Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri.  Apa hukum menjual daging korban?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ

Maksudnya: “Dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.”

(Surah al-Hajj: 28)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Maka sebutlah nama Allah SWT atas sembelihan-sembelihan tersebut, makanlah sebahagian darinya, dan gunakan sebahagian yang lain untuk memberi makan kepada kepada orang yang mengalami kesusahan dan kefakiran. Perintah untuk ikut memakan daging haiwan sembelihan itu kerana masyarakat jahiliyyah menghindarkan daripada memakan haiwan korban mereka. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 9/186)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan hadith daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ بَاعَ جِلْدَ أُضْحِيَتِهِ فَلَا أُضْحِيَةَ لَهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang menjual kulit binatang korbannya, maka tidak ada korban baginya.”

Riwayat al-Hakim (2/422), al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (19233) dan al-Sunan al-Sughra (1839), al-Dailami dalam al-Firdaus (5509). Dinyatakan sebagai hasan dalam Sahih al-Targhib (1088) dan Sahih al-Jami’ (6118)

Daripada ‘Abd al-Rahman bin Abi Laila, katanya bahawa ‘Ali R.A telah mengkhabarkan kepadanya:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَهُ أَنْ يَقُومَ عَلَى بُدْنِهِ، وَأَنْ يَقْسِمَ بُدْنَهُ كُلَّهَا لُحُومَهَا وَجُلُودَهَا وَجِلَالَهَا، وَلَا يُعْطِيَ فِي جِزَارَتِهَا شَيْئًا “

Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW memerintahkannya agar dia menguruskan budn (unta-unta hadyu) Baginda, dan memerintahkannya agar membahagi-bahagikan semua bahagian daripada haiwan tersebut, sama ada dagingnya, kulitnya mahupun jilalnya.”

Riwayat al-Bukhari (1717)

Hadith di atas mengandungi perintah yang jelas untuk membahagikan semua bahagian daripada haiwan korban tanpa boleh untuk menjualnya.

Ulama mazhab al-Syafi’i melarang daripada menjual kulit, daging dan apa sahaja daripada binatang korban. Imam al-Nawawi menyebut:

وَمَذْهَبُنَا أَنَّهُ لَا يَجُوزُ بَيْعُ جِلْدِ الْهَدْيِ وَلَا الأضحية ولا شيء من أجزائهما

Maksudnya: “Menurut mazhab kami (al-Syafi’i), haram menjual kulit binatang korban, daging binatang korban dan apa-apa sahaja bahagian daripadanya.” (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 9/65)

Imam al-Nawawi turut menyatakan bahawa sepakat di sisi mazhab Syafi’i bahawa dilarang untuk menjual apa-apa bahagian daripada binatang korban. Hal ini sama ada ibadah korban itu sunat atau nazar. Larangan ini termasuklah (daripada menjual) daging, lemak, kulit, tanduk dan lain-lain. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 8/420)

Hal ini juga telah menjadi kesepakatan ulama’ seperti yang dijelaskan oleh Ibn Rusyd. Kata beliau:

وَالْعُلَمَاءُ مُتَّفِقُونَ فِيمَا عَلِمْتُ أَنَّهُ لَا يَجُوزُ ‌بَيْعُ لَحْمِهَا

Maksudnya: “Dan ulama’ bersepakat – pada pengetahuanku – bahawa daging korban tidak boleh dijual.” (Lihat Bidayatu al-Mujtahid, 2/201)

 

Penutup

Berdasarkan perbincangan di atas, pelaku ibadah korban dilarang sama sekali daripada menjual daging korbannya dan hukumnya adalah haram kerana matlamat di sebalik pensyariatan ibadah korban adalah untuk memastikan ia dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua lapisan masyarakat khususnya golongan fakir miskin.

Kami kemukakan sekali lagi firman Allah SWT:

فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ

Maksudnya: “Dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.”

(Surah al-Hajj: 28)

Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita sebagai salah seorang yang mampu untuk menunaikan ibadat korban dengan sebaiknya. Begitu juga, menjadikan kita antara hamba-hamba Allah SWT yang benar-benar bertaqwa kepada-Nya. Amin.

Bertarikh: 17 Mei 2023 bersamaan 28 Syawal 1444H

Leave a Reply