Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah kita tidak dibenarkan untuk berkongsi gambar anak dan makanan di media sosial? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.

Anak dan makanan merupakan sebahagian nikmat dari banyak nikmat Allah SWT. Firman Allah SWT:

وَاللَّهُ جَعَلَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا وَجَعَلَ لَكُم مِّنْ أَزْوَاجِكُم بَنِينَ وَحَفَدَةً وَرَزَقَكُم مِّنَ الطَّيِّبَاتِ ۚ

Maksudnya: “Dan Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri), dan menjadikan bagi kamu dari pasangan kamu anak-anak dan cucu-cicit, serta merezekikan kepada kamu dari benda yang baik (lagi halal).”

(Surah al-Nahl: 72)

Syeikh Muhammad Amin al-Syinqiti menyebutkan bahawa ayat ini menerang bahawa pasangan, anak-anak, dan rezeki yang baik merupakan nikmat Allah SWT yang sangat besar. (Lihat Adhwa’ al-Bayan, 2/412)

Imam Ibn Kathir menafsirkan (الطَّيِّبَاتِ) sebagai makanan dan juga minuman, hal yang demikian kerana ianya sebahagian daripada rezeki yang baik daripada Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/504)

Dan disebutkan juga di dalam firman Allah SWT:

الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ

Maksudnya: “Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia.”

(Surah al-Kahf: 46)

Imam al-Alusi menyebutkan bahawa ayat ini menerangkan tentang perkara-perkara yang menjadi kebanggaan manusia daripada kebaikan kehidupan di dunia. (Lihat Ruh al-Ma‘ani, 8/271)

Antara bentuk menzahirkan kesyukuran adalah dengan cara menceritakan nikmat yang diperolehi. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T:

وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ

Maksudnya: “Dan nikmat Tuhan kamu, maka ceritakanlah.

(Surah Al-Dhuha: 11)

Imam Ibn Kathir berkata ketika menafsirkan ayat ini: “Yakni: ‘Dan seperti kamu dahulu merupakan keluarga miskin, kemudian Allah memberikan kekayaan kepada kamu melalui kurnia-Nya, maka ceritakanlah tentang nikmat Allah ke atas kamu.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 8/414)

Diriwayat sebuah hadith daripada Al-Nu‘man Bin Basyir R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

التَّحَدُّثُ بِالنِّعَمِ شُكْرٌ

Maksudnya: “Menceritakan nikmat-nikmat itu adalah suatu kesyukuran.”

Riwayat Ahmad (18449) dan Ibn Abi Al-Dunia (64). Muhammad bin Muhammad al-Ghazzi mengatakan sanadnya dha‘if di dalam Itqan ma Yuhsan (hlm. 191)

Melihat kepada kemajuan teknologi dan penggunaan media sosial yang kian meluas di seluruh dunia, kita banyak melihat ramai orang menzahirkan nikmat-nikmat ini dengan cara berkongsi gambar bersama rakan serta kenalan di media sosial. Jika kita melihat kepada hukum asal perkara ini adalah dibolehkan, ini berdasarkan kaedah fiqhiyyah yang menyebut:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإِبَاحَةُ

Maksudnya: “Asal pada sesuatu perkara adalah harus.”

(Lihat Mausu‘ah al-Qawaid al-Fiqhiyyah, 2/115)

Akan tetapi, jika seseorang tersebut berkongsi gambar anak-anak atau makanan untuk tontonan khalayak dengan tujuan yang salah, seperti sombong dan berbangga dengan kemewahan diri atau sengaja mendatangkan rasa iri hati pada orang lain, maka ini tidak dibenarkan. Firman Allah SWT:

وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ

Maksudnya: “Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.”

(Surah al-Hadid: 23)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A sebuah hadith yang panjang, menceritakan tentang seorang lelaki Ansar yang datang kepada Rasulullah SAW, sedang Baginda duduk bersama beberapa orang sahabatnya, lalu lelaki tersebut memberi mereka makan daripada tiga jenis kurma iaitu (بُسْرٌ) kurma segar dan (تَمْرٌ) kurma kering dan (رُطَبٌ) kurma basah serta air minuman. Selepas mereka kenyang dan hilang dahaga, Rasulullah SAW bersabda kepada Abu Bakar dan Umar R.Anhuma:

والَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، لَتُسْألُنَّ عَنْ هَذا النَّعِيمِ يَوْمَ القِيامَةِ

Maksudnya: “Demi (Allah) yang diriku berada di dalam tangannya, kalian akan ditanya tentang nikmat ini pada hari kiamat kelak.”

Riwayat Muslim (2038)

Jika nikmat buah kurma dan air sahaja akan dipersoalkan di akhirat mengenainya, inikan pula nikmat makanan yang jauh lebih mewah dan enak pada zaman ini, lebih utama akan disoal oleh Allah SWT.

Lebih aula atau utama bagi seseorang itu untuk tidak berkongsi gambar makanan yang mewah-mewah tersebut. Hal ini kerana dikhuatiri akan dilihat oleh mereka yang mungkin kurang berkemampuan untuk menikmati makanan itu. Ia mungkin akan melahirkan rasa sedih dalam hati mereka kerana tidak mampu menyediakan juadah yang sama kepada keluarga. Antara bentuk belas kasihan yang kita boleh lakukan jika tidak mampu untuk berkongsi makanan tersebut dengan orang lain, adalah dengan tidak kongsikan gambarnya untuk tatapan mereka.

Diriwayatkan sebuah hadith daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ لاَ يَرْحَمُ لاَ يُرْحَمُ

Maksudnya: “Sesiapa yang tidak mengasihi, maka dia tidak akan dikasihi.”

Riwayat al-Bukhari (5997)

Akan tetapi, jika tujuan berkongsi gambar tersebut untuk perniagaan, maka tidak menjadi masalah. Ini kerana ia merupakan salah satu strategi mempromosikan barangan yang dijual dengan lebih berkesan dan meluas.

Begitu juga dibimbangi datangnya perasaan riak dan takabbur di atas kelebihan makanan yang kita miliki. Ini juga memberi ruang kepada orang yang melihat dengan memberi komen yang kadang-kadang boleh menyakitkan hati. Sebaliknya, jika makanan itu biasa, juga dibimbangi akan dikatakan dengan pelbagai ungkapan. Justeru, kedua-duanya sama ada mewah atau sebaliknya terdedah kepada umpatan.

Manakala, isu berkongsi gambar anak di sosial media adalah harus. Akan tetapi, jika dikhuatiri akan terkena penyakit ‘Ain atas dasar cemburu daripada orang yang melihat, maka sebaiknya tidak dikongsikan di sosial media.

Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata bahawa orang yang dengki dan jahat, dengan sebab pandangan matanya saja sudah cukup untuk mengenakan orang yang dipandangnya dengan sesuatu penyakit. Pun begitu, pandangan yang disebabkan kagum dan teruja dan disertai dengan sedikit sifat cemburu juga boleh menyebabkan terkena penyakit ‘Ain. (Lihat Fath al-Bari, 10/200)

Kami menasihatkan, bacalah doa yang dibacakan oleh Nabi SAW kepada Hassan dan Hussain:

أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّةِ، مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ وَهَامَّةٍ، وَمِنْ كُلِّ عَيْنٍ لَامَّةٍ

Maksudnya: “Aku berlindung dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna daripada godaan syaitan, binatang berbisa dan daripada pandangan mata yang bersifat dengki.”

Riwayat al-Bukhari (3371)

Bertarikh: 30 Mei 2023 bersamaan 10 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply