Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada satu soalan. Apakah hukum saya kencing dalam bilik air dan bukannya tandas? Sebabnya waktu tersebut hanya bilik air sahaja yang kosong sedangkan tandas semua penuh. Saya pula hanya hendak buang air kecil. Mohon pencerahan Dato’ Seri sebab saya dengar ada yang berpendapat hukumnya makruh. Terima kasih.

 Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, terdapat sebahagian ulama menghukumkan sebagai makruh untuk kencing di tempat mandi. Hal ini adalah berdasarkan kepada hadith daripada Abdullah bin Mughaffal bahawa Nabi SAW bersabda:

لَا يَبُولَنَّ أَحَدُكُمْ فِي مُسْتَحَمِّهِ، فَإِنَّ عَامَّةَ الْوَسْوَاسِ مِنْهُ

Maksudnya:Janganlah salah seorang daripada kamu kencing di tempat mandian kerana kebanyakan waswas berpunca daripadanya.

Riwayat al-Tirmizi (21); al-Nasa’i (36); Abu Daud (27)[1]

Terdapat riwayat lain daripada Humaid bin ‘Abd al-Rahman, katanya: Aku bertemu seseorang yang bersahabat dengan Nabi SAW sebagaimana Abu Hurairah R.A bersahabat dengannya selama empat tahun, katanya:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يَبُولَ أحدنا فِي مُغْتَسَلِهِ

Maksudnya:Rasulullah SAW melarang salah seorang daripada kami untuk kencing di tempat mandinya.

Riwayat al-Nasa’i (238); Abu Daud (28); Imam al-Nawawi menilainya sebagai sahih dalam al-Majmu‘ (2/91)

Menurut Ibn al-Athir, perkataan al-Mustaham “المُسْتَحَمّ” adalah merujuk kepada suatu tempat di mana seseorang mandi dengan air panas. Pada asalnya, perkataan itu merujuk kepada air panas (iaitu mandi dengan air panas), kemudian dikatakan mandi dengan apa-apa air sekalipun sebagai istihmam. (Lihat al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athar, 1/445).

Manakala lafaz, “إِنَّ عَامَّةَ الْوِسْوَاسِ مِنْهُ” pula bermaksud kebanyakan waswas itu terjadi disebabkan oleh air kencing di tempat mandi kerana ia menjadikan tempat tersebut menjadi najis, lalu timbullah perasaan waswas dalam hatinya sama ada terdapat sesuatu daripada air kencing tersebut yang mengenainya ataupun tidak. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 1/81).

Al-Syaukani menyebutkan, hadith ini menunjukkan kepada larangan untuk kencing di tempat mandi kerana masih berbaki kesannya. Justeru, apabila terpercik kepada orang yang sedang mandi itu sesuatu daripada air selepas ia jatuh ke tempat kencing tersebut, maka ia telah menajiskannya. Maka orang tersebut ketika mandi akan berterusan membayangkan hal itu, lalu membawanya kepada perasaan waswas yang dilarang oleh Nabi SAW. (Lihat Nail al-Autar, 1/114).

Selain itu, Ibn al-‘Uthaimin juga ada menyatakan bahawa maknanya ialah seseorang tidak kencing di tempat dia mandi kerana hal itu akan melahirkan atau membawa kepada perasaan waswas. Misalnya seseorang mengatakan: “Ia mungkin terkena pada pakaianku atau badanku,” atau “Adakah ia seperti ini,” lalu mendatangkan kepadanya perasaan waswas. Hal ini kerana dia tidak benar-benar pasti (yakin) bahawa najis telah mengenainya melalui percikan. (Lihat Liqa’ al-Bab al-Maftuh, 186/30).

Selain daripada itu, kebanyakan ulama mengikat larangan ini dengan dua pengikat, iaitu:

Pertama: Bilik air dan tempat mandi itu tidak mempunyai laluan atau saluran air (untuk keluar). Sekiranya bilik air atau tempat mandi itu mempunyai saluran untuk air tersebut mengalir keluar, maka tidak mengapa untuk kencing di dalamnya.

Misalnya, ‘Ata’ ada menyebutkan bahawa jika padanya (tempat mandi itu) terdapat laluan keluar (yakni untuk air mengalir keluar), maka tidak mengapa untuk kencing di dalamnya. (Lihat Musannaf ‘Abd al-Razzaq, 1/256). Malah Ibn al-Munzir mengulas apa yang diucapkan oleh ‘Ata’ itu sebagai baik. (Lihat al-Ausat, 1/344).

Manakala Abdullah bin al-Mubarak pula menyatakan, air kencing itu boleh tersebar dengan meluas dalam bilik mandi apabila adanya air yang mengalir padanya (lalu membawanya ke tempat lain). (Lihat Sunan al-Tirmizi, 1/75). Kemudian al-Damiri menjelaskan kenyataan ini dengan menyebutkan, ini adalah sekiranya tidak ada laluan bagi air kencing itu mengalir keluar seperti tempat buang air yang disediakan bagi tujuan tersebut. (Lihat al-Najm al-Wahhaj fi Syarh al-Minhaj, 1/295).  

Kedua, lantai bilik mandi bersifat lembut atau tanah, di mana jika air kencing terkenanya ia akan meresap ke dalam tanah dan kekal di dalamnya. Hal tersebut menjadi sebab timbulnya perasaan waswas dalam dirinya bahawasanya dia terkena najis. Akan tetapi jika lantai bilik mandi itu bersifat padat seperti jubin di mana air kencing dapat mengalir di atasnya, maka tidak dilarang untuk kencing.

Menurut al-Hafiz Waliyuddin al-‘Iraqi, sebahagian ulama memahami hadith ini sebagai merujuk kepada bilik mandi jika lantainya bersifat lembut dan tidak ada padanya laluan untuk air keluar, di mana jika air kencing terkena lantai itu, ia akan meresap ke dalam lantai atau tanah tersebut lalu kelal berada di dalamnya. Namun, jika lantai itu bersifat padat seperti menggunakan jubin dan seumpamanya di mana air kencing dapat mengalir dan tidak kekal berada di atasnya (kerana tidak dapat meresap), atau terdapatnya saluran air (untuk keluar) seperti longkang dan seumpamanya, maka tidak dilarang untuk kencing di dalam bilik mandi itu. (Lihat Hasyiah al-Suyuti ‘ala Sunan al-Nasa’i, 1/36).

Begitu juga Ibn al-Qayyim turut menyebutkan bahawa sekiranya tempat mandi itu lantainya bersimen (seperti dengan jubin dan sebagainya) dan air kencing tidak dapat kekal berada padanya, tetapi sebaliknya mengalir keluar bersama-sama dengan air, maka perbuatan kencing di dalamnya tidak dihukumkan sebagai makruh oleh jumhur fuqaha. (Lihat Tahzib al-Sunan, 1/118).

Ringkasnya, ‘illah atau sebab dilarang seseorang itu untuk kencing di tempat mandi adalah kerana dibimbangi air kencing tersebut akan terkena pada orang yang mandi tanpa dia menyedarinya, lalu timbullah perasaan waswas. Oleh sebab itu, jika seseorang kencing di tempat mandi yang mempunyai laluan air keluar lalu menjirusnya dengan air bersih, maka tidak mengapa kerana sebab atau ‘illah larangan tersebut sudah lagi tiada.

Kami juga ingin menegaskan di sini bahawa larangan yang terdapat dalam hadith di atas difahami oleh kebanyakan ulama sebagai makruh (dan bukannya haram). Dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (43/154) bahawa ulama mazhab Hanafi, Syafi‘i dan Hanbali berpendapat makruh untuk kencing di tempat mandi — bilik air. Malah, al-Syaukani menyebutkan, diikat larangan tersebut dengan ‘illah atau sebab yang membawa kepada larangan itu iaitu menimbulkan perasaan waswas, maka ia boleh untuk dijadikan sebagai bukti (qarinah) yang menunjukkan kepada perpindahan hukum asal larangan daripada haram kepada makruh. (Lihat Nail al-Autar, 1/114).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat tidak mengapa untuk seseorang itu kencing di dalam bilik air atau bilik mandi, kemudian dia hendaklah menjirusnya dengan air bersih selepas itu. Hal ini kerana kini semua bilik mandi atau bilik air dilengkapi saluran untuk air keluar, malah lantainya juga tidak lagi bersifat lembut atau tanah sehingga membolehkan air kencing terserap ke dalamnya.

Saya cadangkan agar bilik air atau tempat mandi disempadankan dengan tandas. Inilah yang sebaiknya, bukan pada tempat yang sama. Jika ini boleh dilakukan maka sifat was-was dapat dihilangkannya. 

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

[1] Ibn al-Qattan menilainya sebagai sahih dalam Bayan al-Wahm wa al-Iham (5/606). Imam al-Nawawi dalam Khulasah al-Ahkam (1/156) menilainya sebagai hasan. Selain itu, ia juga dinilai sebagai sahih oleh al-‘Iraqi dan Syeikh Muqbil al-Wadi‘i dalam al-Sahih al-Musnad (903). Sekalipun begitu, sebahagian ulama ada membahaskan mengenai hadith ini kerana dalam sanadnya terdapat perawi bernama Asy‘ath bin Abdullah al-A‘ma dan padanya terdapat kritikan. Syeikh al-Albani menilainya sebagai sahih dalam Dha‘if al-Tirmizi (21) tanpa lafaz tambahan, “فَإِنَّ عَامَّةَ الْوَسْوَاسِ مِنْهُ” kerana bagi lafaz hadith dalam perenggan pertama terdapatnya syawahid, berbeza dengan ayat dalam lafaz tambahan ini.

Bertarikh: 19 Jun 2023 bersamaan 30 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply