Soalan :

Assalamualaikum w.b.t. Bolehkah berzikir dengan menggunakan biji tasbih atau ia adalah bidaah? Mohon pencerahan.

Jawapan :

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Zikir adalah satu istilah yang suci dari Ilahi. Seperti yang didefinisikan oleh Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di, zikir secara umum adalah meliputi segala perkara yang mendekatkan seseorang hamba dengan Allah SWT dari segi aqidah, pemikiran, amalan hati, amalan badan atau pujian ke atas Allah atau mempelajari ilmu berfaedah atau mengajarinya atau seumpama dengannya. (Lihat al-Riyadh al-Nadhirah, hlm. 245)

Secara khususnya pula, zikir merujuk kepada lafaz-lafaz tertentu yang disyariatkan oleh Allah SWT seperti membaca al-Qur’an, menyebut nama-nama dan sifat-sifat-Nya yang Maha Tinggi dengan bibir atau di dalam hati sebagaimana yang termaktub di dalam al-Qur’an, atau pun lafaz-lafaz yang disyariatkan menerusi lidah Rasulullah SAW yang memberi erti pujian, penyucian, pengudusan dan pengesaan terhadap Allah SWT. (Lihat al-Zikr wa Atharuh fi Dunya al-Muslim wa Akhiratih, hlm. 17-20)

Ibn ‘Allan pula menyimpulkannya sebagai apa yang kita ibadahkan berdasarkan lafaz-lafaz yang ditentukan oleh pembuat syariat (Allah SWT) bertujuan bagi mengagungkan Allah SWT dan memuji-muji-Nya. (Lihat al-Futuhat al-Rabbaniyyah Syarh al-Azkar al-Nawawiyyah, 1/396)

Ini bermakna, zikir pada asasnya adalah sesuatu yang amat dituntut di dalam agama. Bahkan ayat-ayat al-Qur’an banyak menyentuh tentang perintah supaya kita berzikir kepada Allah SWT. Ada antara perintah tersebut berbentuk wajib seperti berzikir mengingati Allah SWT melalui solat lima waktu sebagaimana firman Allah SWT:

إنَّنِي أَنَا اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدْنِي وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي

Maksudnya: “Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati daku.”

(Surah Taha: 14) 

 Daripada Abu al-Darda’ RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَلَا أُنَبِّئُكُمْ بِخَيْرِ أَعْمَالِكُمْ، قَالَ مَكِّيٌّ: وَأَزْكَاهَا، عِنْدَ مَلِيكِكُمْ، وَأَرْفَعِهَا فِي دَرَجَاتِكُمْ، وَخَيْرٍ لَكُمْ مِنْ إِعْطَاءِ الذَّهَبِ وَالْوَرِقِ، وَخَيْرٍ لَكُمْ مِنْ أَنْ تَلْقَوْا عَدُوَّكُمْ، فَتَضْرِبُوا أَعْنَاقَهُمْ وَيَضْرِبُوا أَعْنَاقَكُمْ ” قَالُوا: وَذَلِكَ مَا هُوَ يَا رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ: ذِكْرُ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ

Maksudnya: “Tidakkah kamu ingin aku tunjukkan kepada kamu akan sebaik-baik amalan? Kata Makki: Ia adalah sebaik-baik penyucian di sisi Tuhan kamu dan yang mengangkat darjat kamu dengan begitu tinggi. Dan ia lebih baik daripada kamu memberikan emas dan duit. Ia juga jauh lebih baik daripada kamu apabila berhadapan dengan musuh kamu dengan kamu memancung leher-leher mereka dan mereka memancung lehermu. Para sahabat berkata: Apakah perkara itu (kami ingin mengetahuinya) wahai Rasulullah! Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Zikir kepada Allah Azza Wa Jalla.” 

Riwayat Ahmad (27102). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menilai sanad hadith ini adalah sahih.

Kembali kepada persoalan di atas, adalah diharuskan menggunakan tasbih untuk menghitung zikir dan istighfar kerana telah diriwayatkan banyak catatan mengenai para sahabat dan tabi’in yang menggunakan tasbih yang diperbuat daripada biji kurma untuk berzikir dan bertasbih.”Selain itu, tasbih adalah salah satu cara yang diharuskan penggunaanya dalam ibadah. Nabi Muhammad SAW mengikat tasbih di tangan kanannya menunjukkan bahawa ia membantu seorang muslim dalam mengingat dan menghitung jumlah zikir maka,ia  diperbolehkan. Oleh kerana itu, tidak ada dasar untuk mengatakan bahawa menggunakan tasbih itu adalah bid’ah.

Ibnu Hajar Al-Haitami ditanya: Apakah tasbih itu mempunyai dalil dalam sunnah? Beliau menjawab dengan mengatakan: ‘Ya. Imam Al-Suyuti juga telah menulis tentang hal tersebut.Ini juga berdasarkan  apa yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar R.Anhuma  beliau berkata  :

رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعْقِدُ التَّسْبِيحَ بِيَدِهِ

Maksudnya:  “Aku telah melihat Nabi SAW mengikat tasbih di tangannya.”

Riwayat Abu Dawud (1502), al-Tirmizi (1502) dan al-Nasaie (1355). Hadith dinilai sahih berdasarkan kitab Sahih al-Tirmizi (3486)

Selain itu,telah diriwayatkan daripada Yasirah Binti Yasir bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda :

عليكنَّ بالتّسبيحِ والتَّهليلِ والتَّقديسِ واعقِدْنَ بالأناملِ فإنهن مَسئولاتٌ مُستنطَقاتٌ ولا تغْفَلْنَ فتنسِين

الرَّحمةَ

Maksudnya: “Hendaklah kamu bertasbih,bertahlil dan taqdis (mengucapkan سُبْحَانَ المَلِكِ القُدُّوسٍ dan hitunglah dengan jari jemari, kerana hal itu akan diminta untuk dipertanggunjawabkan terhadap (apa yang ia lakukan) dan apa yang ia ucapkan. Dan janganlah kamu lalai, sehingga kalian melupakan rahmat (Allah).”

Riwayat Tarmizi  (3507)

Penggunaan jari tangan dalam bertasbih (menghitung zikir) lebih utama daripada menggunakan tasbih berdasarkan pandangan para sahabat dan ulama setelah mereka. Namun, ada juga berpandangan bahawa jika seseorang khuatir akan kesalahan dalam menghitung zikir, maka penggunaan jari-jari tangan lebih utama, namun jika tidak, penggunaan tasbih lebih utama.”(Lihat Al-Fatawa Al-Fiqhiyah Al-Kubra, 1/152).

Kami akhiri dengan doa : 

اللَّهُمَّ أَعِنِّيْ عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah bantulah aku dalam berzikir kepada-Mu (mengingati-Mu), mensyukuri nikmat-Mu, dan melakukan ibadah yang baik kepada-Mu.” (Hadis Riwayat Ahmad)”

Riwayat Abu Daud (1522),al-Nasaie (1303),dan Ahmad (22119)

Bertarikh: 14 Jun 2023 bersamaan 24 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply