Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah terdapat jenis mengumpat yang dibenarkan dalam Islam? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, Islam merupakan sebuah agama yang amat menjaga kehormatan dan kemuliaan seseorang insan sama ada insan itu muslim atau bukan muslim. Justeru itu, agama ini mengharamkan perkara-perkara yang boleh mencalarkan atau merosakkan maruah seseorang seperti mengumpat sehingga Allah SWT membuat satu perumpaan yang dahsyat kepada golongan seperti ini.

Allah SWT berfirman:

 وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ

Maksudnya: “Dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya.”

(Surah al-Hujurat: 12)

Al-Syaukani berkata: Allah SWT memisalkan ghibah (mengumpat) dengan memakan bangkai seseorang. Ini kerana, bangkai sama sekali tidak tahu siapa yang memakan dagingnya. Ini sama halnya dengan orang yang hidup juga tidak mengetahui siapa yang mengumpat dirinya. Demikianlah keterangan daripada al-Zajjaj. (Lihat Fath al-Qadir, 8/132).

Syeikh al-Maraghi di dalam tafsirnya menyatakan ghibah (mengumpat) diumpamakan seperti memakan daging kerana mengumpat itu bererti menyiat-nyiat kehormatan seperti memakan dan menyiat-nyiat daging. Perumpamaan seperti ini sesuai dengan cara orang Arab berkomunikasi. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 26/139)

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَتَدْرُونَ مَا الْغِيبَةُ؟ قَالُوا: اللهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ، قَالَ: ذِكْرُكَ أَخَاكَ بِمَا يَكْرَهُ

Maknanya: “Adakah kamu tahu apakah itu ghibah (mengumpat)?” Para sahabat berkata: Hanya Allah dan Rasul-Nya yang mengetahuinya. Nabi SAW bersabda: “Kamu menyebut perihal saudaramu yang tidak disukainya.” 

Riwayat Muslim (2589)

Perkataan ghibah berasal daripada (اغْتَابَ – يَغْتَابُ), diambil daripada perkataan  (غَيَبَ) yang bermaksud sesuatu yang tidak dapat dilihat oleh mata. Hal ini kerana hakikat daripada perbuatan ghibah adalah mencela atau menyebut aib seseorang ketika orang yang dicela tidak ada di hadapannya. (Lihat Mu’jam Maqayis al-Lughah, 4/403; Minhatu al-’Allam, 10/238)

Imam al-Nawawi berkata:

وَالْغِيْبَةُ ذِكْرُ الإِنْسَانِ فِي غَيْبَتِهِ بِمَا يَكْرَهُ

Maksudnya: “Ghibah adalah perbuatan menyebut sesuatu yang tidak disukai oleh seseorang ketika orang yang dibicarakan sedang tidak ada di hadapannya.” (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 16/142)

Menurut Imam al-Nawawi lagi, ungkapan (بِمَا يَكْرَهُ)  mengandungi makna umum, iaitu semua yang dibenci dan tidak disukai oleh orang yang dighibahkan, sama ada ia berkait dengan masalah agama, atau masalah dunia, seperti masalah hartanya, fizikalnya, keluarganya, anaknya, pakaiannya dan sebagainya. (Lihat al-Minhaj,  16/142)

Al-Qurtubi berkata: “Para ulama telah sepakat bahawa ghibah termasuk dosa besar. Mereka berdalilkan dengan sabda Nabi SAW:

فَإِنَّ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالكُمْ وَأَعْرَاضكُمْ حَرَام عَلَيْكُم

Maksudnya: “Sesungguhnya darah kamu, harta kamu dan kehormatan kamu adalah haram atas (sesama) kamu semua.” 

Riwayat Muslim (3179)

Yahya bin Muaz berkata:

لِيَكُنْ حَظُّ الْمُؤْمِنِ مِنْكَ ثَلَاثُ خِصَالٍ: إِنْ لَمْ تَنْفَعْهُ فَلَا تَضُرُّهُ. وَإِنْ لَمْ تَسُرُّهُ فَلَا تَغُمُّهُ. وَإِنْ لَمْ تَمْدَحْهُ فَلَا تَذُمَّهُ

Maksudnya: “Orang beriman mempunyai bahagian darimu dalam tiga perkara: (1) Jika engkau tidak dapat memberikan manfaat, maka janganlah engkau melakukan sesuatu yang memudaratkan mereka. (2) Jika engkau tidak dapat membahagiakan mereka, maka janganlah engkau menjadikan mereka dukacita. (3) Jika engkau tidak dapat memuji mereka, maka janganlah mencela mereka.”  (Lihat Tanbih al-Ghafilin, hlm. 165)

Dalam menjawab persoalan di atas, disebut bahawa terdapat mengumpat yang dibenarkan oleh Syarak. Imam al-Nawawi berkata: Mengumpat yang dibenarkan dengan tujuan yang sahih dan syar‘i terdapat enam jenis:

  • Membuat aduan apabila dizalimi kepada sultan atau hakim.
  • Membantu dalam menentang perkara yang mungkar dengan tujuan mengembalikan pelaku maksiat ke jalan yang benar.
  • Menceritakan kepada mufti bagi tujuan fatwa.
  • Mencegah umat Islam daripada sesuatu keburukan serta menasihati mereka seperti mereka mengambil ilmu daripada bukan ahlinya.
  • Menceritakan perihal orang yang melakukan dosa secara terang-terangan.
  • Menyebut sesuatu sifat yang telah makruf (diketahui) kepada diri seseorang itu seperti bisu atau buta dan sebagainya. Akan tetapi, jika mampu memanggilnya dengan panggilan yang lain adalah lebih baik dan haram memanggil panggilan-panggilan tersebut dengan niat menghina.

Untuk itu, keenam perkara ini dinyatakan oleh para ulama dan sebahagian besarnya disepakati akannya. Adapun, kesemua ini datang daripada dalil-dalil atau hadith-hadith yang sahih lagi masyhur. (Lihat Riyadh al-Salihin, hlm. 432-433; Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 16/142)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan syariat-Nya dalam kehidupan. Amin.

Bertarikh: 31 Mei 2023 bersamaan 11 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply