Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!

Buku Fizikal

Hakikat Dajjal

Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.

Soalan:     

Assalamualaikum w.b.t. Kita tahu bahawa susu ibu adalah suci. Jadi, adakah susu ibu boleh untuk dijual beli? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَإِنَّ لَكُمْ فِي الْأَنْعَامِ لَعِبْرَةً نُسْقِيكُمْ مِمَّا فِي بُطُونِهِ مِنْ بَيْنِ فَرْثٍ وَدَمٍ لَبَنًا خَالِصًا سَائِغًا لِلشَّارِبِينَ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu, kamu beroleh pelajaran yang mendatangkan iktibar. Kami beri minum kepada kamu daripada apa yang terhasil dari dalam perutnya, yang lahir daripada antara hampas makanan dengan darah; (iaitu) susu yang bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya.”

(Surah al-Nahl: 66)

Syeikh al-Sa‘di menyebutkan bahawa sesungguhnya pada haiwan-haiwan ternakan itu yang mana Allah SWT telah tundukkan (sediakan) buat manfaat kamu semua, ada sesuatu yang boleh kamu ambil pelajaran daripadanya iaitu ia menunjukkan kepada kesempurnaan kekuasaan Allah serta luasnya belas kasihan-Nya. Bilamana Dia telah memberi kamu minum apa yang terhasil daripada dalam perut haiwan-haiwan tersebut yang terdiri daripada kotoran dan darah. Dia telah keluarkan daripada antara kedua-dua perkara tersebut, susu yang bersih daripada apa-apa yang mengeruhkannya (tidak bercampur dengan apa-apa selainnya), yang menyenangkan orang-orang yang meminumnya kerana kelazatannya.  Juga kerana ia menghilangkan dahaga serta mengenyangkan. Tidaklah perkara-perkara ini (terjadi) melainkan dengan kekuasaan Allah SWT, bukan semata-mata tabiat semula jadi. Adakah ada sesuatu yang secara tabiat semula jadinya boleh menukarkan kotoran yang dimakan oleh haiwan-haiwan serta minuman yang diminumnya yang terdiri daripada air tawar dan masin menjadi susu yang bersih (daripada sebarang anasir-anasir lain), yang menyenangkan orang-orang yang meminumnya. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, hlm. 443).

Susu ibu

Susu ibu merujuk kepada susu yang dihasilkan oleh kelenjar mamari ibu yang terletak di payudara. Susu yang dikeluarkan khusus untuk digunakan sebagai makanan kepada bayi. Susu ibu dilihat sebagai makanan awal dalam bentuk cecair yang mempunyai nilai gizi yang cukup baik berbanding susu-susu keluaran haiwan atau susu formula. Ia mudah dicernakan dengan baik walaupun diberikan kepada kanak-kanak berusia antara 6 bulan hingga 2 tahun. Dari segi keperluannya, bayi yang baru lahir amat diperlukan dan disarankan agar terus diberi makan hanya dengan susu ibu sehingga umur bayi menjangkau 6 bulan. Ibu yang telah melahirkan anak adalah amat bersesuaian untuk terus menggunakan susu yang keluar dari payu daranya untuk disusukan buat bayi kelahirannya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan penyusuan susu hanya dieksklusifkan bagi bayi yang berumur 6 bulan pertama kelahirannya. Ini bemaksud tiada sebarang pemberian makanan tambahan kepada bayi yang baru lahir sehingga bayi itu mencapai umur 6 bulan selepas kelahiran. Pemberian makanan pejal, susu formula, susu skim, susu segar daripada haiwan malahan air mineral dan air minuman pun sudah cukup menyebabkan bayi akan mengalami masalah tumbesaran, masalah komplikasi penyakit dan tanda kemerahan atau alergi boleh berlaku. Namun selepas umur bayi melebihi 6 bulan, barulah makanan tambahan seperti bubur formula, susu skim, air minuman diberikan sebagai tambahan terhadap penyusuan terus susu ibu sehingga umur bayi sampai kepada 2 tahun. Namun keadaan berlarutan bagi susuan sehingga 2 tahun adalah bergantung kepada kehendak ibu dan bayi.[1]

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa susu ibu mengandungi kebaikan, bukan sahaja untuk bayi tetapi juga untuk ibu. Di antara kebaikan susu ibu untuk bayi ialah:

  • Susu ibu membekalkan nutrien yang terbaik untuk bayi kerana ia mengandungi nutrien dalam kadar yang mencukupi dan kandungannya juga berubah mengikut keperluan bayi yang sedang membesar.
  • Susu ibu, terutamanya kolostrum, menguatkan sistem imuniti bayi. Ia melindungi bayi daripada jangkitan seperti cirit birit, selesema, bronkitis dan radang paru-paru.
  • Susu ibu mencegah berbagai masalah alahan seperti asma, ekzema dan kolik bayi.
  • Susu ibu mengandungi nutrien tertentu yang amat kritikal untuk perkembangan otak. Ia membantu dalam meningkatkan kecerdikan anak anda.
  •  Ia tidak mudah tercemar dibandingkan dengan cara penyusuan lain.
  • Susu ibu mudah diperolehi pada suhu yang betul setiap masa. Oleh itu, ia tidak susah untuk disediakan.
  •  Ia memberi keselesaan dan keselamatan emosi kepada bayi.
  • Ia memberi peluang kepada ibu dan anak untuk berinteraksi sepenuhnya dan meningkatkan hubungan kasih sayang antara ibu dan anak.

Manakala di antara kebaikan untuk ibu pula, penyusuan susu ibu:

  • membantu mengecutkan rahim dan mengembalikannya kepada saiz yang asal dengan cepat serta mengurangkan pendarahan selepas bersalin.
  • membakar kalori dan mengembalikan bentuk badan asal anda dengan cepat.
  • mengurangkan risiko kanser payudara dan kanser ovari.
  • menjarakkan kelahiran jika mengamalkan penyusuan ibu secara sepenuhnya.[2]

Susu ibu adalah suci

Mengenai kesucian susu ibu, Imam al-Nawawi ada menyebutkan bahawa susu manusia adalah suci menurut mazhab Syafi‘i dan ia merupakan pendapat yang telah diputuskan oleh ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i kecuali penulis kitab al-Hawi. Beliau telah menukilkan satu pendapat daripada al-Anmati — yang merupakan salah seorang dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i — bahawa susu manusia adalah najis dan ia halal diminum oleh kanak-kanak kerana adanya keperluan yang mendesak. Namun, pendapat ini tiada apa-apa nilai, bahkan sangat jelas akan kesilapannya. Beliau menukilkan pendapat seperti ini bertujuan agar berhati-hati daripada terpedaya dengan pendapat tersebut. Sesungguhnya Syeikh Abu Hamid telah menukilkan bahawa kaum Muslimin telah ijma‘ akan kesucian susu manusia. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/569).

Penjelasan lanjut berkenaan hal ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #455 Susu Ibu adalah Suci.[3]

Jual beli Susu Ibu

Secara umumnya, tidak dapat dinafikan bahawa para ulama berbeza pendapat berkenaan jual beli susu ibu kepada dua pendapat. Pendapat pertama menyatakan bahawa jual beli susu ibu adalah tidak dibolehkan. Menurut Imam al-Nawawi, ini merupakan pendapat mazhab Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan salah satu riwayat Imam Ahmad serta Abu al-Qasim al-Anmati daripada kalangan ulama mazhab Syafi‘i. Di antara hujah atau dalil yang dikemukakan oleh mereka yang berpegang dengan pendapat ini ialah:

  • Kehormatan dan kemuliaan manusia. Justeru, tidak boleh menjual susu ibu, dan lebih besar daripada itu ialah manusia itu tidak memiliki tubuh, diri, atau jiwanya, kerana semuanya adalah milik Allah SWT. Maka, diri kamu tersebut, kamu tidak dapat mengawalnya, dan perkara ini adalah pendapat yang benar daripada pendapat ahli ilmu iaitu; tidak boleh memberikan buah pinggang[4] atau menjualnya atau menjual darah, dan mereka berhujah dengan menyatakan bahawa wanita atau manusia itu tidak memilikinya, maka begitulah juga dalam hal menjualnya.
  • Susu ibu dibolehkan dalam penyusuan disebabkan oleh darurat (keperluan mendesak), dan sekiranya anak itu tidak mati jika dia tidak disusui oleh ibunya, nescaya kami akan berkata: “Tidak halal bagi kamu menyusukannya.” Itulah sebabnya mereka berkata, “Menyusukan anak adalah termasuk dalam perkara darurat,” dan terdapat kaedah menyebutkan, “Darurat hanya diambil dengan kadarnya.” Mereka menyebutkan, iaitu hanya untuk penyusuan, bukan untuk dijual mahupun dibeli atau diperdagangkan.
  • Perkara ini (jual beli susu ibu) tidak diketahui wujud pada zaman sahabat dan tidak diketahui antara mereka bahawasanya seorang perempuan pergi untuk menjual susunya, lalu ada orang yang membeli susu tersebut. Maka perempuan itu mengambil duit jualan tersebut bagi perbelanjaan dirinya dan juga anak-anaknya. Jadi, apabila tidak diketahui hal tersebut wujud, mereka mengatakan, tidak boleh menjual susu ibu.
  • Selain itu, kebiasaannya susu ibu tidak dijual, dan begitu juga ia adalah cecair lebihan yang keluar dari tubuh manusia. Justeru, tidak boleh menjualnya seperti mana air mata, peluh dan hingus.
  • Begitu juga apa yang tidak boleh dijual ketika dalam keadaan ia bersambung (muttasil), maka tidak juga boleh dijual ketika ia dalam keadaan berpisah atau berasingan (munfasil) seperti rambut manusia.
  • Selain daripada itu, hal ini kerana daging manusia tidak boleh atau haram untuk dimakan, maka tidak boleh untuk menjual susunya seperti mana keldai jinak.
  • Abu al-Qasim al-Anmati menambah lagi bahawa susu ibu tidak boleh dijual kerana ia adalah najis.
  • Susu ibu bukanlah harta, maka tidak boleh menjualnya. Dalil yang menunjukkan ia bukan harta adalah berdasarkan kepada ijma‘ sahabat R.Anhum dan akal. Dari segi akal kerana ia tidak dibolehkan untuk mengambil manfaat dengannya secara mutlak, tetapi sebaliknya kerana darurat (keperluan mendesak) sebagai makanan untuk bayi. Apa-apa yang diharamkan oleh syarak untuk diambil manfaatnya melainkan ketika darurat (keperluan mendesak) tidak dianggap sebagai harta. Dalilnya juga kerana orang ramai tidak menganggapnya sebagai harta, dan ia tidak dijual di mana-mana pasar.

Manakala pendapat kedua menyatakan bahawa jual beli susu ibu adalah dibolehkan. Menurut Muhammad Hasan ‘Abd al-Ghaffar, ini merupakan pendapat majoriti ulama dalam kalangan Malikiyyah, al-Syafi‘iyyah dan al-Hanabilah. Ini juga merupakan pendapat yang dipilih oleh Muhammad Hasan ‘Abd al-Ghaffar iaitu boleh untuk menjual susu ibu kerana di negara barat dan negara luar, mereka memerlukan sesuatu yang dipanggil kilang atau bank susu, dan kilang ini mengupah wanita untuk memerah susu mereka, lalu susu ini dibeli daripada mereka untuk dijual, disebabkan oleh anak-anak zina dan anak pungut mereka sangat ramai.

Di antara hujah atau dalil yang dikemukakan oleh mereka yang berpegang dengan pendapat ini ialah:

  • Berdasarkan kepada hukum asal. Hal ini kerana hukum asal jual beli ialah diharuskan dan tidak diharamkan jual beli sesuatu melainkan terdapatnya dalil yang jelas lagi sahih berkenaan perkara tersebut.
  • Susu ibu adalah suci dan boleh diambil manfaat dengannya, Jadi tidak makruh menjualnya.
  • Jika dibolehkan untuk mengambil upah disebabkan oleh penyusuan, dan upah (ijarah) adalah salah satu cabang daripada jual beli. Justeru, jika seorang perempuan boleh mengambil upah kerana dia menyusukan anak kecil, maka dibolehkan juga baginya untuk menjual susunya itu.
  • Berdasarkan kepada qias. Hal ini kerana diqiaskan perkara tersebut kepada susu haiwan ternakan. Jika kamu membeli seekor kambing atau lembu bagi mendapatkan susunya, maka dibolehkan kamu memeliharanya atau menjualnya. Jadi mereka mengatakan, dibolehkan untuk perempuan mengepam susunya lalu menjual susunya itu berdasarkan qias kepada susu kambing, dan tidak dilarang menjualnya walaupun diperlukan oleh kambing tersebut untuk penyusuan. (Lihat Fiqh al-Mu‘amalat al-Mu‘asirah oleh  Muhammad Hasan ‘Abd al-Ghaffar, 3/6; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/254;  al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 35/199).

Selain itu, terdapat juga dalam kalangan ulama yeng menghukumnya sebagai makruh seperti pendapat Imam Ahmad bin Hanbal berdalilkan apa yang digunakan sebagai dalil daripada kalangan pendapat yang mengatakan tidak boleh untuk susu ibu dijual. Namun, terdapat tafsiran terhadap larangan tersebut yang mana larangan tersebut tidaklah sampai ke tahap haram namun hanyalah makruh sahaja. Ini seperti mana yang dinukilkan oleh Ibn Qudamah al-Maqdisi.  (Lihat al-Mughni, 4/196).

Begitu juga secara zahirnya daripada pendapat dalam kalangan ulama mazhab Hanafi, tidak ada perbezaan antara susu perempuan merdeka dan susu hamba perempuan dalam menyatakan bahawa ia tidak boleh dijual. Hal ini kerana manusia itu tidak dijadikan sebagai objek untuk dijual melainkan apabila ia menjadi hamba, dan perhambaan tidak dibenarkan melainkan adanya kehidupan padanya. Maka susu ibu tidak ada kehidupan padanya, maka tidak dibolehkan padanya perhambaan. Justeru, ia bukanlah objek yang boleh untuk dijual. Akan tetapi Abu Yusuf berpendapat, dibolehkan untuk menjual susu hamba perempuan kerana ia adalah sebahagian daripada manusia dan juga harta. Maka boleh untuk menjualnya sebagaimana keseluruhan bahagiannya yang lain. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 35/199).

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami lebih cenderung kepada pendapat bahawa tidak dibenarkan untuk susu ibu dijual. Hal ini adalah berdasarkan kepada beberapa perkara seperti mana berikut:

  1. Sesungguhnya manusia itu dimuliakan oleh syarak dan tidak ada seorang pun yang mengingkarinya baik daripada kalangan ulama yang membolehkan susu ibu dijual mahupun yang menghalangnya.
  2. Manusia bukanlah seperti harta yang mana boleh dijual beli. Manusia juga tidak boleh dijadikan pemberian dan juga disedekahkan. Ini juga telah disepakati oleh para ulama dan disebabkan itu, manusia tidak boleh diperlakukan seperti harta.
  3. Pendapat yang mengatakan dibenarkan untuk menjual susu ibu kerana ia bersih dan bermanfaat diqiyaskan dengan menjual minuman-minuman yang bersih dan bermanfaat, maka kita katakan di sini bahawa susu ibu adalah minuman yang menjadi kemestian (darurat) buat bayi. Minuman-minuman yang lain tidak dapat menggantikan kedudukan susu ibu terhadap bayi meskipun ia boleh diminum. Maka qiyas ini kami katakan tidak berapa tepat.
  4. Pendapat yang mengatakan boleh dijual susu ibu dengan qiyas ke atas keharusan menjual susu kambing adalah qiyas ma‘a al-fariq. Ini kerana manusia adalah pemilik kepada kambing manakala kambing pula dimiliki dan keduanya mempunyai perbezaan. Daging manusia haram untuk dimakan manakala daging kambing boleh dimakan. Manusia pula dimuliakan oleh syarak ketika hidup ataupun setelah matinya sedangkan kambing, syarak hanya membenarkan untuk diambil manfaat daripadanya. Lebih daripada itu, susu ibu terkait padanya hukum-hakam terperinci yang tidak terdapat pada susu kambing seperti haram berkahwin dengan saudara sesusuan. Oleh itu, qiyas sebegini tidak diambil kira.
  5. Pendapat yang mengatakan segala sesuatu yang bermanfaat maka boleh dijual adalah pendapat yang secara mutlaknya tidaklah tepat. Jika diperhatikan, segala yang diharamkan oleh syarak tidaklah menafikan manfaat yang ada padanya. Sebagai contoh, arak secara saintifiknya terdapat manfaat padanya namun syarak tidak membenarkan untuk ia dijual. Oleh itu, syarat bagi sesuatu untuk dibolehkan kegunaannya mestilah sesuatu itu halal dan dibolehkan pada zatnya. Jika padanya terdapat manfaat walaupun sedikit, maka dibolehkan untuk kegunaannya tetapi itu adalah untuk mereka yang mempunyai pemilikan asal terhadap sesuatu itu.
  6. Penjualan susu ibu yang berleluasa tanpa adanya sistem yang mengawalnya boleh mengakibatkan percampuran nasab dan membawa umat Islam terjebak dalam keraguan dan perkara yang haram sebagai contoh seseorang tidak dapat mengenal pasti siapa saudara sesusuannya dan boleh juga terjadi perkahwinan sesama saudara susuan yang mana jelas pengharamannya di dalam Islam. Ini menjadi penguat kepada tidak dibenarkan untuk susu manusia dijual kerana melihat kepada maqasid syariah iaitu hifz al-nasl (menjaga keturunan) dan juga sebagai sad al-zari‘ah iaitu menutup jalan yang boleh membawa kepada kecelaruan nasab dan perkahwinan sesama saudara susuan yang diharamkan.
  7. Isu yang terkait dengan susu ibu ini bukan semata-mata jualan sahaja, tetapi ia lebih daripada itu sehingga membawa kepada bentuk perniagaan dan eksploitasi yang melampau. Begitu juga, kesannya dari segi maqasid syariah boleh terdedah kepada ketidakpastian anak susuan dan ibu susuan. Kami pernah menyarankan di peringkat kebangsaan berkenaan dengan kad susuan agar dapat mengelakkan perkahwinan sesusuan. Justeru, perkara ini perlu dipandang serius oleh pihak pemerintah dan yang bertanggungjawab dengan meletakkan mekanisma yang tinggi.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

[1] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Susu_ibu. Diakses pada 3 Februari 2022.

[2] Lihat http://www.myhealth.gov.my/kebaikan-susu-ibu/. Diakses pada 3 Februari 2022.

[3] Lihat https://maktabahalbakri.com/455-susu-ibu-adalah-suci/. Diakses pada 27 Mei 2023.

[4] Berkenaan persoalan menderma buah pinggang, kami telah membahaskannya secara panjang lebar dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #1201: Menderma Buah Pinggang.

Bertarikh: 16 Jun 2023 bersamaan 27 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply