Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya berkaitan duit infak Ramadan hasil dari kutipan dengan murid-murid di sekolah kami. Hasil kutipan tersebut boleh tak kami guna untuk membeli cenderahati atau hadiah untuk pertandingan yang kami anjurkan sempena program ihya Ramadan. Contohnya Pertandingan Infak terbanyak.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.

Pada asasnya, duit-duit sumbangan yang diberikan oleh seseorang hendaklah diuruskan atau disalurkan kepada sudut-sudut yang telah ditetapkan atau diniatkan oleh orang yang menderma. Sebagai contoh, apabila seorang yang menyumbangkan wang dermanya kepada tabung-tabung khas untuk pengurusan anak yatim, maka duit tersebut hanyalah digunakan kepada tujuan tersebut sahaja dan bukannya kepada tujuan-tujuan lain yang tidak berkaitan dengan niat penyumbang (penderma).

Berikut merupakan kata-kata dari Syeikh Zakaria al-Ansari Rahimahullah yang menyebut:

(وَلَوْ أَعْطَاهُ دَرَاهِمَ وَقَالَ اشْتَرِ لَك) بِهَا (عِمَامَةً أَوْ اُدْخُلْ بِهَا الْحَمَّامَ) أَوْ نَحْوَ ذَلِكَ (تَعَيَّنَتْ) لِذَلِكَ مُرَاعَاةً لِغَرَضِ الدَّافِعِ هَذَا

Maksudnya: Sekiranya seseorang itu memberikan beberapa dirham kepadanya dan berkata: ‘’Belilah buat diri kamu serban dengan wang ini atau bawalah serban ini ke dalam tempat mandi’’, atau (ucapan) seumpamanya, maka menjadi tuntutan kepadanya melakukan perkara tersebut bagi meraikan tujuan individu yang menyumbangkan (wang tersebut). (Lihat Asna al-Matalib, 2/479)

Beliau menambah lagi:

(إنْ قَصَدَ سَتْرَ رَأْسِهِ) بِالْعِمَامَةِ (وَتَنْظِيفَهُ) بِدُخُولِهِ الْحَمَّامَ لِمَا رَأَى بِهِ مِنْ كَشْفِ الرَّأْسِ وَشَعَثِ الْبَدَنِ وَوَسَخِهِ (وَإِلَّا) أَيْ وَإِنْ لَمْ يَقْصِدْ ذَلِكَ بِأَنْ قَالَهُ عَلَى سَبِيلِ التَّبَسُّطِ الْمُعْتَادِ (فَلَا) تَتَعَيَّنُ لِذَلِكَ بَلْ يَمْلِكُهَا أَوْ يَتَصَرَّفُ فِيهَا كَيْفَ شَاءَ.

Maksudnya: “Sekiranya seseorang (yang memberi duit) bertujuan untuk (orang yang diberikan wang tersebut) menutup kepalanya dengan serban dan membersihkannya, dengan cara membawanya masuk ke dalam bilik air, berdasarkan apa yang dia lihat dari orang tersebut dari sudut kepala terdedah (tidak tertutup) dan juga kekusutan serta kotoran yang terdapat pada badan orang tersebut. Sekiranya tidak, iaitu jika dia tidak menyertakan tujuannya (niat sedekah umum), seperti dia menyebut (gunakanlah wang) dalam bentuk penuh keluasan yang mengikut adat kebiasaan, maka tidak ditentukan wang tersebut untuk diguna pada perkara (yang ditetapkan itu). Bahkan dia (yang menerima wang) memilikinya atau boleh dia menggunakan wang tersebut sebagaimana yang dia kehendaki.” (Lihat Asna al-Matalib, 2/480)

Justeru, sekiranya seorang penderma yang memberikan sumbangan wang di tabung yang dikhususkan kepada sesuatu tujuan umpamanya, maka hendaklah duit tersebut hanya disalurkan kepada tujuan tersebut dan bukannya kepada kegunaan-kegunaan yang lain.

Namun sekiranya seseorang itu menderma atau bersedekah di tabung  yang disediakan secara umum, iaitu bukan tabung khas yang bersifat spesifik kepada program atau tujuan tertentu, maka duit sumbangan ini boleh digunakan untuk apa sahaja aktiviti atau kepada siapa sahaja golongan yang memerlukan selama mana terdapatnya maslahah kaum muslimin menerusi pemberian tersebut.

Inilah yang difahami daripada kenyataan Syeikh Zakaria al-Ansari yang menyebut:

وَإِنْ لَمْ يَقْصدْ ذَلِكَ بِأَنْ قَالَهُ عَلَى سَبِيلِ التَّبَسُّطِ الْمُعْتَادِ (فَلَا) تَتَعَيَّنُ لِذَلِكَ بَلْ يَمْلِكُهَا أَوْ يَتَصَرَّفُ فِيهَا كَيْفَ شَاءَ

Maksudnya: “Sekiranya tidak, iaitu jika dia (orang yang memberikan duit) tidak menyertakan tujuannya, seperti dia menyebut (gunakanlah wang) dalam bentuk penuh keluasan yang mengikut adat kebiasaan, maka tidak ditentukan wang tersebut untuk diguna pada perkara (yang ditetapkan itu). Bahkan dia (yang menerima wang) memilikinya atau dia boleh menggunakan wang tersebut sebagaimana yang dia kehendaki.” (Lihat Asna al-Matalib, 2/480)

Berdasarkan nas dan kenyataan di atas, kami nyatakan bahawa dalam situasi persoalan di atas, perlu dilihat kembali tujuannya dan ia berdasarkan niat kita mengutip tersebut. Sekiranya kutipan tersebut dikhususkan untuk tujuan tertentu, maka duit tersebut hendaklah digunakan untuk tujuan tersebut. Tetapi, jika kutipan tersebut tidak dikhususkan, maka ia boleh digunakan.

Disebabkan itu, jika boleh, apabila kita menjalankan kutipan satu-satu duit itu, jangan ketatkan syarat, tetapi umumkan syarat dan matlamat penggunaannya. 

Semoga kita semua sentiasa dipandu dan dihidayahkan oleh Allah dalam sebarang perbuatan kita. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Bertarikh: 14 Jun 2023 bersamaan 24 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply