Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya perlukan bantuan berkenaan ibadah korban. Arwah ayah saya pernah mewasiatkan untuk menjalankan ibadah korban bagi pihaknya. Soalan ialah nama ketika melakukan ibadah korban itu perlu nama ayah sahaja atau bagaimana? Dan hukum pengagihan daging korban tersebut. Terima kasih tuan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Saya mulakan dengan firman Allah SWT:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Maksudnya: Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).

Surah al-Kauthar (2)

Menjawab persoalan di atas, saya nyatakan sah sementelahan lagi ayah saudara telah wasiatkannya. Kami nukilkan di sini pendapat Imam Nawawi.

Tidak boleh melakukan korban buat si mati melainkan ianya telah diwasiatkan oleh si mati sebelum kematiannya. Ini adalah pendapat al-Syafi’ieyyah yang mana al-Imam al-Nawawi Rahimahullah menyebutkan: “Dan tidaklah disembelih bagi orang lain melainkan mendapat izin daripadanya dan tidak juga daripada yang mati melainkan ianya telah diwasiatkan.” (Lihat Minhaj al-Tolibin wa ‘Umdah al-Muftin fi al-Fiqh, hlm. 321)

“Dari Hanasy katanya aku pernah lihat Ali RA mengorbankan dua ekor kibas maka aku bertanya kepadanya, “Apa ini? (mengapa korban dua ekor?)” 

Jawab Saidina Ali RA:

إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- أَوْصَانِى أَنْ أُضَحِّىَ عَنْهُ فَأَنَا أُضَحِّى عَنْهُ.

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW berwasiat kepada aku agar aku berkorban untuknya, maka akupun berkorban untuk baginda.”

Hadith riwayat Abu Daud

Walaupun permasalahan ini menjadi khilaf dikalangan ulama, kami cenderung dengan pendapat yang ketiga iaitu pendapat kebanyakan Syafi’iyyah iaitu mesti adanya wasiat dari si mati untuk melakukan korban buat dirinya.

Namun, kami juga tidak menafikan pendapat sebahagian Syafi’iyyah yang berpendapat bahawa tidak memerlukan kepada wasiat. Ini sepertimana yang telah dinukilkan oleh Prof. Dr. Muhammad al-Zuhaili Hafizahullah yang mana menyebutkan: “(dan dikatakan) sah hukumnya sembelihan bagi si mati sekalipun tidak diwasiatkan kerana ianya seperti sedekah maka sahlah juga bagi si mati dan ianya memberi manfaat buatnya”. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e. Dar al-Qalam, 2/490)

Justeru, niatlah untuk ayah anda dan namanya. Adapun hukum pengagihan maka anda sebagai wakil boleh melaksanakannya mengikut kesesuaian iaitu sekurang-kurangnya yang terbaik; ⅓ dibahagi kepada fakir miskin, ⅓ dibagi sebagai hadiah kepada orang-orang kaya dan berada dan ⅓ untuk makan dan juga simpan.

Semoga Allah SWT terima ibadat korban kita. Amin.

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply