#1687: Jual Beli Kroto Sebagai Makanan Burung

Soalan:          

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Apakah hukum jual beli kroto atau telur semut sebagai makanan burung? Apatah lagi sekarang ini, sudah ada orang yang mula menternak semut bagi mendapatkan telurnya untuk dijual. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Kroto

Kami kemukakan terlebih dahulu definisi kroto. Kroto merupakan nama yang digunakan untuk merujuk kepada telur semut. Kroto biasanya disebut untuk larva semut rangrang (kerengga) yang lebih besar daripada saiz telur semut yang lain. Kroto dihasilkan oleh ratu semut rangrang dan kewujudannya dilindungi ketat oleh semut pekerja dan biasanya tersembunyi dalam gulungan daun. Bilangan telur yang dihasilkan boleh menjadi sangat banyak sehingga mencecah ribuan telur dan bilangan pekerja yang menjaganya juga sangat ramai. Dikatakan bahawa kroto mengandungi banyak nutrien penting yang diperlukan oleh haiwan dan manusia. Selain itu, kroto juga telah lama digunakan sebagai ubat herba, tetapi ia lebih popular dijadikan sebagai makanan burung atau ayam kerana kandungan nutrisinya akan menjadikan burung lebih lincah dan kicauan yang lebih merdu.[1]

Hukum jual beli kroto

Umumnya, dalam perkara jual beli, sesuatu yang hendak dijual beli mestilah bermanfaat dan boleh diambil manfaatnya. Hal ini kerana mazhab-mazhab telah bersepakat bahawa tidak dibenarkan menjual binatang buas dan burung, sekiranya tidak boleh diambil manfaatnya dalam apa jua keadaan pun. Sekiranya ia termasuk dalam jenis yang boleh diambil manfaat, maka harus untuk menjualnya kecuali babi kerana ia adalah najis. Justeru, tidak boleh mengambil menfaatnya dan begitu juga tidak boleh menjualnya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 9/154).

Begitu juga pengarang al-Fiqh al-Manhaji ada menyatakan, barangan jualan tersebut mestilah barangan yang bermanfaat menurut syarak dan uruf (kebiasaan). Maksud pada adatnya, manfaat barangan tersebut menjadi tujuan jual beli dan dibenarkan oleh syara’. Dengan ini, tidak sah menjual serangga berbisa atau haiwan yang tidak boleh dimanfaatkan atau manfaatnya tidak menjadi tujuan jual beli diadakan. Demikian juga dengan peralatan yang melalaikan yang manfaatnya tidak dibenarkan oleh syara’. Sebabnya, membayar sesuatu untuk mendapat sesuatu yang tidak bermanfaat adalah perbuatan yang membazir. Rasulullah SAW sendiri melarang pembaziran. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/17).

Terdapat riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى إِذَا حَرَّمَ شَيْئًا حَرَّمَ ثَمَنَهُ

Maksudnya:Sesungguhnya Allah SWT apabila mengharamkan sesuatu, Dia turut mengharamkan hasil jualannya.

Riwayat al-Daraqutni (2815); Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij Sunan al-Daraqutni (2815) menilainya sebagai sahih.

Imam al-Nawawi menjelaskan hadith di atas dengan menyebutkan, hadith ini difahami jika tujuan makanan itu dijual adalah untuk dimakan. Berbeza halnya jika tujuan menjual benda itu bukan untuk dimakan seperti jual beli hamba, baghal, keldai jinak kerana hukum memakannya (ketiga-tiga perkara ini) adalah diharamkan, akan tetapi dibolehkan untuk menjualnya dengan sepakat para ulama. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 11/3).

Jelaslah bahawa ketiga-tiga benda tersebut iaitu hamba, bangal dan keldai jinak sekalipun haram untuk memakannya tetapi dibolehkan untuk jual beli kerana ia boleh diambil manfaat daripadanya.

Selain daripada itu, dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah dinyatakan bahawa para fuqaha telah bersepakat, tidak boleh menjual hasyarat[2] yang sama sekali tidak mempunyai manfaatnya. Hal ini kerana disyaratkan barang yang dijual, mesti memiliki manfaat. Oleh itu, tidak boleh menjual tikus, ular, kala jengking, kumbang, semut, dan seumpamanya kerana haiwan-haiwan ini tidak mempunyai manfaat yang senilai dengan harta.

Adapun jika hasyarat itu mempunyai manfaat, maka boleh untuk menjualnya seperti ulat sutera yang menghasilkan sutera yang merupakan pakaian termahal, begitu juga lebah yang menghasilkan madu. Sehinggakan ulama mazhab Hanafi, Syafi‘i dan Hanbali menaskan bahawa boleh untuk menjual lintah kerana orang ramai berhajat kepadanya bagi tujuan rawatan melalui penghisapan darah. Ibn ‘Abidin dalam kalangan ulama mazhab Hanafi menambah, termasuklah juga ulat qirmiz (cochineal). Beliau menyatakan, ia adalah lebih utama berbanding ulat sutera dan telurnya kerana ia boleh dimanfaat serta merta, sedangkan ulat sutera tidak. Begitu juga dibolehkan untuk menjual ulat bagi tujuan memancing ikan (sebagai umpan) di sisi ulama mazhab Hanbali.

Al-Haskafi daripada kalangan ulama mazhab Hanafi ada mengadakan satu kaedah umum atau dhawabit berkenaan jual beli hasyarat iaitu:

إِنَّ جَوَازَ الْبَيْعِ يَدُورُ مَعَ حِل الاِنْتِفَاعِ

Maksudnya:Sesungguhnya keharusan jual beli (hasyarat) itu berlegar-legar pada adanya unsur manfaatnya yang halal.” (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 17/280-281).

Tambahan lagi, al-Khatib al-Syirbini pula menyatakan bahawa menjual haiwan-haiwan yang boleh diambil manfaat daripadanya seperti harimau untuk tujuan memburu, gajah untuk tujuan peperangan, monyet untuk tujuan mengawal, lebah untuk tujuan mendapatkan madu dan seumpamanya adalah dibenarkan dan sah jual beli tersebut. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/342). Ia dibenarkan atas alasan semua binatang ini mempunyai manfaat menurut adat dan dibenarkan oleh syarak. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/17).

Dalam erti kata lain, semua haiwan yang disebutkan di atas, diharuskan untuk jual beli kerana adanya manfaat yang boleh diambil daripada haiwan-haiwan tersebut sekalipun ia adalah binatang buas. Berkenaan hal ini juga, Imam al-Nawawi ada menyebutkan dalam kitabnya, di antara syarat barang jualan ialah:

النَّفْعُ فَلَا يَصِحُّ بَيْعُ الْحَشَرَاتِ، وَكُلِّ سَبُعٍ لَا يَنْفَعُ

Maksudnya:Bermanfaat. Justeru, tidak sah menjual hasyarat dan semua binatang buas yang tidak ada manfaat.” (Lihat Minhaj al-Talibin, hlm. 94).

Kemudian, ‘Umairah telah menjelaskan lagi perkataan Imam al-Nawawi di atas dengan menyebutkan bahawa ‘tidak sah menjual hasyarat’ yang tidak ada manfaatnya. Manakala lafaz “لَا يَنْفَعُ” (tidak ada manfaat) pula adalah seperti tidak boleh dimakan, tidak boleh digunakan sebagai alat komunikasi,[3] tidak boleh digunakan dalam peperangan, tidak boleh dilatih atau diajar dan tidak sesuai untuk memikul barangan. (Lihat Hasyiata al-Qalyubi wa ‘Umairah, 2/198).

Kesimpulannya

Oleh itu, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa jual beli kroto atau telur semut sebagai makanan burung adalah dibenarkan dan sah. Hal ini kerana kroto termasuk dalam benda yang suci dan boleh diambil manfaatnya untuk dijadikan sebagai makanan burung atau haiwan peliharaan yang lain, dan bukannya untuk dimakan oleh manusia.

Perbahasan berkenaan hukum memakan kroto, bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #721 Makan Kroto — Telur Semut.[4] Manakala perbahasan berkenaan kesucian telur haiwan yang tidak dimakan dagingnya pula, bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #464 Makan Telur Penyu.[5]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

[1] Lihat https://manfaat.co.id/manfaat-kroto. Diakses pada 22 Mac 2022.

[2] Hasyarat ialah haiwan kecil yang melata di bumi dan haiwan kecil perosak. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 17/278).

[3] Seperti burung merpati untuk menghantar mesej dan lain-lain.

[4] Lihat https://maktabahalbakri.com/721-makan-kroto-telur-semut/. Diakses pada 24 Mei 2023.

[5] Lihat https://maktabahalbakri.com/464-makan-telur-penyu/. Diakses pada 24 Mei 2023.

Bertarikh: 30 Mei 2023 bersamaan 10 Zulkaedah 1444H

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *