Soalan :

Assalamualaikum w.b.t. Saya nak tanya kalau kita melambatkan solat sunat selepas solat masih boleh solat lagi ke? Terima kasih.

Jawapan :

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Solat sunat merupakan antara amalan atau ibadat yang dituntut oleh syara‘ untuk dikerjakan. Solat-solat sunat yang dianjurkan tersebut juga menjanjikan fadhilat dan ganjaran yang tersendiri. Antaranya adalah, ia mampu menambah atau menampung kekurangan dalam solat fardhu seseorang. Dalam sebuah hadith daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عَمَلِهِ صَلاَتُهُ، فَإِنْ صَلَحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ، وَإِنْ فَسَدَتْ فَقَدْ خَـابَ وَخَسِرَ، فَإِنِ انْتَقَصَ مِنْ فَرِيْضَةٍ شَيْئًا، قَـالَ الرَّبُّ تَبَـارَكَ وَتَعَالَى: اُنْظُرُوْا هَلْ لِعَبْدِي مِنْ تَطَوُّعٍ، فَيُكَمَّلُ بِهِ مَا انْتَقَصَ مِنَ الْفَرِيْضَةِ ثُمَّ يَكُوْنُ سَائِرُ عَمَلِهِ عَلَى نَحْوِ ذَلِكَ.

Maksudnya: “Sesungguhnya amalan yang pertama kali dihisab daripada seorang hamba pada hari Kiamat adalah solatnya. Jika solatnya baik, maka beruntung dan selamatlah dia. Namun, jika rosak, maka rugi dan celakalah dia. Jika dalam solat fardhunya ada yang kurang, maka Rabb Yang Maha Suci dan Maha Mulia berfirman: ‘Lihatlah, adakah hamba-Ku memiliki solat sunat.’ Jika dia memiliki solat sunat, maka solat fardhunya disempurnakan oleh solat sunat tadi. Kemudian dihisablah seluruh amalan wajibnya sebagaimana tadi.”

Lihat Riwayat al-Nasa’i (451), (452) dan al-Tirmizi (411)

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji ketika menjelaskan berkenaan solat-solat sunat atau solat nafal menyebut: Perkataan nafal  (النَّفَلُ) dari segi bahasa bererti tambahan. Manakala pada istilah ialah solat selain solat fardhu. Ia dinamakan demikian kerana solat tersebut adalah tambahan  kepada solat fardhu. Solat ini juga disebut sunat, mandub atau mustahab.(Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/509-528)

Solat Sunat Rawatib

Solat rawatib sebelum solat fardhu dikenali sebagai solat sunat qabliyah, manakala solat rawatib yang setelah solat fardhu pula dikenali sebagai solat ba’diyah.

Solat sunat rawatib ini pula terbahagi kepada mu’akkad (ditekankan) dan ghairu mu’akkad (tidak ditekankan). Adapun tentang jumlah rakaat solat rawatib yang mu’akkad, telah tsabit hadith yang diriwayatkan oleh Ummu Habibah R.’Anha yang menjelaskan terdapat dua belas rakaat solat Rawatib sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:

مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يُصَلِّي لِلَّهِ كُلَّ يَوْمٍ ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً تَطَوُّعًا غَيْرَ فَرِيضَةٍ إِلاَّ بَنَى اللَّهُ لَهُ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ.

Maksudnya: Tidaklah seorang hamba Muslim mengerjakan solat kerana Allah SWT dalam satu hari dua belas rakaat sebagai tathawwu’ dan bukan fardu, melainkan Allah SWT akan membangunkan untuknya sebuah rumah di syurga.

Sahih Muslim (728)

Dalam hadith yang lain dijelaskan pula perincian solat-solat yang berjumlah dua belas rakaat seperti yang disebut dalam hadith di atas. Daripada Ummu Habibah R.’Anha, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ صَلَّى فِي يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً بُنِيَ لَهُ بَيْتٌ فِي الْجَنَّةِ أَرْبَعًا قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ صَلاَةِ الْفَجْرِ.

Maksudnya: Barang siapa yang mengerjakan solat (sunat) sebanyak dua belas rakaat dalam sehari semalam kelak akan dibangunkan untuknya sebuah rumah di syurga. Dua belas rakaat itu adalah empat rakaat sebelum solat Zohor, dua rakaat setelah solat Zohor, dua rakaat setelah solat Maghrib, dua rakaat setelah solat Isyak dan dua rakaat sebelum solat Subuh.

Sunan Tirmidzi (380) dan Sunan Ibn Majah (1196)

Kembali kepada persoalan di atas kami berpandangan diharuskan untuk melewatkan solat sunat rawatib sehinggalah habis waktu solat. Ini berdasarkan apa yang telah diterangkan oleh Ibn Qudamah dalam kitabnya al-Mughni: “Setiap sunnah sebelum solat, waktunya bermula dari masuk waktu solat hingga pelaksanaan solat. Dan setiap sunnah selepas solat, waktunya bermula dari pelaksanaan solat hingga keluar waktu solat.” (Lihat al-Mughni,2/544). Sabaiknya lakukanlah solat sunat pada waktunya kerana Rasulullah SAW amat menjaga solat sunat rawatib dan mengerjakan pada waktunya seperti mana yang telah diriwayatkan oleh Aisyah R.Anha, beliau berkata :

كَانَ النَّبِيُّ- صلى الله عليه وسلم – يُصَلِّي في بَيْتِي قَبْلَ الظُّهْرِ أرْبَعًا، ثُمَّ يَخْرُجُ، فَيُصَلِّي بِالنَّاسِ، ثُمَّ يَدْخُلُ فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ. وَكَانَ يُصَلِّي بِالنَّاسِ المَغْرِبَ، ثُمَّ يَدْخُلُ فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ، وَيُصَلِّي بِالنَّاسِ العِشَاءِ، وَيَدْخُلُ بَيتِي فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْ

Maksudnya: “Nabi Muhammad SAW melakukan empat rakaat solat sunat di rumahnya sebelum waktu zohor, kemudian Baginda keluar untuk melakukan solat berjemaah , lalu Baginda masuk kembali ke rumahnya dan melakukan dua rakaat solat sunat. Baginda juga melakukan solat berjemaah Maghrib, kemudian masuk ke rumahnya dan mendirikan solat sunat dua rakaat. Begitu juga Baginda melakukan solat berjemaah Isyak, kemudian dia masuk ke rumahnya dan melakukan dua rakaat solat.

Riwayat Muslim (1115)

Lafaz ‘’كان’’ di dalam hadith menunjukkan sesuatu yang dilakukan secara istiqamah dan berterusan. Rasulullah SAW sentiasa melakukan amalan-amalan yang dicintai Allah SWT seperti solat sunat rawatib.Marilah kita sama-sama berdoa :

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِ ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ‎

Maksudnya:Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

(Surah Ibrahim:40)

Bertarikh: 30 Mei 2023 bersamaan 10 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply