Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bapa mertua saya tak amalkan ajaran Islam seperti solat, puasa dan lain-lain. Apa yang perlu saya lakukan?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Saya mulakan dengan firman Allah SWT:
وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا
Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”
Surah al-Isra’ (23)
Ayat di atas menjelaskan berkenaan perintah Allah SWT untuk berbuat baik kepada ibu bapa oleh anak-anak. Wasiat ini dimuliakan oleh Allah SWT dengan perintah agar manusia bertauhid dan beribadah kepada-Nya. Kemudian kewajipan tersebut digenapkan dengan kewajipan supaya berbuat baik kepada kedua-dua ibubapa. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/3932, Tafsir Ibn Kathir, 5/64)
Begitu juga, daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
رَغِمَ أَنْفُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ. قِيلَ مَنْ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ: مَنْ أَدْرَكَ أَبَوَيْهِ عِنْدَ الْكِبَرِ أَحَدَهُمَا أَوْ كِلَيْهِمَا فَلَمْ يَدْخُلِ الْجَنَّةَ
Maksudnya: “Kehinaan, kehinaan, kehinaan.” Baginda ditanya: “Siapa (yang engkau maksudkan) wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Siapa sahaja yang mempunyai orang tuanya ketika sudah lanjut usia, salah satu atau keduanya namun tidak (menjadikannya sebab) masuk syurga.”
Riwayat Muslim (2551)
Berbalik kepada soalan yang diajukan, di sini kami nyatakan beberapa nasihat dan cadangan:
Isu tidak mengerjakan solat, puasa dan seumpamanya itu merupakan suatu perkara yang besar kerana ia merupakan rukun Islam dan meninggalkannya termasuk daripada dosa-dosa besar. Maka, perkara kemungkaran perlu ditegah mengikut kemampuan seperti mana hadith daripada Abu Said al-Khudri RA: Aku telah mendengar Rasulullah SAW telah bersabda:
مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ
Maksudnya: “Sesiapa yang melihat kemungkaran, maka ubahlah ia dengan tangannya, jika tidak mampu, ubahlah dengan lisannya, jika tidak mampu, ubahlah dengan hatinya, dan itu adalah selemah-lemah iman.”
Riwayat Muslim (49)
Maka, menjadi tanggungjawab kepada kita untuk menegur/ menasihati secara baik agar hatinya lembut untuk kembali ke pangkal jalan. Allah SWT juga perintahkan agar anak-anak tetap bergaul dengan baik kepada ibu bapanya walaupun mereka tidak beriman dan mengajak kepada kekufuran. Firman Allah SWT:
وَإِن جَاهَدَاكَ عَلَىٰ أَن تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا ۖ وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا
Maksudnya: “Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukanKu atas sesuatu yang engkau tidak mengetahuinya, maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.”
Surah Luqman (15)
Imam Ibn Kathir menafsirkan bahawa sekiranya kedua orang tuamu memaksa kepada agama mereka, maka janganlah kamu mengikutnya. Begitu juga, ia tidak menjadi penghalang bagimu untuk berbakti kepada keduanya di dunia dengan cara yang baik. Ambillah iktibar daripada kisah Sa’ad bin Abi Waqqas yang berbakti kepada ibunya dan bagaimana cara penyelesaian yang dilakukan oleh Sa’ad dengan penuh berhikmah sehingga pada akhirnya, ia telah menyebabkan ibunya dapat menerimanya.” (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 6/402).
Begitu juga, kisah Imam Abu Hanifah dan ibunya. Sebagaimana kita ketahui, Abu Hanifah merupakan imam yang pertama dalam mazhab dan terkenal dengan kefaqihannya. Suatu hari ibunya bertanya tentang sesuatu hukum, namun apabila Abu Hanifah menjawabnya, ibunya tidak terima melainkan jawapan tersebut oleh Umar Ibn Zar. Lalu, Imam Abu Hanifah pergi ke majlis Umar Ibn Zar dan menanyakan soalan ibunya itu. Umar Ibn Zar hairan kerana beliau tahu bahawa Imam Abu Hanifah seorang yang amat faqih. Lalu beliau menjawabnya dan jawapan tersebut disampaikan semula kepada ibunya. (Lihat Biografi 4 Mazhab, ms 73)
Melalui kisah ini, dapat kita fahami bahawa setiap orang mempunyai sikap dan buah fikiran masin-masing. Namun begitu, sebagai anak yang taat kepada ibu bapa, kita seharusnya santuninya dengan baik selagi mana perkara tersebut tidak bercanggah dengan syarak.
Antara cara atau kaedah dalam menangani situasi ini adalah:
- Nasihat dan berbuat kepada ibu bapa semampu yang boleh dengan cara yang baik.
- Menjemput ustaz/ orang yang disegani olehnya untuk menasihatinya agar lembut hati untuk mengamalkan ajaran Islam semula.
- Tidak putus asa memberikan peringatan tentang kesan dan akibat meninggalkan solat dengan cara yang baik.
- Mengajaknya ke majlis-majlis ilmu agar hatinya terbuka dan bertaubat dengan apa yang telah dia lakukan.
- Membantu mereka dari sudut kemampuan setakat yang mampu.
- Doa buat mereka agar Allah membuka hatinya untuk bertaubat dan menginsafi atas perbuatan yang lalu.
Kesimpulan
Berdasarkan perbahasan di atas, saya menasihatkan kepada saudara untuk bertenang dan banyakkan bersabar dalam menyampaikan nasihat/ dakwah kepada bapa mertua saudara. Ia bukan suatu perkara yang mudah kerana melibatkan emosi dan sikap orang lain, namun itulah ujian yang Allah berikan buat saudara agar saudara lebih dekat pada-Nya. Perkara yang perlu kita fahami bahawa walaupun dia merupakan bapa/ ibu mertua kita, ia juga sudah seperti ibu dan bapa kita. Maka, seharusnya kita tegur dan nasihat dengan baik semampu kita kerana ia merupakan tanggungjawab kita sebagai anak.
Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka.”
Surah al-Tahrim (6)
Semoga Allah SWT memberikan kita kebaikan dan kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya seterusnya memberikan kekuatan kepada kita untuk mengamalkannya.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Surah al-Furqan (74)
Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H