Soalan:

Assalamualaikum ustaz, macam mana pula kalau, kita masukkan duit untuk nilai satu tin air, tapi mesin keluar 2 tin mesin. Maka, apa yang kita perlu lakukan dengan lagi 1 tin air itu?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.”

Surah al-Nisa’ (29)

Imam al-Qurtubi menjelaskan bahawa perkataan (الْبَاطِل) batil boleh juga memberi maksud “Memakan atau mengambil sesuatu harta tanpa bayaran atau pampasan atau bukan atas jalan hibah dan hadiah. Batil juga boleh dimaksudkan kepada sesuatu yang bukan hak.” (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 5/150 dan Tafsir Ibn Kathir, 1/593)

Begitu juga, Dr Yusuf al-Qaradhawi menyatakan bahawa pengharaman sesuatu barangan atau makanan itu boleh terjadi dalam dua situasi.

  • Pertama: Pengharaman kerana zat atau ‘ain barangan itu sendiri seperti daging khinzir atau arak dan lain-lain.
  • Kedua: Pengharaman disebabkan perkara lain seperti barangan curi, riba atau lain-lain yang tidak mematuhi syarak dan sebagainya. (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 24)

Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami nyatakan bahawa hukum mengambil air tin yang lebih, dari mesin air yang rosak adalah haram. Setiap perniagaan yang dijalankan sudah pasti untuk meraih keuntungan. Namun, apabila dalam situasi ini, menjadi tanggungjawab kita sebagai pembeli untuk memaklumkan kepada pemilik mesin air (vending machine) tentang kerosakan tersebut. Oleh itu, kami nasihatkan agar saudara tidak mengambilnya kerana ia bukan hak kita.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Bertarikh: 2 Jun 2023 bersamaan 13 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply