Soalan :

Assalamualaikum ustaz, sebagai seorang wanita yang mempunyai masalah keputihan yang banyak, saya ingin bertanya jika keputihan tersebut datang dari had batin faraj, adakah kita harus bersihkan kemaluan sehingga had batin faraj tersebut (meruang), atau bersihkan pada bahagian zahir (permukaan kemaluan) sahaja? Terima kasih

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda  SAW hingga ke hari kiamat.

Definisi Keputihan

Keputihan ( الإفرازات/ رطوبة جوفية ) adalah cecair yang keluar  daripada bahagian batin faraj seperti air mazi, air wadi dan sebagainya.  Had batin faraj iaitu tempat yang tidak wajib dibasuh ketika istinjak (Lihat Hasyiyah Jamal, 1/178).  

Hasil kajian beberapa wanita  mendapati cecair keputihan menyerupai warna gam pekat yang  berwarna putih atau hingus yang berwarna putih  dan kadang-kadang bercampur warna kekuningan  dan sedikit hijau. (Lihat Tuhfah al-A‘izza, hlm242)

Keputihan (leukorrhea) menurut kamus perubatan ialah pengeluaran lendiran  putih atau kuning daripada faraj atau serviks.[1] Keputihan fisiologis merupakan petanda yang sangat normal kerana hampir setiap wanita melalui keadaan ini. Namun ciri-ciri  keputihan berpenyakit adalah keluar lendir kental berwarna kelabu, kuning atau hijau  berbau busuk dan menyebabkan kegatalan pada faraj   atau dikenali keputihan patologi. Penyakit keputihan patologi  adalah berpunca daripada jangkitan kuman (bakteria atau kulat) perlu dirawati.[2]

Hukum Keputihan

Imam al-Syafi‘i menyebutkan dalam kitab al-Umm:

كُلِّ مَا خَرَجَ مِنْ ذَكَرٍ مِنْ رُطُوبَةِ بَوْلٍ، أَوْ مَذْيٍ أَوْ وَدْيٍ أَوْ مَا لَا يُعْرَفُ، أَوْ يُعْرَفُ فَهُوَ نَجِسٌ كُلُّهُ مَا خَلَا الْمَنِي

Maksudnya:Setiap kencing, mazi, wadi atau sesuatu yang tidak diketahui atau diketahui yang keluar daripada  kemaluan, maka semua hukumnya najis kecuali air mani (Lihat al-Umm, 1/72). 

Ini bermakna sekiranya cairan keputihan datang daripada dalam faraj selain mani, maka statusnya najis.

Keputihan adalah najis dan membatalkan wuduk kerana ia keluar dari had batin faraj (tempat yang tidak wajib dibasuh ketika istinja’). Apabila cecair keluar dari kawasan faraj yang tidak wajib dibasuh dinamakan sebagai rutubah jaufiyyah (رطوبة جوفية). (Lihat Hasyiyah Jamal  1/178; Hasyiyah  al-Bujairimiala al-Khatib, 1/108).

Syeikh Muhammad Soleh al-‘Uthaimin  berpendapat, keputihan membatalkan wuduk seperti angin dan kencing yang keluar daripada dalam. Akan tetapi jika keputihan  keluar terus-menerus, maka tidak membatalkan wuduk. Oleh itu, tidak mengambil wuduk melainkan setelah masuk waktu dan wuduk bagi setiap waktu dan amalan lain seperti membaca al-Quran  (Lihat Majmu’ Fatawa Ibn Uthaimin, 1/284 – 285).

Kesimpulan

Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami nyatakan bahawa bahagian yang perlu dibasuh bergantung kepada status wanita. Sekiranya wanita tersebut belum berkahwin dan belum disetubuhi, memadai baginya membasuh keputihan tersebut pada permukaan faraj sahaja. Manakala bagi wanita yang sudah berkahwin dan disetubuhi, wajib ke atasnya membasuh bahagian dalam farajnya ketika beristinja’. Justeru ia menyerupai hukum anggota zahir — yakni yang nampak. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/140)

Semoga jawapan yang ringkas ini dapat difahami dengan baik. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefahaman di dalam agama serta ajarkanlah kepada kami takwilan-takwilan.”

Bertarikh: 31 Mei 2023 bersamaan 11 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply