Soalan:

Assalamualaikum wbt Dato’ Seri. Abang saya dah beberapa hari di hospital dan nazak tapi nampak macam susah sikit rohnya nak keluar. Nak keluar tapi tidak jadi. Keadaan ini sudah berlarutan beberapa hari. Apakah yang patut saya dan ahli keluarga lakukan?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW sehingga ke Hari Kiamat.

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا

Maksudnya: “Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa antara kamu yang lebih baik amalnya.”

 Surah al-Mulk  (2)

Al-Qurtubi dalam tafsirnya al-Jami’ li Ahkam al-Quran berkata bahawa perkataan “kematian” didahulukan daripada perkataan “kehidupan” kerana kematian itu lebih dekat.

Boleh jadi juga kerana asal manusia daripada tiada kemudian diwujudkan. Begitu juga kerana matlamat sebenar manusia bukan hanya dibataskan di dunia sahaja tetapi ia akan di soal di hadapan Allah pada hari harta benda dan anak-pinak tidak boleh memberi manfaat kecuali menghadap Allah SWT dengan hati yang sejahtera.

وَلَقَدْ جِئْتُمُونَا فُرَادَىٰ كَمَا خَلَقْنَاكُمْ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَتَرَكْتُم مَّا خَوَّلْنَاكُمْ وَرَاءَ ظُهُورِكُمْ ۖ وَمَا نَرَىٰ مَعَكُمْ شُفَعَاءَكُمُ الَّذِينَ زَعَمْتُمْ أَنَّهُمْ فِيكُمْ شُرَكَاءُ ۚ لَقَد تَّقَطَّعَ بَيْنَكُمْ وَضَلَّ عَنكُم مَّا كُنتُمْ تَزْعُمُونَ

Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya, kamu tetap datang kepada Kami (pada hari kiamat) dengan bersendirian, sebagaimana Kami jadikan kamu pada mulanya; dan kamu tinggalkan di belakang kamu apa yang telah kami kurniakan kepada kamu; dan Kami tidak melihat beserta kamu penolong-penolong yang kamu anggap dan sifatkan bahawa mereka ialah sekutu-sekutu Allah dalam kalangan kamu. Demi sesungguhnya, telah putuslah perhubungan antara kamu (dengan mereka), dan hilang lenyaplah daripada kamu apa yang dahulu kamu anggap dan sifatkan (memberi faedah dan manfaat).”

Surah al-An’am (94)

Berkenaan dengan isu ini, saya syorkan beberapa perkara:

  • Banyakkan doa kepada pesakit tersebut
  • Sedekah bagi pihak pesakit tersebut
  • Membaca al-Quran untuk pesakit tersebut terutamanya dua surah, iaitu surah Yasin dan Surah al-Ra’d
  • Banyakkan zikrullah dan ulangi dari masa ke semasa ke telinga pesakit lafaz: لاَإِلَهَ إِلاَّالله yang memberi maksud “Tiada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya kecuali Allah”.

Semoga Allah SWT mudahkan segala urusan keluarga saudara dan takdirkan untuknya yang terbaik. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ لَا سَهْلَ إِلاَّ ما جَعَلْتَهُ سَهْلاً، وأنْتَ تَجْعَلُ الحَزْنَ إذَا شِئْتَ سَهْلاً

Maksudnya: “Ya Allah! Tiada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikannya sebagai kemudahan. Dan Engkaulah yang menjadikan perkara yang sukar itu jika Engkau kehendaki dengan kemudahan.”

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (265), Ibn Hibban (974) dan Ibn al-Sunni dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah (351)

Bertarikh: 21 Jun 2023 bersamaan 2 Zulhijjah 1444H

Leave a Reply