Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum daging yang dijual/diberi oleh seorang muslim, tetapi diragui statusnya? 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.

Berkenaan hal ini, ada dijelaskan di dalam sebuah hadith Nabi SAW berkenaan daging yang diberikan atau dihidangkan oleh seorang Muslim, namun diragui serta tidak diketahui status halal dan haramnya. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah R.Anha, Nabi SAW ditanya:

قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ هَا هُنَا أَقْوَامًا حَدِيثٌ عَهْدُهُمْ بِشِرْكٍ يَأْتُونَا بِلُحْمَانٍ لَا نَدْرِي يَذْكُرُونَ اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهَا أَمْ لَا – أَفَنَأْكُلُ مِنْهَا؟- قَالَ اذْكُرُوا أَنْتُمْ اسْمَ اللَّهِ وَكُلُوا.

Maksudnya: Mereka bertanya: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya di sini (Madinah) terdapat kaum-kaum yang baru sahaja (meninggalkan) kesyirikan (baru menganut Islam) yang membawa kepada kami daging yang kami tidak tahu mereka menyebut nama Allah atau tidak ke atasnya (semasa sembelihan). Apakah boleh kami memakannya? Sabda Nabi SAW: “Kamu sebutlah nama Allah dan makanlah.”

Riwayat al-Bukhari (7398), Abu Daud (2829), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (7661), Ibn Majah (3174)

Daripada hadith ini, dapat difahami bahawa daging tersebut diizinkan oleh Nabi SAW untuk dimakan serta kita sunat untuk membaca bismillah semasa memakannya.

Dalam menjelaskan hadith di atas, disebut di dalam kitab Syarah Sunan Abi Daud: “Hadis ini menunjukkan bahawa tidak wajib bertanya atau seseorang tidak perlu bertanya apakah disebut nama Allah atau tidak? Jika dibuka pintu ini, maka kemudian akan ditanya pula: “Apakah penyembelih itu memenuhi syarat atau tidak? Apakah dia menggunakan alat sembelihan yang sah atau tidak? Maka akan muncul soalan-soalan yang tidak perlu sedangkan asalnya ia selamat (iaitu daging daripada orang Muslim). Maka tidak perlu untuk memayah-mayahkan dan bertanya soalan-soalan yang tidak ada keperluan. Oleh itu, Nabi SAW menjawab dengan jawapan yang jelas dalam hal ini, iaitu mereka boleh makan dan membaca bismillah semasa makan.” (Rujuk Syarh Sunan Abi Dawud li al-‘Abbad, 18/333)

Dalam sebuah riwayat yang lain pula ada menyebutkan bahawa ketika Rasulullah SAW bersama para sahabatnya dihadiahkan seekor kambing bakar oleh seorang wanita Yahudi, Baginda pun memakannya tanpa was-was atau memperincikannya terlebih dahulu kedudukan daging tersebut walaupun pada daging tersebut rupa-rupanya mengandungi racun. Riwayat atau kisah ini menjadi dalil bahawa tidak disunnahkan untuk terlalu memperincikan pemberian ahli kitab yang berupa hasil sembelihannya sebelum memakannya.

Berdasarkan hadith yang disebut di atas, tidaklah berdosa bagi seseorang yang memakan sembelihan yang pada zahirnya halal, meskipun dia tidak pasti berkenaan status halalnya yang sebenar. Hal ini sama dengan situasi daging yang dihidang atau dijual oleh seorang Muslim walaupun status sebenar daging tersebut tidak diketahui secara pasti. Memadai dengan zahir keislaman seseorang, maka kita tidak dituntut untuk bertanya mengenai kehalalan daging tersebut dengan lebih terperinci melainkan wujud bukti yang jelas dan meyakinkan bahawa daging itu adalah tidak halal.

Justeru, hukumnya adalah halal bagi setiap makanan yang diberi jaminan halal oleh mana-mana pihak yang dipercayai berdasarkan kaedah umum daripada hadith yang dijelaskan. Kita juga boleh untuk berpandu atau berpegang kepada mana-mana logo halal yang dikendalikan oleh umat Islam sebagai tanda halal.

Semoga Allah SWT kurniakan kita rezeki yang halal tanpa sebarang syubhah. Begitu juga, kami mengharapkan agar kita sentiasa menjunjung titah perintah Allah SWT dan Rasul-Nya kerana sebaik-baik pedoman ialah Kitabullah dan hadyun nabawi.

Bertarikh: 16 Jun 2023 bersamaan 27 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply