#1822: Ucapan Salam Kepada Ahli Kubur dan Kepada Rasulullah SAW

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana mengucapkan salam ketika di berada tanah perkuburan? Dan adakah terdapat perbezaan dalam memberi salam kepada Rasulullah dan selain Baginda SAW?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, disunatkan jika mengunjungi ahli kubur untuk berdoa kepada mereka sepertimana yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabatnya, di mana diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, katanya kepada Nabi SAW: “Wahai Rasulullah, bagaimana saya ucapkan kepada mereka (ahli kubur)?” Maka Baginda SAW menjawab: Ucapkanlah:

السَّلاَمُ عَلَى أَهْلِ الدِّيَارِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُسْلِمِينَ، وَيَرْحَمُ اللَّهُ الْمُسْتَقْدِمِينَ مِنَّا وَالْمُسْتَأْخِرِينَ، وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللَّهُ بِكُمْ لَلاَحِقُونَ.

Maksudnya: “Keselamatan bagi tuan rumah ini dari kalangan orang-orang beriman dan kaum muslimin. Semoga Allah merahmati mereka yang telah mendahului kami, dan mereka yang akan datang. Dan sungguh kami dengan kehendak Allah akan menyusul kamu semua.”

Riwayat Muslim (974)

Daripada Buraidah bin Husaib R.A, katanya: “Bahawa Rasulullah SAW pernah mengajarkan kepada mereka jika mereka keluar ke perkuburan, maka di antara mereka mengucapkan:

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ أَهْلَ الدِّيَارِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُسْلِمِينَ وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللَّهُ لَلَاحِقُونَ أَسْأَلُ اللَّهَ لَنَا وَلَكُمْ الْعَافِيَةَ.

Maksudnya: “Keselamatan bagi tuan rumah ini dari kalangan orang-orang beriman dan kaum muslimin, dan sesungguhnya kami dengan kehendak Allah akan menyusul kamu semua. Aku memohon kepada Allah untuk kami dan kamu semua afiyah.”

Riwayat Muslim (975)

 

Adab Menziarahi Maqam Rasulullah dan Ucapan Salam Terhadapnya

Berkenaan ucapan salam kepada Rasulullah SAW, kami nyatakan di sini apa yang dinukilkan daripada al-Fiqh al-Manhaji (2/173-174) berkenaan perkara itu. Antara adab dalam menziarahi maqam Nabi SAW ialah:

  • Apabila sampai di pintu masjid Nabi SAW, melangkah masuk dengan kaki kanan sambil membaca:

أَعُوْذُ بِاللهِ العَظِيْمِ وَبِوَجْهِهِ الكَرِيْمِ وَبِسُلْطَانِهِ القَدِيْمِ مِنِ الشَّيْطَاِن الرَّجِيْمِ، بِسْمِ اللهِ، وَالْحَمْدُلله، اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ وَسَلَّمَ. اللَّهُمَّ اغْفِرْلِي ذُنُوْبِي وَافْتَحْ لِي أَبْوَابَ رَحْمَتِكَ

Maksudnya:Aku memohon perlindungan dengan Allah yang Maha Agung, dengan zat-Nya yang Maha Mulia dan dengan kekuasaan-Nya yang Maha Qadim, daripada syaitan yang direjam. Dengan nama Allah dan segala puji-pujian bagi Allah. Ya Allah, berselawatlah ke atas Nabi Muhammad SAW dan ke atas keluarganya, dan sejahterakanlah mereka! Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku dan bukakanlah pintu rahmat-Mu untukku.”

  • Setelah mendirikan solat di Raudhah, pergilah ke maqam Baginda yang mulia. Berdirilah di situ dengan membelakangi kiblat dan menghadap dinding maqam kira-kira 4 hasta jaraknya daripada bahagian kepala.

Sambil tunduk menghadap dinding maqam, kosongkanlah fikiran daripada hal-hal keduniaan, seolah-olah berhadapan dengan Baginda dengan segala kemuliaan dan kedudukannya yang tinggi dan ucapkanlah salam dengan perlahan:

السَّلاَمُ عَلَيْكَ يَا رَسُوْلَ اللهَ، السَّلاَمُ عَلَيْكَ يَا نَبِيَّ اللهِ، السَّلاَمُ عَلَيْكَ يَا خَيْرَةَ اللهِ، السَّلاَمُ عَلَيْكَ يَا خَيرَةَ رَبِّ العَالَمِيْنَ. جَزَاكَ اللهُ يَا رَسُوْلَ اللهَ عَنَّا أَفْضَلَ مَا جَزَى نَبِيًّا وَرَسُوْلاً عَنْ أُمَّتِهِ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ، وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّكَ عَبْدُهُ وَرَسُوْلِهِ مِنْ خَلْقِهِ، وَأَشْهَدُ أَنَّكَ قَدْ بَلَّغْتَ الرِّسَالَةَ، وَأَدَّيْتَ الأَمَانَةَ، وَنَصَحْتَ الأُمَّةَ، وَجَاهَدْتَ فِي اللهِ حَقَّ جِهَادِهِ

Maksudnya:Sejahtera ke atasmu wahai Rasulullah. Sejahtera ke atasmu wahai Nabi Allah. Sejahtera ke atasmu wahai insan pilihan Allah. Sejahtera ke atasmu wahai insan pilihan Tuhan seluruh alam. Semoga Allah memberi balasan kepadamu bagi pihak kami wahai Rasulullah, sebaik-baik balasan yang Allah berikan kepada Nabi dan Rasul bagi pihak umatnya. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah yang tiada sekutu bagi-Nya. Dan aku bersaksi bahawa engkau adalah hamba-Nya dan Rasul dari kalangan makhluk-Nya. Aku bersaksi juga bahawa engkau telah menyampaikan risalah, menunaikan amanah, menasihati ummah dan berjihad untuk Allah sebenar-benar jihad.”

Kemudian, bergeraklah sedikit ke kanan di tempat kubur Abu Bakar dan ucapkanlah salam:

السَّلاَمُ عَلَيْكَ يَا أَبَا بَكْرِ الصِّدِّيْقِ

Maksudnya:Sejahtera ke atasmu wahai Abu Bakar al-Siddiq.”

Kemudian, bergerak lagi ke kanan di tempat kubur Umar bin al-Khattab dan ucapkanlah salam:

السَّلاَمُ عَلَيْك يَا عُمَرَ بِنْ الْخَطَّابِ

Maksudnya:Sejahtera ke atasmu wahai Umar bin al-Khattab.”

Kemudian, kembalilah ke tempat permulaan. Sambil menghadap kiblat, berdoalah untuk diri sendiri dan semua orang Mukmin, sebarang doa yang dihajati. Sesungguhnya itulah masa berdoa yang mustajab, Insya-Allah. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/173-174)

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita keselamatan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”

Bertarikh: 19 Jun 2023 bersamaan 30 Zulkaedah 1444H

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *