Soalan :

Saya merupakan pelajar di luar negara, saya ingin bertanyakan soal status halal dan haram makanan. Di sini, semua roti yang dijual di pasaran mengandungi alkohol (roti seperti gardenia). Adakah roti tersebut halal dimakan atau tidak?

Jawapan:

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kaedah asal dalam hukum etanol di dalam makanan ini adalah unsur memabukkan. Apa-apa bahan yang memabukkan maka adalah haram untuk dimakan. Etanol, adalah nama saintifik bagi alkohol. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, alkohol ialah “cecair yang mudah terbakar dan juga memabukkan”.[1] Berdasarkan definisi ini, meminum alkohol adalah diharamkan kerana ia membawa kepada kemabukan. Dalil bagi keharaman itu adalah hadis riwayat Ummul Mukminin, Saiyidatina Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّ شَرَابٍ أَسْكَرَ فَهُوَ حَرَامٌ

Maksudnya:Semua yang memabukkan adalah haram.

Riwayat Bukhari (5263) dan Muslim (2001)

Daripada Jabir RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا أَسْكَرَ كَثِيرُهُ فَقَلِيلُهُ حَرَامٌ

Maksudnya:Apabila benda yang banyak memabukkan, maka yang sedikit pun adalah haram.

Riwayat Abu Daud (3681), al-Tirmizi (1866) dan Ibn Majah (3393)

Namun, bukan semua makanan yang mengandungi alkohol itu adalah arak. Terdapat makanan dan minuman yang apabila dimakan mengikut uruf setempat tidak memabukkan. Ia juga tidak najis kerana penghasilan alkohol itu bukan tujuan utama pembuatan makanan itu, sebaliknya hanya kesan sampingan.

Menjawab persoalan di atas kami sertakan di sini keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang membincangkan Isu Alkohol Dalam Makanan, Minuman, Pewangi Dan Ubat-Ubatan pada 14 hingga 16 Julai 2011 telah bersetuju memutuskan seperti berikut:

  1. Setiap minuman arak adalah mengandungi alkohol. Walaubagaimanapun bukan semua alkohol itu adalah arak. Alkohol yang diperolehi dari proses pembuatan arak, hukumnya haram dan najis.
  2. Manakala alkohol yang diperolehi bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis, tetapi haram (tidak boleh) diminum dalam bentuk aslinya kerana ia adalah racun dan boleh membunuh.
  3. Minuman ringan yang diproses/dibuat bukan dengan tujuan untuk menghasilkan arak dan mempunyai alkohol di bawah aras 1% v/v (volume/volume) adalah harus (boleh) diminum.
  4. Manakala minuman ringan yang dibuat dengan niat dan cara yang sama seperti proses membuat arak, sama ada mengandungi banyak atau sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.
  5. Makanan atau minuman yang mengandungi alkohol secara semulajadi seperti buah-buahan, kekacang atau bijirin serta perahannya, atau alkohol yang terkandung itu terjadi secara sampingan semasa proses pembuatan makanan atau minuman adalah tidak najis dan harus (boleh) dimakan/diminum.
  6. Makanan atau minuman yang mengandungi bahan perisa atau pewarna yang mengandungi alkohol untuk tujuan penstabilan adalah harus (boleh) digunakan sekiranya alkohol itu bukan dihasilkan dari proses pembuatan arak dan kuantiti alkohol dalam produk akhir itu adalah tidak memabukkan dan kadar alkohol tidak melebihi 0.5%.
  7. Ubat-ubatan dan pewangi yang mengandungi alkohol sebagai bahan pelarut adalah tidak najis dan diharuskan sekiranya alkohol tersebut bukan diambil melalui proses pembuatan arak.

Kami katakan setiap negara sekalipun bukan negara Islam bahkan umat Islam menjadi golongan minoriti maka sewajarnya kita mempelajari fiqh aqalliyat atau fiqh golongan minoriti. Begitu juga amat perlu kita bertanya kepada badan atau markaz Islam yang diiktiraf oleh masyarakat setempat kerana di situ sudah tentu ada jawapan dan solusinya. Itulah yang lebih baik dan hampir kepada realiti sebenar dalam melaksanakan kehidupan Islam dan muamalat Islam. Justeru tanyalah kepada mereka dan rujuklah kepada mereka.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.”

(Surah al-Baqarah: 168)

Ayat ini ditujukan kepada seluruh manusia sama ada orang beriman ataupun kafir, supaya memakan apa yang ada di atas muka bumi ini, yang terdiri daripada biji-bijian, buah-buahan dan binatang-binatang yang telah dihalalkan buat mereka (makan dan ambil manfaat daripadanya), bukan dengan cara merampasnya, mencuri, melalui hasil muamalat (jual beli) yang diharamkan atau perkara-perkara yang diharamkan.  Manakala lafaz ‘tayyiban’ pula bermaksud bukan daripada perkara yang buruk seperti bangkai, darah, daging babi dan lain-lain. Oleh itu, ayat ini merupakan dalil bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara itu (untuk dimakan dan diambil manfaatnya) adalah harus.(Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/80)

Wallahua’lam

 

[1] http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=alkohol

Bertarikh: 19 Jun 2023 bersamaan 30 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply