Soalan:     

Assalamualaikum w.b.t. Saya tertanya-tanya, bolehkah kita memakan haiwan yang dipanggil manatee? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ

Maksudnya:Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut.

(Surah al-Ma’idah: 96)

Syeikh al-Sa‘di menyebutkan, tatkala haiwan buruan itu merangkumi haiwan buruan darat dan lautan, Allah SWT telah mengecualikan bagi kamu — dalam keadaan kamu sedang berihram — haiwan buruan laut iaitu haiwan laut yang hidup dan makanan yang didapati dari laut iaitu haiwan laut yang sudah mati. Justeru, perkara itu menunjukkan bahawa bangkai haiwan laut adalah halal. Selain itu, faedah kehalalannya itu adalah bertujuan supaya kamu memanfaatkannya dan begitu juga temanmu yang bersama kamu dalam perjalanan turut memanfaatkannya. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/244).

Gambar di atas: Manatee (Lembu laut)

Definisi manatee

Manatee, kadangkala dikenali sebagai lembu laut ialah mamalia air yang besar. la tergolong dalam kumpulan mamalia — dari keluarga Sirenia — yang sama seperti dugong. Terdapat tiga spesies manatee. Manatee Hindia Barat tinggal di Laut Caribbean dan di sepanjang pantai timur Laut Amerika Selatan dan di perairan tenggara Amerika Syarikat. Manatee Amazon menetap di sistem Sungai Amazon dan Sungai Orinoco, manakala manatee Afrika pula tinggal di sungai dan perairan pantai barat Afrika. Manatee Hindia Barat dan Amazon diburu kerana daging, kulit dan minyaknya, dan kedua-duanya menghadapi bahaya kepupusan.

Manatee makan tumbuh-tumbuhan laut sama ada di air tawar atau masin. Bibir sebelah atasnya terbahagi dua, dan berfungsi seperti playar pada tumbuh-tumbuhan apabila tertutup. Seekor manatee boleh makan sehingga melebihi 45 kilogram tumbuh-tumbuhan air dalam sehari. Di Guyana, Amerika Selatan, manatee digunakan untuk membebaskan terusan daripada tumbuh-tumbuhan rumpai yang menghalang laluan. Manatee membesar sehingga sepanjang lima meter dan beratnya mencapai sehingga melebihi 650 kilogram. Ia mempunyai kulit berwarna kelabu muda atau gelap dengan bulu kasar yang pendek bertaburan di seluruh badannya. Kaki hadapannya berbentuk seperti pengayuh dan ekornya membulat. Manatee tidak mempunyai kaki belakang.

Dari segi pengelasan saintifik, Manatee membentuk genus Trichechus dalam keluarga Trichechidae. Manatee Hindia Barat ialah T. manatus; manatee Amazon, T. Inunguis; manatee Afrika, T. senegalensis. (Lihat Ensiklopedia Dunia, 13/246-247).

Hukum manatee

Pada asasnya, haiwan air dapat dibahagikan kepada dua kategori iaitu spesies ikan sebagaimana rupa bentuknya yang telah diketahui umum. Ia adalah halal untuk dimakan walau bagaimanapun cara ia dimatikan serta tidak perlu disembelih. Hal ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَّكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran.”

(Surah al-Ma’idah: 96)

Begitu juga, terdapat riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata:

أُحِلَّت لَنا مَيتَتانِ ودَمانِ؛ الجَرادُ والحيتانُ، والكَبدُ والطِّحالُ

Maksudnya:Dihalalkan ke atas kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah. (Dua jenis bangkai) iaitu belalang dan ikan. (Dua jenis darah) iaitu hati dan limpa.”

Riwayat al-Baihaqi (1211)[1]

Keduanya, haiwan air yang tidak menyerupai bentuk kebiasaan ikan seperti babi air dan anjing laut. Para ulama telah berselisih pendapat dalam kategori ini. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/547-548). Bagi kategori ini, Imam al-Nawawi ada menukilkan tiga pendapat yang masyhur mengenai perkara ini dalam kitab beliau, dan menyatakan bahawa pendapat yang sahih di sisi ulama mazhab al-Syafi‘i adalah semuanya halal untuk dimakan, tanpa perlu berhajat kepada sembelihan. Justeru, bangkainya adalah halal untuk dimakan. Hal ini kerana perkataan al-Samak “السَّمَك” — sebagaimana yang terdapat dalam hadith — merujuk kepada semua hidupan air. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/33-34; al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/548). Ia termasuk sebagaimana firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ

Maksudnya:Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut.

(Surah al-Ma’idah: 96)

Begitu juga, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ

Maksudnya:Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.

Riwayat Abu Daud (83); al-Tirmizi (69) dan al-Nasa’i (59)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa manatee adalah halal untuk dimakan dengan syarat ia tidak beracun mahupun memberi mudarat kepada pemakannya. Hal ini kerana ia termasuk dalam jenis haiwan air iaitu spesies ikan yang tidak menyerupai bentuk kebiasaan ikan. Oleh itu, ia dihukumkan sebagai halal dan begitu juga bangkainya berdasarkan kepada keumuman nas al-Quran dan juga al-Sunnah.

Apatah lagi dikatakan ia adalah sangat selamat sebagai sumber makanan. Komuniti orang asli di seluruh pantai Caribbean dan Teluk Amerika Utara telah memburu dan memakan manatee selama berabad-abad.[2]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

[1] Imam al-Baihaqi menyebutkan dalam al-Sunan al-Kabir, sanad hadith ini adalah sahih.

[2] Lihat https://www.americanoceans.org/facts/can-you-eat-manatee. Diakses pada 22 Mei 2023.

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply