Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah makna atau huraian kalimah al-ummiyyi (الأُمِّيُّ) mengikut bahasa Arab? 

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pengertian Kalimah Ummiy:

Kata al-Zajjaj: Ummiy (الأُمِّيُّ) adalah seseorang yang mengikut sifat masyarakat Arab yang mana masyarakat Arab kebanyakannya tidak dapat menulis dan tidak tahu membaca. Rujuk Syarah Sahih Muslim, al-Nawawi (5/194)

Dikatakan: Perkatan Ummiy (الأُمِّيُّ) itu merupakan nisbah kepada Umm al-Qura iaitu Makkah. Rujuk Syarah Sahih Muslim, al-Nawawi (5/194)

Kata Al-Fairuz Abadi: Ummiy (الأُمِّيُّ) adalah seorang yang tidak tahu menulis.

Berkata Al-Raghib al-Asfahani: Umat ummiyyah adalah disebabkan mereka berada seperti keadaan asal semasa dilahirkan oleh ibu mereka iaitu tidak belajar menulis dan tidak mengira. Mereka seperti keadaan tersebut pada ketika itu.

Kalimah Ummiy (الأُمِّيُّ) Di Dalam Al-Quran & Al-Hadis:

Di dalam al-Quran, kalimah ummiy (الأُمِّيُّ) disebutkan secara berulangkali di dalam beberapa ayat yang berbeza. Kadangkala kalimah ini dinisbahkan kepada sebuah umat dan kadangkala ia dinisbahkan kepada Nabi SAW. Berikut merupakan beberapa ayat di dalam al-Quran yang terdapat padanya kalimah ummiy (الأُمِّيُّ :

1- Allah SWT berfirman di dalam Surah al-Jumu’ah ayat 2 :

هُوَ ٱلَّذِي بَعَثَ فِي ٱلۡأُمِّيِّ‍ۧنَ رَسُولٗا مِّنۡهُمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡهِمۡ ءَايَٰتِهِۦ وَيُزَكِّيهِمۡ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَإِن كَانُواْ مِن قَبۡلُ لَفِي ضَلَٰلٖ مُّبِينٖ 

Maksudnya: Dialah (Allah) yang mengutuskan di dalam golongan ummiy seorang Rasul dari kalangan mereka yang membacakan ayat-ayat-Nya ke atas mereka dan dia menyucikan mereka serta mengajarkan kepada mereka al-Kitab dan al-Hikmah sekalipun mereka sebelum ini berada di dalam kesesatan yang nyata.

Kata al-Imam al-Baghawi dalam tafsirannya ke atas ayat ini: Masyarakat Arab dahulunya merupakan umat yang ummiyyah. Umat yang tidak menulis dan tidak membaca. Rujuk Tafsir al-Baghawi (8/111)

2- Di dalam surah Al-A’raaf ayat 157, Allah SWT berfirman:

ٱلَّذِينَ يَتَّبِعُونَ ٱلرَّسُولَ ٱلنَّبِيَّ ٱلۡأُمِّيَّ ٱلَّذِي يَجِدُونَهُۥ مَكۡتُوبًا عِندَهُمۡ فِي ٱلتَّوۡرَىٰةِ وَٱلۡإِنجِيلِ يَأۡمُرُهُم بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَىٰهُمۡ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَيُحِلُّ لَهُمُ ٱلطَّيِّبَٰتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيۡهِمُ ٱلۡخَبَٰٓئِثَ

Maksudnya: “Mereka yang mengikuti Rasul iaitu seorang Nabi yang ummiy yang mereka dapati telah tertulis di sisi mereka di dalam kitab Taurat dan Injil yang memerintahkan mereka kepada perkara yang makruf dan melarang mereka dari perkara yang mungkar dan dia menghalalkan bagi mereka itu perkara-perkara yang baik dan dia haramkan ke atas mereka perkara-perkara yang kotor.”

Kata Ibn Abbas  R.anhuma ketika menafsirkan ayat ini: Nabi kalian dahulunya seorang ummiy (الأُمِّيُّ) yang tidak menulis, tidak membaca, dan tidak mengira. Rujuk Al-Jamik Li Ahkam Al-Quran, al-Qurthubi (7/268)

3- Firman Allah SWT di dalam Surah al-Ankabuut ayat 48:

وَمَا كُنتَ تَتۡلُواْ مِن قَبۡلِهِۦ مِن كِتَٰبٖ وَلَا تَخُطُّهُۥ بِيَمِينِكَۖ إِذٗا لَّٱرۡتَابَ ٱلۡمُبۡطِلُونَ ٤٨

Maksudnya: “Dan engkau (wahai Muhammad) tidak pernah tahu membaca sesebuah kitab pun sebelum turunnya Al-Quran ini, dan tidak pula tahu menulisnya dengan tangan kananmu; (kalaulah engkau dahulu pandai membaca dan menulis) tentulah ada alasan bagi orang-orang kafir yang menentangmu akan merasa ragu-ragu (tentang kebenaranmu).” 

Kata Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini: Kau telah tinggal bersama kaummu sebelum didatangkan kepada kamu al-Quran dalam kehidupan yang kau tidak membaca dan tidak menulis dan setiap seorang dari kaummu mengetahui bahawa kau seorang lelaki ummiy (الأُمِّيُّ) yang tidak tahu membaca dan tidak tahu menulis. Demikianlah sifatnya di dalam kitab-kitab terdahulu. Rujuk Tafsir al-Quran al-Azhim, Ibn Kathir (6/285)

Berkata Abu Hayyan di dalam tafsirnya al-Bahr al-Muhith: Kalimah وَلَا تَخُطُّهُ membawa maksud: Kamu tidak membaca dan kamu tidak menulis. Manakala kalimah بِيَمِينِكَ membawa maksud: Anggota yang digunakan untuk menulis menggunakannya Rujuk Al-Bahr al-Muhith, Abu Hayyan (8/361)

4- Di dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW  menyebut:

 إِنَّا أُمَّةٌ أُمِّيَّةٌ لاَ نَكْتُبُ وَلاَ نَحْسُبُ

Maksudnya: Sesungguhnya kita ini umat yang ummiyyah. Kita tidak menulis dan kita tidak mengira.

Riwayat al-Bukhari (1913)

Kata al-Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini berkata: Para Ulama telah berkata bahawa ummiyyah itu ialah kekal keadaannya sebagaimana kita mula-mula dilahirkan oleh ibu-ibu kita. Kita tidak menulis dan kita tidak mengira. Di antaranya adalah Nabi yang ummiy (الأُمِّيُّ). Dikatakan: Ia (perkataan ummiyyah) adalah satu penisbahan. Rujuk Syarah Sahih Muslim, al-Nawawi (7/192)

Pendapat Para Ulama Tentang Makna Ummiy (الأُمِّيُّ) Pada Rasulullah SAW:

1- Pendapat al-Qadhi Iyadh:

Kata al-Qadhi Iyadh Rahimahullah: Demikian juga apabila disifatkan bahawa baginda SAW merupakan seorang yang ummiy (الأُمِّيُّ) sebagaimana yang Allah sifatkan dirinya maka sifat tersebut merupakan satu kepujian untuk baginda dan merupakan suatu kelebihan yang sabit kepada baginda SAW. Rujuk Al-Syifa Bi Ta’rif Huquq al-Musthafa (2/249)

 2- Pendapat Syeikh Munir al-Ghadhban:

Di dalam Sahih al-Bukhari, al-Imam al-Bukhari Rahimahullah meriwayatkan sebuah hadis daripada Umm al-Mukminin A’isyah R.anha yang mana Rasulullah SAW apabila diminta oleh Jibril A.S untuk membaca maka Nabi SAW menjawab:

مَا أَنَا بِقَارِئٍ‏

Maksudnya: Aku tidak tahu membaca.

Riwayat al-Bukhari (3)

Syeikh Munir al-Ghadban di dalam kitabnya Fiqh al-Sirah menukilkan kata-kata al-Syeikh al-Suhaili dalam mengulas hadis ini. Kata beliau: (Iaitu) sesungguhnya aku merupakan seorang yang ummiy, maka aku tidak dapat membaca kitab-kitab. Rujuk Fiqh al-Sirah al-Nabawiyyah (1/136)

3- Pendapat al-Syeikh al-Mufassir Mutawalli Sya’rawi Rahimahullah:

Keadaan baginda sebagai seorang ummiy (الأُمِّيُّ) merupakan tanda kekuatan bagi dirinya. Ini kerana makna ummiy (الأُمِّيُّ) itu adalah keadaan sebagaimana kita dilahirkan oleh ibu kita. Kita tidak terkesan dengan saqafah (pengetahuan) sesiapa pun. Dari sudut jika kita datang membawa sesuatu, tidak dikatakan bahawa kita telah datang dengan saqafah yang telah kita tahu dan pelajari. Maka jika sesuatu yang kita bawa itu merupakan sesuatu yang mempengaruhi akal dan teori maka jelas bahawa ia datang dari atas langit. Rujuk Tafsir Surah al-Baqarah ayat 75.

Setelah meneliti pendapat para ulama di atas, jelas menunjukkan kepada kita bahawa Rasulullah SAW merupakan seorang yang ummiy (الأُمِّيُّ) berdasarkan kepada nas-nas yang telah disebutkan. Antara lain yang menunjukkan sifat ummiy (الأُمِّيُّ) bagi Nabi SAW adalah jawapan baginda sendiri apabila berkata:

مَا أَنَا بِقَارِئٍ‏

Maksudnya: Aku tidak tahu membaca.

Sebahagian ulama apabila menafsirkan kalimah ini berkata قَارِئٍ adalah isim fa’il (pembuat) yang membawa kepada wasaf (sifat). Justeru, dikatakan sifat ummiy (الأُمِّيُّ) berlaku kepada baginda berdasarkan kepada perkataan tersebut.

Perkara paling penting yang perlu diketahui ialah, ummiy (الأُمِّيُّ) nya Nabi SAW bukanlah membawa makna bahawa baginda tidak bijak. Akan tetapi, baginda merupakan seorang manusia yang sangat bijak dan disebabkan itulah sifat fathonah (bijaksana) merupakan sifat wajib bagi Rasul. Begitu juga Rasulullah SAW dapat menyampaikan risalah Islam sehingga diperakui oleh tokoh-tokoh Yahudi dan Kristian serta cerdik pandai dari kalangan bangsa Arab. Kesemua mereka lemah dan tidak mampu untuk berhujah dengan Nabi SAW.

Justeru, sebagai seorang yang beragama Islam adalah sewajarnya kita fahami bahawa sifat ummiy (الأُمِّيُّ) Rasul berbeza dengan orang yang lain kerana ia adalah salah satu pembuktian kerasulan Nabi SAW

Marilah sama-sama kita mengambil semangat ayat pertama yang diturunkan daripada wahyu iaitu Iqra’ (bacalah) agar ia menjadi budaya untuk kita melangkah ke hadapan dalam mengkaji dan meraih ilmu dengan sebanyak mungkin.

Bertarikh: 21 Jun 2023 bersamaan 2 Zulhijjah 1444H

Leave a Reply