Soalan:
Bagaimana saya nak pujuk isteri saya untuk berhenti trading forex?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan sabda Rasulullah SAW:
لاَ تَزُولُ قَدَمَا ابْنِ آدَمَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عِنْدِ رَبِّهِ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ خَمْسٍ عَنْ عُمْرِهِ فِيمَا أَفْنَاهُ وَعَنْ شَبَابِهِ فِيمَا أَبْلاَهُ وَمَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَ أَنْفَقَهُ وَمَاذَا عَمِلَ فِيمَا عَلِمَ
Maksudnya: “Kaki anak Adam akan tetap tegak berdiri di sisi Tuhannya pada hari Kiamat, hingga dia ditanya tentang lima perkara (iaitu): tentang umurnya untuk apa dia habiskan, tentang masa mudanya untuk apa dia gunakan, tentang hartanya dari mana dia dapatkan, dan dalam hal apa (hartanya tersebut) dia belanjakan dan apa sahaja yang telah dia lakukan dari ilmu yang dimilikinya.”
Riwayat al-Tirmizi (2416)
Definisi Forex
Forex merupakan pertukaran asing (foreign exchange atau forex) berlaku apabila suatu mata wang ditukar kepada mata wang lain. Ia merupakan suatu jenis perdagangan/transaksi aktiviti jual beli mata wang antara negara yang mana melibatkan pasar-pasar mata wang utama di dunia selama yang berlangsung secara 24 jam secara berterusan. Begitu juga, ia merupakan pasaran terbesar dunia di mana ia melibatkan transaksi wang sebesar $2 trilion pada hari pasaran dibuka (Lihat Wikipedia Foreign Exchange Market)
Sehingga ke hari ini, Forex merupakan salah satu pelaburan yang paling popular kerana pulangan keuntungannya yang tinggi. Bahkan keuntungan juga boleh mencapai sehingga 100% dalam masa beberapa hari sahaja. Namun, tidak dinafikan forex juga berisiko tinggi untuk rugi apabila seseorang itu tidak mempunyai pengetahuan yang cukup.
Mutakhir ini, ramai anak muda khususnya mula terjebak dengan forex trading. Hal ini kerana ia dijanjikan dengan pulangan yang lumayan dalam masa yang singkat. Oleh sebab itu, ia menjadi medium untuk masyarakat mendapatkan wang. Namun, hakikatnya
Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami nyatakan bahawa hukum trading forex adalah haram hukumnya. Hal ini kerana ia bercanggah dengan muamalat dalam Islam yakni perdagangan duit.
Bahkan, menurut Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-98:
“Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (individual spot forex) melalui platfom elektronik yang ada pada masa ini adalah haram kerana ia bercanggah dengan kehendak syarak dan juga tidak sah dari sisi undang-undang negara.”
Bagi penjelasan lebih lanjut berkenaan Forex, saudara boleh rujuk di link bawah:
#1649: Penjelasan Hukum Forex Trading[1]
Justeru itu kami nasihatkan sebagai seorang suami, saudara perlu tegas dalam hal sebegini, Hal ini kerana saudara menyedari bahawa isteri saudara telah melakukan suatu perkara yang ditegah oleh syarak. Oleh itu antara cara yang boleh kita lakukan ialah:
- Selalu menasihatinya dengan baik bahawa hukumnya adalah haram.
- Menjelaskan kepadanya bahawa mengaut keuntungan dari sumber yang haram tidak akan diberkati oleh Allah SWT. Bahkan, hasil daripadanya yang kita makan, akan menjadi darah dagingnya. Sabda Nabi SAW:
لَيَأْتِيَنَّ عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ لاَ يُبَالِي الْمَرْءُ بِمَا أَخَذَ الْمَالَ، أَمِنْ حَلاَلٍ أَمْ مِنْ حَرَامٍ ”.
Artinya: “Akan datang suatu masa pada umat manusia, mereka tidak lagi peduli dengan cara untuk mendapatkan harta, apakah melalui cara yang halal ataukah dengan cara yang haram.”
Riwayat al-Bukhari (2083)
- Mengajaknya untuk menceburi saham yang patuh syariah dan mempelajarinya. Di Malaysia, telah banyak mentor-mentor Pelaburan Syariah Malaysia misalnya Asri Ahmad Academy.
- Berdoa kepada Allah agar hati isteri saudara lembut dan menerima teguran saudara sebagai suami.
Untuk maklumat lanjut berkenaan saham, saudara boleh juga merujuk di link di bawah:
#1375: Jual Beli Saham dalam Islam[2]
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”
[1] https://maktabahalbakri.com/1649-penjelasan-hukum-forex-trading/
[2] https://maktabahalbakri.com/1379-jual-beli-saham-dalam-islam/
Bertarikh: 16 Jun 2023 bersamaan 27 Zulkaedah 1444H