Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah dibolehkan bagi seseorang untuk menunaikan haji melalui pembiayaan atau pinjaman institusi kewangan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, hukum mengerjakan ibadah haji dan umrah adalah wajib dikerjakan sekali seumur hidup bagi mereka yang berkemampuan. Terdapat banyak kelebihan yang telah dijanjikan kepada sesiapa yang melaksanakan ibadah haji dan umrah dengan penuh keikhlasan dan ketakwaan.

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

الْعُمْرَةُ إِلَى الْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا وَالْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلاَّ الْجَنَّةُ

Maksudnya:Ibadah umrah kepada umrah berikutnya adalah kaffarah (penghapusan dosa) di antara kedua-duanya. Dan haji yang mabrur tiada balasan (bagi pelakunya) melainkan syurga).”

Riwayat al-Bukhari (1773) dan Muslim (1449)

Hadith di atas jelas menunjukkan kepada kita bahawa pensyariatan ibadah haji dan umrah merupakan satu pensyariatan yang agung di sisi Allah SWT. Hal ini jelas dapat dilihat berdasarkan hadith yang telah dinyatakan seperti di atas. Nabi SAW telah menjanjikan balasan syurga kepada sesiapa yang mencapai tahap mabrur dalam pelaksanaan ibadah hajinya. Begitu juga kepada sesiapa yang melaksanakan ibadah umrah secara berulang kali, dosa-dosa kecil mereka akan dihapuskan sepanjang tempoh jarak ibadah umrah tersebut.

Merujuk kepada persoalan di atas, hukum melaksanakan ibadah haji melalui pembiayaan atau pinjaman institusi kewangan adalah dibolehkan dan diharuskan. Namun begitu, pelaksanaan ibadah haji dengan cara ini mestilah mematuhi beberapa syarat atau dhawabit yang telah ditetapkan sepertimana berikut:

Pertama: Pinjaman kewangan yang dilakukan itu tidak mempunyai unsur-unsur riba. Ini kerana hukum riba telah jelas dinyatakan haram di dalam al-Quran. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَأَحَلَّ اللَّـهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا

Maksudnya: “Dan Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”

 (Surah al-Baqarah: 275)

Al-Baidhawi di dalam tafsirnya menyebutkan: Ayat ini menjadi dalil kepada keharusan berjual beli dan larangan melakukan riba. Beliau juga mengatakan bahawa ayat ini juga mengingkari perbuatan menyamakan jual beli bersama riba. (Lihat Tafsir al-Baidhawi, 1/162)

Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas berkata, bahawa mereka yang makan riba’ tidak akan bangkit dari kuburnya pada hari kiamat, melainkan sebagaimana orang yang menghidapi sakit sawan itu bangkit ketika dia menderita terkena sawan, dan (rasukan) syaitan membuatnya terhuyung-hayang. Dan itu adalah kerana dia berdiri dalam kehinaan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/708)

Kedua: Mempunyai pendapatan yang melebihi sara diri serta orang yang di dalam tanggungannya untuk melunaskan hutang dan perbelanjaan dalam mengerjakan ibadah haji. Justeru, barangsiapa yang tidak mempunyai lebihan wang daripada pendapatannya atau pendapatannya hanya cukup-cukup untuk kehidupan sehariannya maka kewajipan untuk melaksanakan ibadah haji tergugur daripadanya sekalipun dia mengambil pinjaman daripada institusi kewangan.

Ketiga: Pinjaman yang dilakukan itu dibuat di atas dasar menyegerakan perintah Allah SWT di dalam melaksanakan rukun Islam semata-mata. Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَرَادَ الْحَجَّ فَلْيَتَعَجَّلْ فَإِنَّهُ قَدْ يَمْرَضُ الْمَرِيضُ وَتَضِلُّ الضَّالَّةُ وَتَعْرِضُ الْحَاجَةُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang ingin menunaikan ibadah haji maka bersegeralah untuk menunaikannya kerana tidak diketahui bila masa sakit itu menyerang seseorang atau kenderaannya hilang ataupun datang keperluannya yang lain.” 

Riwayat Abu Daud (1732), Ibn Majah (2883) dan Ahmad (1834). Hadith ini dinyatakan sebagai hasan dalam Sahih al-Jami’ (6004).

Dalam riwayat yang lain, daripada Abdullah bin Abbas R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

تَعَجَّلُوْا إِلَى الْحَجِّ فَإِنَّ أَحَدَكُمْ لاَ يَدْرِي مَا يَعْرِضُ لَهُ

Maksudnya: “Bersegeralah melaksanakan haji, kerana sesungguhnya salah seorang di antara kamu tidak mengetahui apa yang akan merintanginya.”

Riwayat Ahmad (2869), al-Baihaqi (8956) dan al-Tahawi dalam Syarh Musykil al-Athar (6031). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menilai hadith ini sebagai hasan dalam takhrij al-Musnad.

 Kesimpulan

Kemampuan merupakan salah satu syarat wajib yang harus dipenuhi bagi sesiapa yang ingin menunaikan ibadah haji. Oleh itu, bagi sesiapa yang tidak berkemampuan maka gugurlah kefardhuan haji ke atasnya disebabkan kekurangannya. 

Namun begitu, bagi mereka yang mampu untuk membuat pinjaman maka diharuskan baginya untuk melaksanakan ibadah haji. Walau bagaimanapun cara ini hanya dibolehkan bagi mereka yang yakin mampu untuk membayar semula pinjaman yang telah dibuatnya sekembalinya dari Tanah Suci.

Akhir sekali, marilah kita berdoa semoga kita dijauhi dan dilindungi oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dimurkai oleh-Nya seterusnya hidup dibawah rahmat-Nya. Amin.

Bertarikh: 31 Mei 2023 bersamaan 11 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply