Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Biras saya, bapa dia meninggal jam 2.40 petang tadi. Polis dah izinkan kebumi. Arwah dah bertahun lama sakit tua. Sampai dah lupa siapa anak cucu. Bila nak pergi ke satu kawasan perkuburan ini, mereka kata dah tutup. Kebumi esok pagi. Boleh ke macam ni? Bukankah kalau seseorang dah meninggal, cara paling elok dipercepatkan urusan pengebumian jenazah supaya jenazah tidak terseksa. Dah la arwah dah sakit lama tiga serangkai. Sampai lupa anak cucu. Kalau betullah apa yang pejabat perkuburan tu punya syarat, kami reda saja lah Dato’. 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.

Pada asasnya, kita sememangnya dituntut untuk menyegerakan pengurusan jenazah yang meliputi pemandian, mengkafankan, mensolatkan, serta pengebumian. Ini seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً فَخَيْرٌ تُقَدِّمُونَهَا عَلَيْهِ وَإِنْ تَكُنْ غَيْرَ ذَلِكَ فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ

Maksudnya: “Segerakanlah dengan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia padanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu.”

Riwayat al-Bukhari (1315) dan Muslim (944)

Menyegerakan pengebumian jenazah di dalam hadith di atas termasuk proses memandikan, mengkafankan, mengangkat serta mengusungnya ke tanah perkuburan. (Lihat Fatawa Syeikh Ilisy, 1/155)

Justeru, pada asasnya, jenazah hendaklah dilakukan ke atasnya empat perkara. 

Pertama, memandikan. 

Kedua, mengkafankan. 

Ketiga, menyembahyangkan iaitu melaksanakan solat jenazah ke atasnya. 

Keempat, mengebumikannya. Ini adalah asas fardu kifayah menurut ijma’ para ulama’ tanpa khilaf. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 5/104)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan bahawa sepatutnya berbincang terlebih dahulu. Tidak boleh terus pergi terjah begitu sahaja kerana masing-masing ada penjaga, ada polisi dan ada prosedurnya yang perlu diikuti.

Yang paling penting, dalam isu ini, kita ingin himpunkan dua perkara, iaitu:

Pertama, menyegerakan pengebumian jenazah.

Kedua, tidak berlaku kekecohan dan kesusahan sehingga menyebabkan suasana yang tidak harmoni. 

Justeru, saya katakan sebaik-baiknya apabila berlaku kematian, kaum keluarga yang terdekat mengadakan perbincangan serta pembahagian tugas dengan sebaik mungkin. Sebagai contoh, ikutlah apa yang menjadi proses di atas, siapa yang akan memandi mengkafankannya, siapa pula yang menggali kubur dan siapa pula yang ingin menjadi imam serta mengajak kaum keluarga, sahabat handai, jiran dan rakan untuk solat jenazah. Apabila ia dapat dilakukan dengan baik, maka jenazah dapat diuruskan sebaiknya boleh jadi hanya beberapa jam sehingga selesai semuanya.

Termasuk juga pada zaman kita sekarang ini, kebenaran daripada pihak polis dan pegawai perubatan agar kematiannya benar-benar disahkan tanpa sebarang sabotaj atau elemen jenayah. Saya yakin apabila urusan dilaksanakan dengan baik dan juga perbincangan dengan tertib serta penuh penghormatan maka tidak ada perkara yang tidak boleh diselesaikan dengan sebaik mungkin.

Kami akhiri dengan doa:

اَللهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيْرَنَا وَكَبِيْرَنَا وَذَكَرِنَا وَاُنْثَانَا

Maksudnya: “Ya Allah, ampunkanlah kami yang masih hidup dan orang yang telah mati di kalangan kami, yang hadir, yang tidak hadir, yang kecil, yang dewasa, yang lelaki dan yang perempuan.”

Bertarikh: 14 Jun 2023 bersamaan 24 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply