi beberapa kelebihan berbanding mereka yang tidak menunaikannya. Antaranya ialah:

  1. Ganjaran pahala bagi mereka yang solat di Masjid al-Haram adalah seratus ribu kali ganda berbanding di tempat lain manakala solat di Masjid Nabawi diberi ganjaran seribu kali ganda. Hal ini sebagaimana riwayat daripada Abdullah bin Zubair bahawa Rasulullah SAW bersabda:

صَلَاةٌ فِي مَسْجِدِي هَذَا أَفْضَلُ مِنْ أَلْفِ صَلَاةٍ فِيمَا سِوَاهُ، إِلَّا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ، وَصَلَاةٌ فِي الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ أَفْضَلُ مِنْ مِائَةِ أَلْفِ صَلَاةٍ فِيمَا سِوَاهُ

Maksudnya: “Solat di masjidku ini (masjid Nabawi) lebih baik daripada seribu solat di tempat yang lain melainkan masjid al-Haram. Dan solat di Masjid al-Haram lebih baik daripada 100 ribu solat di tempat lain”. 

Riwayat Ahmad (15271)

  1. Orang yang mengerjakan haji di Tanah Suci merupakan tetamu agung kepada Allah SWT dan mendapat kemuliaan daripada-Nya. Hal ini sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الْحُجَّاجُ وَالْعُمَّارُ، وَفْدُ اللَّهِ إِنْ دَعَوْهُ أَجَابَهُمْ، وَإِنِ اسْتَغْفَرُوهُ غَفَرَ لَهُمْ

Maksudnya: “Orang-orang yang mengerjakan haji dan umrah adalah tetamu agung kepada Allah SWT, sekiranya mereka berdoa kepada-Nya nescaya Allah SWT perkenankan doa mereka, sekiranya mereka memohon keampunan-Nya, nescaya Allah SWT ampunkan mereka.” 

Riwayat Ibn Majah (2892)

  1. Mendapat ganjaran haji yang mabrur. Orang yang menunaikan ibadah haji dan umrah dengan penuh ketakwaan dan kesempurnaan akan mendapat haji yang mabrur.

Daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:

العُمْرَةُ إِلَى العُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا، وَالحَجُّ المَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلَّا الجَنَّةُ

Maksudnya: “Diantara satu umrah kepada satu umrah yang lain adalah penghapus dosa antara keduanya, dan Haji Mabrur tidak ada ganjarannya melainkan syurga.” 

Riwayat al-Bukhari (1773) dan Muslim (1349)

Kesimpulan

Kami berpandangan bahawa setiap umat Islam mesti mempunyai keinginan dan keazaman yang berkobar-kobar untuk melangkahkan kaki menjadi duyuf al-rahman. Hal ini kerana, terdapat banyak kelebihan yang telah dinyatakan oleh Nabi SAW kepada sesiapa yang sampai ke sana.

Justeru, tekad, semangat serta usaha dalam mempersiapkan diri dari aspek mental seperti ilmu dan kefahaman berkaitan dengan haji dan umrah serta persiapan fizikal seperti kewangan dan kesihatan tubuh badan haruslah diperkemaskan bermula sekarang.

Saya mengambil kesempatan untuk mengesyorkan kepada orang yang terkena kepada dirinya seperti soalan di atas hendaklah merujuk kepada para ulama atau orang alim untuk mengambil buah fikirannya serta nasihatnya cara yang terbaik untuk menunaikan ibadah haji jika mempunyai aset yang berlebihan dan cukup segala syaratnya. Yakin dan percayalah bahawa ibadah haji atau umrah, salah satu sifatnya boleh membasmi dosa dan kefakiran.

Daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

تَابِعُوا بَيْنَ الْحَجِّ وَالْعُمْرَةِ فَإِنَّهُمَا يَنْفِيَانِ الْفَقْرَ وَالذُّنُوبَ كَمَا يَنْفِى الْكِيرُ خَبَثَ الْحَدِيدِ وَالذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَلَيْسَ لِلْحَجَّةِ الْمَبْرُورَةِ ثَوَابٌ إِلاَّ الْجَنَّةُ

Maksudnya: “Ikutkanlah umrah kepada haji, kerana keduanya menghilangkan kemiskinan dan dosa-dosa sebagaimana pembakaran menghilangkan karat pada besi, emas dan perak. Sementara tidak ada pahala yang layak bagi haji yang mabrur kecuali masuk ke dalam syurga.”

Riwayat al-Tirmizi (810), al-Nasa’i (2631), Ahmad (167), Ibn Majah (2887) dan Ibn Hibban (3693). Syeikh Ahmad Syakir menilai sanadnya sebagai sahih (Lihat Takhrij al-Musnad, 5/244).

Akhir sekali, marilah kita berdoa semoga kita dijauhi dan dilindungi oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dimurkai oleh-Nya seterusnya hidup dibawah rahmat-Nya. Amin.

Bertarikh: 16 Mei 2023 bersamaan 27 Syawal 1444H

Leave a Reply