Soalan:

Assalammualaikum Dato’ Seri. Saya ada persoalan, katalah saya melabur dalam perniagaan kawan saya. Kedua-dua pihak bersetuju kadar keuntungan yang saya akan peroleh adalah 10%. Jumlah wang pelaburan yang diberikan adalah RM 20,000 dan 10% daripada jumlah tersebut bersamaan RM 4,000. Anggaran masa dikembalikan pulangan dalam tempoh 2 tahun. Adakah ini termasuk dalam muamalat yang mengandungi unsur riba?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b .t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Di dalam permasalahan fiqh, akad kerjasama antara dua pihak atau lebih untuk melaksanakan suatu perniagaan dinamakan sebagai akad al-Syirkah (الشِرْكَةُ).

Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa al-Syirkah ini adalah setiap hak yang tetap di antara dua individu atau lebih, di atas (akad) pemilikan bersama. (Lihat Raudah al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin, 4/275)

Al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah mentakrifkan al-Syirkah sebagai percampuran dua bahagian, dan akad (kontrak) ini mengakibatkan percampuran wang daripada dua pihak, sama ada percampuran secara hakikat atau secara hukmi, untuk membolehkan salah satu pihak menggunakan harta milik pihak yang lainnya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 26/20)

al-Syirkah merupakan suatu akad yang dibolehkan dalam islam, ini berdasarkan firman Allah SWT:

فَإِن كَانُوا أَكْثَرَ مِن ذَٰلِكَ فَهُمْ شُرَكَاءُ فِي الثُّلُثِ ۚ

Maksudnya: “Kalau pula mereka (saudara-saudara yang seibu itu) lebih dari seorang, maka mereka bersekutu pada satu pertiga.”

(Surah al-Nisa’: 12)

Diriwayatkan juga sebuah hadith qudsi daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda, Allah SWT berfirman:

أَنَا ثَالِثُ الشَّرِيكَيْنِ مَا لَمْ يَخُنْ أَحَدُهُمَا صَاحِبَهُ فَإِذَا خَانَ خَرَجْتُ مِنْ بَيْنِهِمَا

Maksudnya: “Aku adalah yang ketiga di antara dua orang yang berkerjasama selagimana salah seorang darinya tidak mengkhianati rakannya. Jika dia mengkhianati, maka aku akan keluar dari antara mereka berdua.”

Riwayat Abu Dawud (3383) dan al-Hakim (2322)

Para ulama’ menyebutkan empat jenis akad al-Syirkah:

  • Syirkah al-Abdan (شِرْكَةُ الأَبْدَانِ): Iaitu suatu kerjasama antara dua pihak dalam usaha yang dilakukan oleh tubuh mereka.
  • Syirkah al-Mufawadhad (شِرْكَةُ المُفَاوَضَةِ): Iaitu suatu kerjasama antara dua pihak dalam usaha yang dilakukan oleh tubuh dan harta mereka sendiri (bukan milik bersama), dan mereka bertanggungjawab atas apa-apa kerugian yang timbul.
  • Syirkah al-Wujuh (شِرْكَةُ الوُجُوهِ): Iaitu suatu kerjasama antara dua pihak dengan orang lain yang memiliki pengaruh dan reputasi yang baik di mata masyarakat, kemudian mereka membeli sesuatu barangan dengan pembayaran secara tangguh atau tunai, lalu mereka menjualnya, dan keuntungan dibahagikan sesama dua pihak sahaja.
  • Syirkah al-‘Inan (شِرْكَةُ العِنَانِ): Iaitu suatu kerjasama antara dua pihak dengan modal yang diketahui dan setiap rakan kongsi berhak untuk bertindak terhadap perkongsian tersebut. Pembahagian keuntungan ditentukan berdasarkan persetujuan manakala kerugian ditanggung berdasarkan kadar modal yang disumbangkan.

Al-Khatib al-Shirbini mengatakan bahawa Imam Abi Syuja‘ hanya berpada dengan menerangkan berkenaan Syirkah al-‘Inan kerana selainnya adalah batil disebabkan tidak berlakunya kerjasama yang jelas melibatkan harta kedua belah pihak. (Lihat Tuhfah al-Habib ‘ala Syarh al-Khatib, 3/127)

Setiap akad yang berlaku pasti mempunyai rukun yang wajib bagi memastikan setiap kontrak yang dipersetujui adalah sah menurut syara‘. Syirkah al-‘Inan terdapat lima rukun yang asas:

Pertama dan kedua: Dua pihak yang melakukan akad, atau lebih.

Ketiga: Perkara yang diakadkan, seperti modal dan keuntungan.

Keempat: Perusahaan yang dilakukan.

Kelima: Lafaz akad.

(Lihat Tuhfah al-Habib ‘ala Syarh al-Khatib, 3/127)

Melihat kepada persoalan yang ditanyakan, jika pelaburan yang dilakukan dalam perniagaan rakan tersebut mencukupi kesemua syarat yang telah disebutkan, maka dibolehkan.

Kami cuba mempermudahkan saudara yang bertanya dengan meringkaskan kontrak beliau bersama rakannya seperti yang berikut:

1) Pihak yang Melakukan Akad: Saudara yang bertanya dan juga rakannya.

2) Perkara yang Diakadkan: Modal pelaburan berjumlah RM 20,000 dan keuntungan sebanyak 10%.

3) Perusahaan: Perniagaan rakannya.

4) Lafaz akad: Persetujuan kedua pihak berkenaan modal yang diberikan dan keuntungan yang dibahagikan dalam masa 2 tahun.

 

Kesimpulan

Kami katakan, akad al-syirkah yang berlaku di antara saudara yang bertanya bersama rakannya adalah Syirkah al-‘Inan. Akad ini diharuskan berdasarkan umum kaedah fiqhiyyah:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya: “Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).”

Sekiranya ada dalil yang jelas tentang pengharaman akad ini, atau terdapat perkara lain yang diharamkan syara’ seperti riba atau gharar, maka hukumnya berubah kepada haram.

Wallahua‘lam

Bertarikh: 14 Jun 2023 bersamaan 24 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply