Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada persoalan berkaitan urusan jual beli. Sebuah sekolah menawarkan saya untuk membeli barang makan untuk budak-budak tadika. Bolehkah saya menaikkan harga barang-barang yang saya beli itu?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.

Pertamanya, permasalahan yang disebutkan di atas adalah berkaitan dengan urusan jual beli. Hukum asal baginya adalah harus, ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا ۚ

Maksudnya: “Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”

(Surah al-Baqarah: 275)

Imam al-Qurtubi menjelaskan bahawa lafaz jual beli ini adalah dalam bentuk umum namun pada masa yang sama ia juga khusus, iaitu terkecuali daripada riba dan selainnya yang dilarang dan ditegah syarak. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 3/356)

Urusan jual beli di dalam islam melibatkan 3 rukun yang utama:

  • Pihak yang melakukan akad, iaitu penjual dan pembeli.
  • Barang yang diakadkan, iaitu barang jualan dan wang yang dijadikan tukaran.
  • Lafaz akad, iaitu lafaz jual dan beli.

(Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/323)

Melihat kepada situasi yang ditanyakan, sekolah tersebut boleh kita katakan sebagai pembeli. Manakala saudara yang bertanya pula boleh dikira sebagai penjual. Barang yang diakadkan pula adalah barang yang disediakan untuk anak-anak tadika tersebut, dan wang yang dijadikan sebagai tukaran.

Kadar wang tersebut pada asalnya tidaklah mempunyai masalah jika dijumlahkan sekali dengan harga pengangkutan, upah saudara yang mengerah tenaga untuk menyediakan barangan tersebut, dan juga sedikit keuntungan yang tidak keterlaluan sehingga mencapai harga yang tidak munasabah.  Hal ini kerana, disamping rukun-rukun jual beli yang perlu mencukupi, jual beli juga mestilah berasaskan redha dan rela hati antara penjual dan pembeli.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تَأْكُلُواْ أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ إِلاَّ أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara rela hati di antara kamu.”

(Surah al-Nisa’: 29)

Adapun pada dasar mengambil keuntungan, syara‘ tidak menetapkan had tertentu bagi seseorang mengambil keuntungan ketika berniaga. Ianya bergantung kepada toleransi dan budi bicara penjual sama ada ingin mengambil keuntungan yang banyak atau sedikit.

Diriwayatkan sebuah hadith yang panjang daripada Abdullah bin al-Zubair R.Anhuma, dikisahkan tentang kewafatan bapanya al-Zubair bin al-‘Awwam ketika perang Jamal. Apabila Abdullah bin al-Zubair R.Anhuma ingin melangsaikan hutang bapanya, lalu dia menjual sebidang tanah hutan bapanya dan membayar hutang dengan keuntungan hasil jualan tersebut. Kata Abdullah R.Anhuma:

كَانَ الزُّبَيْرُ اشْتَرَى الغَابَةَ بِسَبْعِينَ وَمِئَةِ أَلْفٍ، فَبَاعَهَا عَبْدُ اللَّهِ بِأَلْفِ أَلْفٍ وسِتِّ مِئَةِ أَلْفٍ

Maksudnya: “Al-Zubair telah membeli sebidang tanah hutan dengan harga seratus ribu dan tujuh puluh dinar, lalu Abdullah menjualnya dengan harga satu juta dan enam ratus ribu dinar.”

Riwayat al-Bukhari (3129)

Kami menasihatkan, jika ingin mengambil keuntungan daripada barang jualan, biarlah dengan harga yang munasabah dan sesuai dengan kemampuan pembeli tersebut, dan janganlah sehingga menindas mana-mana pihak.

Ingatlah hadith yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

رَحِمَ اللهُ رَجُلًا سَمْحًا إذا باعَ، وإذا اشْتَرى، وإذا اقْتَضى

Maksudnya: “Allah mengasihi lelaki yang bertoleransi ketika menjual, membeli, dan meminta hutang.”

Riwayat al-Bukhari (2076)

Walaupun begitu, amat perlu meraikan maslahat umum serta bertimbang rasa menjadi isu yang utama. Ini kerana, dalam berinteraksi seperti muamalat, ia amat perlu melahirkan rasa kasih sayang, respect dan penghormatan antara sesama masyarakat. Dengan cara ini, akan melahirkan masyarakat yang aman damai, harmoni serta saling bantu membantu antara satu sama lain. Mereka dapat melaksanakan kehendak surah al-Ma’un dengan sebaik-baiknya. Antaranya firman Allah SWT:

 وَيَمْنَعُونَ الْمَاعُونَ ‎

Maksudnya: “Dan orang-orang yang tidak memberi sedikit pertolongan (kepada orang yang berhak mendapatnya).”

(Surah al-Ma’un: 7)

Bertarikh: 30 Mei 2023 bersamaan 10 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply