Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya sekarang ini dalam dilema sebab nak penuhi jemputan sahabat baik untuk jamuan rumah terbuka atau teruskan puasa putih pada hari Sabtu ini 15 Syawal. Yang mana patut saya pilih? Jazakumullah khairan kathiran Datuk.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Rasulullah SAW menggalakkan kita berpuasa pada hari-hari putih. Daripada Qatadah bin Milhan RA, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْمُرُنَا أَنْ نَصُومَ الْبِيضَ: ثَلاَثَ عَشْرَةَ، وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ، وَخَمْسَ عَشْرَةَ. وَقَالَ: هُنَّ كَهَيْئَةِ الدَّهْرِ.

Maksudnya: “Rasulullah SAW menyuruh kami berpuasa pada hari-hari putih, iaitu 13, 14, dan 15 haribulan. Baginda juga bersabda: Puasa tiga hari tersebut seolah-olah puasa sepanjang tahun.”

Riwayat Abu Dawud (2449)

Pada asasnya, seseorang yang melakukan puasa sunat, kemudian dia berbuka dengan sengaja, maka hukumnya adalah makruh. Namun, dia tidak diwajibkan untuk mengqadha’ puasa tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/118)

Ibn Rusyd menyebut: “Ulama’ bersepakat berkenaan hukum membatalkan puasa sunat, bahawa tidak ada kewajiban qadha’ bagi seseorang yang membatalkan puasa sunatnya kerana adanya uzur tertentu. Namun para ulama’ berbeza pendapat tentang seseorang yang membatalkan puasa sunatnya dengan sengaja atau tanpa adanya uzur tertentu. Jika menurut pendapat Imam Malik dan Abu Hanifah, mereka mewajibkan untuk qadha’ puasa sunat tersebut. Namun, tidak wajib mengqadha’ puasa sunat yang dibatalkan jika menurut pendapat Imam al-Syafi’i dan sebahagian ulama’ yang lain. (Lihat Bidayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtasid, 1/287)

Antara dalil bahawa dibolehkan untuk membatalkan puasa sunat ialah, seperti dalam hadith yang diriwayatkan daripada Ummu Hani’ R.Anha, bahawa Nabi SAW bersabda:

الصَّائِمُ الْمُتَطَوِّعُ أَمِينُ نَفْسِهِ إِنْ شَاءَ صَامَ وَإِنْ شَاءَ أَفْطَر

Maksudnya: “Seseorang yang berpuasa sunat menjadi penentu dirinya. Jika dia mahu dia boleh teruskan berpuasa, dan jika mahu dia juga boleh berbuka.”

Riwayat al-Tarmizi (32)

Berbalik kepada persoalan di atas, dibenarkan bagi orang yang melakukan puasa sunat untuk berbuka apabila dijemput ke sesuatu majlis jamuan. Hal ini berdasarkan hadith daripada Abu Sa’id al-Khudri R.A, katanya:

دَعَا رَجُلٌ إِلَى طَعَامٍ فَقَالَ رَجُلٌ إِنِّي صَائِمٌ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَعَاكُمْ أَخَاكُمْ وَتَكَلَّفَ لَكُمْ أَفْطِرْ وَصُمْ يَوْمًا مَكَانَهُ إِنْ شِئْتَ

Maksudnya: “Seorang sahabat telah menjemput ke jamuan makan. (Setelah dihidangkan makanan), salah seorang daripada sahabat berkata: “Sesungguhnya aku sedang berpuasa.” Lalu Rasullullah SAW bersabda: Saudara kamu telah menjemput dan bersusah payah untuk kamu. Berbukalah dan gantilah pada hari yang lain sekiranya kamu mahu.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (3/306). Al-‘Ajluni dalam Kasyf al-Khafa’ (1/238) menilai hadis ini sebagai dha’if. Manakala dalam hadis ini dinilai sebagai hasan dalam kitab Irwa’ al-Ghalil (1952).

Menurut ulama’ Syafi’i dan Hanabilah, dalam situasi seseorang yang dijemput ke majlis makan dalam keadaan seseorang itu berpuasa sunat, maka mereka berpendapat bahawa sunat berbuka sekiranya membebankan dan menyusahkan tuan rumah. Hal ini kerana dibenarkan baginya untuk menggantikan puasa sunat itu pada hari yang lain. Di samping itu, ia juga dapat memberi kegembiraan kepada pihak tuan rumah yang menjemputnya. Akan tetapi, jika keadaan dia terus berpuasa itu tidak memberatkan tuan rumah, maka afdhal baginya untuk meneruskan puasa tersebut tanpa perlu membatalkannya. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 45/118)

Justeru, saya katakan seseorang itu lebih arif akan keadaan dirinya, begitu juga tuan rumah yang menjemputnya. Maka, dengan kebijaksanaannya pilihlah yang terbaik, sama ada berbuka atau teruskan puasa. 

Syor dan cadangan saya, kalau boleh digabungkan kedua-duanya alangkah baik. Seperti, mohon kepada tuan rumah untuk datang waktu berbuka puasa maka kita akan dapat menghimpun dua kebaikan. Saya akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Surah al-Baqarah (201)

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply