#1861: Sentuh Makanan Kucing yang Mengandungi Babi

-25%
Percuma Al-Quran
Out of stock
Original price was: RM440.00.Current price is: RM330.00.
Size Pocket

Buku Fizikal

Dengan Nama Allah

RM15.00

Buku Fizikal

Imam Mahdi

RM13.00

Buku Fizikal

Yajuj dan Majuj

RM13.00

Buku Fizikal

Hakikat Dajjal

RM13.00
-29%
Original price was: RM70.00.Current price is: RM50.00.

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri.  Saya ada soalan. Saya ada bela kucing dalam rumah sebanyak 4 ekor dan saya ada memberi kucing-kucing saya makan makanan kucing yang kering (kibbles). Baru-baru ini, saya tengok dalam media sosial mengatakan kandungan makanan kucing saya itu ada babi. Soalannya, adakah saya kena samak tangan dan bekas-bekas yang saya gunakan apabila menyentuh kibbles tersebut? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, para fuqaha telah bersepakat akan kenajisan daging babi sekalipun disembelih. Hal ini berdasarkan nas al-Quran yang telah menyebutkan bahawa babi adalah najis secara zatnya. Maka dagingnya dan kesemua bahagiannya sama ada bulu, tulang dan kulit adalah najis sekalipun disembelih. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 1/302). Firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya).”

(Surah al-Ma’idah: 3)

Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan bahawa pengharamkan babi itu meliputi semua bahagiannya sehingga pada lemak dan kulitnya. Adapun dikhususkan dengan menyebut dagingnya sahaja kerana ia merupakan kebanyakan bahagian yang dimakan. Sesungguhnya syarak telah melarang untuk mengambil manfaat daripada semua bahagian babi. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 6/77).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, para ulama berbeza pendapat mengenai cara membersihkan kenajisan babi. Mengenai hal ini, al-Syirazi ada menukilkan daripada Ibn al-Qas bahawa Imam al-Syafi‘i berpendapat dalam pendapatnya yang qadim, jilatan babi hanya dibasuh dengan sekali basuhan sahaja. Sedangkan seluruh ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i berpendapat, jilatan babi perlu kepada tujuh kali basuhan — sebagaimana jilatan anjing. Pendapat Imam Syafi‘i yang qadim itu bersifat mutlak kerana beliau hanya menyebutkan ‘dibasuh’ dan makna yang dikehendaki daripadanya adalah tujuh kali basuhan. Dalil yang menunjukan kepada perkara ini adalah kerana babi lebih buruk halnya berbanding anjing. Justeru, ia lebih utama dari segi hukum bilangan basuhan. (Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafi‘i, hlm. 95).

Seterusnya Imam al-Nawawi ketika mengulas kenyataan al-Syirazi ini menyatakan, hasilnya berkenaan jilatan babi ini terdapat dua jalan. Jalan (tariqah) yang pertama ialah jalan Ibn al-Qas dan ia mengandungi dua pendapat. Pendapat pertama, cukup dengan hanya sekali basuhan tanpa tanah sebagaimana najis-najis yang lain — yakni najis mutawassitah. Pendapat kedua, wajib dengan tujuh kali basuhan dan salah satunya adalah dengan tanah. Manakala jalan kedua pula, wajib membasuh dengan tujuh kali basuhan secara qat‘i dan ini merupakan pendapat jumhur ulama dan mereka telah mentakwilkan perkataan Imam al-Syafi‘i dalam fatwanya yang qadim itu sebagaimana yang disebutkan oleh pengarang al-Muhazzab — yakni al-Syirazi.

Kemudian, Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa pendapat yang rajih (kuat) dari sudut dalil ialah jilatan babi cukup dengan sekali basuhan tanpa tanah. Inilah pendapat majoriti ulama yang berpendapat dengan kenajisan babi. Inilah pendapat yang dipilih kerana hukum asalnya adalah tiada kewajipan — untuk membasuhnya sebanyak tujuh kali dan salah satunya dengan tanah — sehinggalah datangnya dalil syar‘i yang menyebutkannya. Lebih-lebih lagi perkara ini dibina di atas dasar ta‘abbudi. Di antara ulama yang berpendapat wajib membasuh sebanyak tujuh kali juga ialah Imam Ahmad dan Malik dalam salah satu riwayat daripadanya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/586).

Di samping itu, pendapat ini juga merupakan pendapat yang dipilih oleh Ibn al-‘Uthaimin sebagaimana yang dinyatakan dalam kitabnya bahawa para fuqaha menyandarkan kenajisan babi kepada kenajisan anjing kerana babi itu adalah lebih buruk daripada anjing. Justeru, ia lebih aula (utama) dengan hukum tersebut – yakni basuhan sebanyak tujuh kali dan salah satunya dengan tanah. Walau bagaimanapun, qiyas ini adalah dhaif (lemah) kerana babi disebutkan di dalam al-Quran dan wujud pada zaman Nabi SAW. Namun, tidak terdapat penyandarannya kepada anjing. Oleh itu, pendapat yang sahihnya, najisnya adalah sepertimana najis yang lain — yakni daripada jenis mutawassitah — dan ia dibersihkan sebagaimana dibersihkan najis-najis yang lain. (Lihat al-Syarh al-Mumti‘, 1/418).

Manakala Dr. Wahbah al-Zuhaili menyatakan dalam kitabnya, ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i dan Hanbali berpendapat apa-apa yang menjadi najis disebabkan oleh sentuhan sesuatu berupa air liur, kencing atau seluruh cecair, atau anggota-anggota yang kering jika bersentuhan dalam keadaan basah dan lembap, daripada anjing atau babi, dan haiwan yang lahir daripada keduanya atau salah satunya dengan haiwan yang suci, hendaklah dibasuh sebanyak tujuh kali dan salah satu basuhannya itu dengan tanah yang suci berdasarkan hadith yang menyebutkan berkenaan cara mencuci jilatan anjing. Lalu diqiyaskan babi dengan anjing kerana ia lebih buruk halnya berbanding anjing kerana terdapat nas dalam syarak yang menyebutkan mengenai pengharaman babi dan tidak boleh memilikinya. Oleh itu, sabitlah hukum mengenainya berdasarkan jalan al-Tanbih. Adapun syarak tidak menyebutkan mengenai hukum itu kerana ia bukanlah suatu yang menjadi kebiasaan bagi mereka — yakni dengan babi berbanding anjing yang digunakan untuk memburu, menjaga tanaman dan lain-lain. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 1/333-334).

Penjelasan lanjut berkenaan perkara ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #852 Khilaf Ulama Berkenaan Cara Membersihkan Jilatan Babi.[1]

 

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, jelaslah bahawa para ulama khilaf berkenaan kenajisan babi itu sendiri, sama ada termasuk dalam kategori najis mutawassitah atau najis mughallazah. Lalu perbezaan tersebut menatijahkan kepada perbezaan cara basuhannya, sama ada dibasuh dengan air yang bersih tanpa mensyaratkan sebanyak tujuh kali basuhan, atau dibasuh sebanyak tujuh kali basuhan dan salah satunya dengan tanah.

Justeru, kami berpendapat, sekiranya benar dan telah dipastikan dengan melihat kepada kandungannya (ingredient) bahawa dalam makanan kucing tersebut mengandungi babi, jika tangan pernah menyentuhnya dalam keadaan lembap atau basah, maka cara menyucikan atau membasuh tangan yang menyentuhnya itu adalah dengan tujuh kali basuhan dan salah satunya dengan tanah. Inilah pendapat yang dilihat lebih selamat dan keluar daripada khilaf. Hal ini bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:

الخُرُوجُ مِنَ الخِلَافِ مُسْتَحَبٌّ

Maksudnya:Keluar daripada khilaf adalah digalakkan (sunat).” (Lihat al-Qawaid al-Fiqhiyyah baina al-Asalah wa al-Taujih, 14/1).

Sekalipun begitu, kita hendaklah mengetahui bahawa kenajisan makanan kucing itu hanya akan berpindah kepada tangan yang menyentuhnya apabila salah satunya lembap atau basah. Jika najis itu kering dan tangan yang menyentuhnya juga kering, maka najis itu tidak akan berpindah kepada tangan yang menyentuhnya. Ini adalah sepertimana dinyatakan dalam Fiqh al-‘Ibadat ‘ala Mazhab al-Syafi‘i bahawa jika sesuatu yang najis atau mutanajjis bersentuhan dengan sesuatu yang suci, maka hendaklah dilihat. Sekiranya kedua-duanya — yakni yang bernajis dan yang suci — dalam keadaan kering, maka sesuatu yang najis (atau yang mutanajjis) itu tidak akan memberi sebarang kesan kepada sesuatu yang suci itu. Hal ini adalah berdasarkan kepada kaedah fiqh yang menyebutkan, sesuatu yang kering adalah suci tanpa sebarang khilaf. Namun, jika salah satunya atau kedua-duanya dalam keadaan basah (atau lembap), maka sesuatu yang suci itu akan dikira najis, disebabkan oleh persentuhannya dengan sesuatu yang najis itu. (Lihat Fiqh al-‘Ibadat ‘ala Mazhab al-Syafi‘i, 1/179).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/852-khilaf-ulama-berkenaan-cara-membersihkan-jilatan-babi/. Diakses pada 9 Jun 2023.

Bertarikh: 21 Jun 2023 bersamaan 2 Zulhijjah 1444H

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *