Soalan :

Salam Dato’ Seri. Saya nak bertanya tentang hukum. Apa hukum sekiranya saya yang sedang melakukan puasa nazar, tiba-tiba saya membatalkan puasa saya pada hari tersebut? Sekian, terima kasih.

Jawapan :

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Nazar Untuk Berpuasa

Nazar dari sudut bahasa membawa erti berjanji melakukan kebaikan atau kejahatan. Manakala dari sudut istilah, nazar ditakrifkan sebagai :

اِلْتِزَامُ قُربُةِ لَم تَتَعَيَّن فِي الشَّرْعِ، إِمَّا مُطْلَقًا، أَوْ مُعَلَّقًا عَلَى شَيْء

Maksudnya: Mewajibkan ke atas diri sendiri suatu perbuatan qurbah (ibadah yang mendekatkan diri dengan Allah) yang tidak diwajibkan oleh syara’ (ke atas dirinya), sama ada secara mutlak atau pun dengan menta’liqkan (iaitu mengaitkan) dengan suatu perkara. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘ie, 2/501)

Hukum melaksanakan tuntutan nazar adalah wajib sekiranya ia merupakan suatu amal ketaatan. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ

Maksudnya: “Dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazar mereka.”

(Surah Al-Hajj: 29)

“Nazar adalah seseorang mengikat dirinya untuk melakukan sesuatu yang tidak diwajibkan oleh agama, seperti seseorang berkata, ‘Aku berjanji untuk berkorban,’ atau ‘Aku akan bersedekah jika Allah menyembuhkan penyakitku.’ Ini dalam bentuk syarat kepada Allah Azza wa Jalla.

Allah SWT juga memuji terhadap golongan yang menyempurnakan nazar yang dilakukan oleh mereka dan sikap mereka yang takutkan kepada azab-Nya dengan berfirman:

يًوفُونَ بِالنَّذْرِ وَيَخَافُونَ يَوْمًا كَانَ شَرُّهُ مُسْتَطِيرًا

Maksudnya: (Mereka dikurniakan kesenangan itu kerana) mereka menyempurnakan nazarnya (apatah lagi yang diwajibkan Tuhan kepadanya), serta mereka takutkan hari (akhirat) yang azab seksanya merebak di sana sini.

(Surah al-Insan: 7)

Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, menyatakakan:  “Para ashab kami (al-Syafieyyah) berkata: Apabila seseorang bernazar untuk berpuasa setahun, maka nazarnya sah tanpa khilaf dan wajib baginya untuk menepati nazar itu tanpa khilaf, dan dikecualikan baginya untuk berpuasa pada Hari-Hari Raya, Hari-Hari Tasyriq, Bulan Ramadhan dan hari-hari qadha Ramadhan itu.” ( Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6/391)

Menjawab bagi persoalan di atas, selepas meneliti nas-nas dan perbahasan para ulama kami dapat menyatakan bahawa bagi sesiapa yang berpuasa nazar diharamkan baginya membatalkan puasa tersebut berdasarkan firman Allah SWT :

وَلَا تُبْطِلُوا أَعْمَالَكُمْ

Maksudnya : dan janganlah kamu batalkan amal-amal kamu!

Surah Muhammad : 33

Al-Nawawi menyatakan bahawa Imam Syafi’e berkata : “Sesiapa yang memulakan puasa wajib, sama ada puasa pada bulan Ramadhan, puasa qadha’, puasa nazar, kaffarah, atau solat fardhu,solat qadha’ atau solat nazar, tidak dibenarkan keluar dari puasa atau solat yang masih mampu dilaksanakan. Jika seseorang itu keluar dari salah satu daripada dua perkara tersebut tanpa sebab yang munasabah dengan sengaja, maka dia dianggap sebagai  orang yang merosakkan ibadah tersebut dan berdosa di sisi kami.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab,2/316-317)

Al-Ruhaibani juga menyatakan di dalam kitabnya Mathalib Uli al-Nuha : “Barangsiapa yang membatalkan niat puasa nazar atau kaffarah atau qadha kemuadian dia berniat puasa sunat maka sah puasa sunat tersebut dan haram ke atasnya membatalkan niat bagi puasa nazar”. (Lihat Matalib Uli al-Nuha,2/188-189).

Kami akhiri dengan doa :

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْهُدَى وَالسَّدَادَ

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu petunjuk dan taufik agar tetap istiqomah.”

Bertarikh: 16 Jun 2023 bersamaan 27 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *