Soalan :

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah saya boleh melaksanakan umrah pada bulan-bulan haji, tetapi saya tidak melaksanakan haji pada tahun tersebut? Sebagai contoh, saya pergi ke Makkah lebih kurang setengah bulan sebelum haji. Kemudian saya tunaikan umrah dan menyelesaikannya. Setelah itu, saya pulang. Adakah hal seperti ini dibenarkan? Terima kasih.

Jawapan :

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

الْحَجُّ أَشْهُرٌ مَّعْلُومَاتٌ

Maksudnya: (Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum.”

(Surah al-Baqarah: 197)

Ibn Rajab al-Hanbali dalam Lata’if al-Ma’arif menyebut: Bulan-bulan (أَشْهُرٌ) tersebut ialah Syawal, Zulkaedah, dan 10 hari terawal Zulhijjah. Perkara ini diriwayatkan daripada Umar, anaknya Abdullah, Ali, Ibn Mas’ud, Ibn Abbas, Ibn al-Zubair, dan lain-lain. Ia juga adalah pandangan kebanyakan tabi’in, mazhab al-Syafi’i, Ahmad, Abu Hanifah, Abu Yusuf, Abu Thaur, dan selain mereka. Tetapi, al-Syafi’i dan sekumpulan ulama mengecualikan hari raya korban, namun majoriti ulama memasukkannya ke dalam bulan-bulan haji kerana ia adalah hari Haji Akbar dan banyak amalan dalam ibadah haji dilakukan pada hari itu. (Lihat Lata’if al-Ma’arif, hlm 269)

Pengertian haji dari segi bahasa ialah menuju atau mengunjungi ke sesuatu tempat. Manakala dari segi istilah bermaksud  mengunjungi Baitullah (Ka’bah) pada masa-masa tertentu (bulan haji, Zulhijah) serta melaksanakan perkara-perkara yang wajib bagi ibadah haji. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 17/23)

Manakala pengertian umrah pada bahasa ialah ziarah, dan dari segi istilah yang disepakati oleh kebanyakan ulama ialah tawaf di baitullah, dan saie di antara safa dan marwah dengan ihram. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 30/314)

 

Dalam menjawab persoalan di atas, dibolehkan melakukan umrah pada bulan-bulan haji, dan tidak ada perselisihan dalam kalangan ulama’ berkenaan perkara ini.

Sesungguhnya Nabi SAW telah melaksanakan umrah sebanyak empat kali dan semuanya Baginda lakukan pada bulan Zulkaedah. Bulan tersebut adalah termasuk bulan haji, iaitu Syawwal, Zulkaedah dan Zulhijjah. Baginda tidak melaksanakan haji melainkan pada umrah yang terakhir, pada Haji Wada’.

Hadith daripada Anas R.A, katanya:

اعْتَمَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَرْبَعَ عُمَرٍ، كُلَّهُنَّ فِي ذِي القَعْدَةِ، إِلَّا الَّتِي كَانَتْ مَعَ حَجَّتِهِ: عُمْرَةً مِنَ الحُدَيْبِيَةِ فِي ذِي القَعْدَةِ، وَعُمْرَةً مِنَ العَامِ المُقْبِلِ فِي ذِي القَعْدَةِ، وَعُمْرَةً مِنَ الجِعْرَانَةِ، حَيْثُ قَسَمَ غَنَائِمَ حُنَيْنٍ فِي ذِي القَعْدَةِ، وَعُمْرَةً مَعَ حَجَّتِهِ. 

Maksudnya: “Rasulullah SAW mengerjakan umrah sebanyak empat kali, semuanya pada bulan Dzu al-Qa’dah kecuali umrah yang ditunaikan bersama haji Baginda, iaitu satu umrah dari Hudaibiyah pada bulan Dzu al-Qa’dah, satu umrah pada tahun berikutnya pada bulan Dzu al-Qa’dah, satu umrah dari Ji’ranah yang Baginda membahagikan harta rampasan perang Hunain, juga pada bulan Dzu al-Qa’dah, dan satu umrah bersama haji Baginda.”

Riwayat al-Bukhari (4148), Muslim (1253) dan Abu Daud (1994)

Imam al-Nawawi menyebut: 

 فَالْحَاصِلُ من رواية أنس وبن عُمَرَ اتِّفَاقُهُمَا عَلَى أَرْبَعِ عُمَرٍ وَكَانَتْ إِحْدَاهُنَّ فِي ذِي الْقَعْدَةِ عَامَ الْحُدَيْبِيَةِ سَنَةَ سِتٍّ مِنَ الْهِجْرَةِ وَصُدُّوا فِيهَا فَتَحَلَّلُوا وَحُسِبَتْ لَهُمْ عُمْرَةٌ وَالثَّانِيَةُ فِي ذِي الْقَعْدَةِ وَهِيَ سَنَةَ سَبْعٍ وَهِيَ عُمْرَةُ الْقَضَاءِ وَالثَّالِثَةُ فِي ذِي الْقَعْدَةِ سَنَةَ ثَمَانٍ وَهِيَ عَامَ الْفَتْحِ وَالرَّابِعَةُ مَعَ حَجَّتِهِ وَكَانَ إِحْرَامُهَا فِي ذِي الْقَعْدَةِ واعمالها في ذى الحجة

“Kesimpulan daripada periwayatan Anas dan Ibn ‘Umar, keduanya sepakat bahawa umrah (Rasulullah SAW) adalah sebanyak empat kali. Salah satunya adalah pada bulan Zulkaedah pada tahun Hudaibiyah 6 Hijrah. Mereka terhalang di Hudaibiyah, lalu bertahallul sehingga hal itu dikira umrah untuk mereka. Kedua, pada bulan Zukaedah tahun 7 Hijrah, iaitu umrah qadha’. Ketiga, pada bulan Zulakaedah tahun 8 Hijrah iaitu pada Tahun Pembukaan (kota Makkah). Yang keempat adalah bersama dengan hajinya. Ihramnya pada bulan Zulkaedah, sementara amalan hajinya pada bulan Zulhijjah.”

وقال : قَالَ الْعُلَمَاءُ وَإِنَّمَا اعْتَمَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ هَذِهِ الْعُمْرَةَ فِي ذِي الْقَعْدَةِ لِفَضِيلَةِ هَذَا الشهر وَلِمُخَالَفَةِ الْجَاهِلِيَّةِ فِي ذَلِكَ فَإِنَّهُمْ كَانُوا يَرَوْنَهُ مِنْ أَفْجَرِ الْفُجُورِ كَمَا سَبَقَ فَفَعَلَهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّاتٍ فِي هَذِهِ الْأَشْهُرِ لِيَكُونَ أَبْلَغَ فِي بَيَانِ جَوَازِهِ فِيهَا وَأَبْلَغَ فِي إِبْطَالِ مَا كَانَتِ الْجَاهِلِيَّةُ عَلَيْهِ وَاللَّهُ أَعْلَمُ 

Beliau menambah: “Para ulama’ menyatakan, sesungguhnya Nabi SAW melaksanakan umrah ini pada bulan Zulkaedah kerana keutamaan bulan ini dan untuk menyalahi (kebiasaan) Jahiliyyah dalam hal itu yang menganggapnya sebagai kejahatan yang besar. Maka Nabi SAW melaksanakannya beberapa kali pada bulan ini, agar lebih tepat dalam menjelaskan dibolehkannya (melaksanakan umrah pada bulan ini) dan lebih kuat pengaruhnya dalam menghilangkan kebiasaan jahiliyyah. Wallahu a’lam. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 8/235-236)

Justeru, kami nyatakan bahawa dibolehkan untuk melakukan umrah pada bulan-bulan haji. Sesungguhnya Nabi SAW telah melaksanakan umrah sebanyak empat kali dan semuanya Baginda lakukan pada bulan Zulkaedah, di mana ia termasuk salah satu daripada bulan haji (Syawwal, Zulkaedah dan Zulhijjah).

Begitu juga, lebih-lebih lagi zaman sekarang, apabila kerajaan Saudi melonggarkan visa kepada visa umrah dan juga visa pelancongan, ini menyebabkan jemaah boleh melaksanakan umrah sekalipun di dalam bulan-bulan Haji. Seingatan saya ia baru bermula setahun atau selepas pandemik COVID-19. 

Walaupun begitu, mereka yang berada di sana tidak berpeluang menunaikan ibadat Haji kerana visa Haji adalah visa yang berlainan serta kawalan yang rapi menghalang mereka yang tidak mempunyai tasrih atau visa Haji bagi melaksanakan ibadat Haji. Boleh jadi mereka akan dihukum dan dianggap satu kesalahan jika ditangkap.

Justeru, saya katakan sekali lagi, bahawa boleh melaksanakan ibadah umrah pada musim Haji atau bulan-bulan Haji sekali pun pada tahun tersebut beliau tidak menunaikan ibadat Haji.

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنا حجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ

Maksudnya: “Ya Allah! jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply