Soalan :
Assalamualaikum ustaz, maaf mengganggu boleh ke saya bertanya jika seseorang itu was was bacaan salam pertamanya betul ke tidak lalu dia mengulangi kembali bacaan salam pertamanya adakah masih sah solatnya ataupun tetap kena lakukan sujud sahwi dan beri salam semula? Terima kasih ustaz.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Was-was dari segi bahasa ialah bisikan halus daripada angin dan lain-lain.(Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 43/147)
Firman Allah SWT:
وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ وَنَعْلَمُ مَا تُوَسْوِسُ بِهِ نَفْسُهُ
Maksudnya: “Dan sesungguhnya, Kami menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya.”
(Surah Qaf: 16)
Dari segi istilah, para fuqaha’ membahagikan takrifan was-was kepada beberapa makna, antaranya:
- Was-was bermaksud percakapan di dalam diri sendiri seperti dibisikkan ke dalam diri insan perasaan berbolak-balik samada telah melakukan sesuatu atau belum melakukan sesuatu.
- Was-was bermaksud sesuatu yang dibisikkan oleh syaitan ke dalam diri manusia.
- Was-was ialah apa yang dibisikkan ke dalam diri manusia ketika melakukan sesuatu perkara kepada tahap yang terlalu berhati-hati sehinggakan apabila telah melakukan sesuatu, dia akan mengulangi perkara itu secara berlebihan dan keterlaluan.
- Was-was ialah penyakit pada akal manusia yang apabila dia bercakap maka percakapannya adalah sia-sia.(Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 43/147)
Syaitan akan membisikkan bisikan ke dalam hati-hati anak Adam ketika anak Adam berada dalam keadaan sedih dan gembira. Jika manusia itu berjaya untuk mengingati Tuhannya, maka syaitan itu akan menjauhinya.(Lihat Tafsir Ibn Kathir, 4/750)
Firman Allah SWT:
الشَّيْطَانُ يَعِدُكُمُ الْفَقْرَ وَيَأْمُرُكُمْ بِالْفَحْشَاءِ
Maksudnya: “Syaitan menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (kikir).
(Surah al-Baqarah: 268)
Ibn Kathir dalam tafsirnya menyebut: Maksud ayat ini adalah, Syaitan sentiasa menakutkan kamu dengan kefaqiran dengan menahan apa yang ada dalam tangan kamu supaya kamu tidak menginfaqkan harta kamu pada jalan keredhaan Allah, dan syaitan sentiasa melarang kamu daripada berinfaq dan sentiasa menyuruh kamu melakukakan kemaksiatan, dosa serta perkara yang diharamkan dan juga yang menyalahi akhlak.(Lihat Tafsir al-Quran al-Adzim, 1/538)
Menjawab persoalan di atas dalam isu ini sekiranya seseorang itu syak pada salam yang pertama, maka ia tidak membatalkan solat. Ini kerana kedudukan syak tidak boleh membatalkan yang yakin.
Kami berpendapat jika dia telah melakukan salam yang kedua dengan yakin maka kedudukan salam yang kedua itu telah mengambil tempat rukun salam yang pertama. Ini kerana akhir bagi solat atau kesudahannya dengan salam dan telah berlaku salam yang kedua.
Ibnu Qudamah menyatakan dalam kitabnya : Dan jika ada keraguan dalam meninggalkan salah satu dari rukun-rukun solat, baik dia berada di dalam solat atau di luar solat – apakah dia telah mecacatkannya atau tidak? – maka hukumnya sama seperti orang yang tidak melaksanakannya.(Lihat al-Mughni,2/436 )
Nasihat kami, bahawa tinggalkan dan abaikan perasaan itu, dan bina keyakinan dengan belajar ilmu agama, juga berdoalah kepada Allah SWT, contohnya seperti yang diajar oleh Allah SWT:
رّبِّ أَعُوذُ بِكَ مِنْ هَمَزَاتِ الشَّيَاطِينِ وَأَعُوذُ بِكَ رَبِّ أَن يَحْضُرُونِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku, aku berlindung kepadaMu dari hasutan Syaitan-syaitan dan aku berlindung kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya Syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku”.”Dan aku berlindung kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya Syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku”.
(Surah al-Mukminun:97-98)
Bertarikh: 19 Jun 2023 bersamaan 30 Zulkaedah 1444H