Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah saya bekerja di cafe milik kawan saya yang bukan Islam? Cafe kawan saya itu, hanya menyediakan perkhidmatan kopi dan makanan-makanan ringan berupa sandwich dan seumpamanya. Semua bahan-bahan dan barang-barang basah yang digunakan adalah halal atau dibeli daripada pengusaha Muslim. Di situ, kawan saya itu juga sangat mengamalkan SOP kebersihan yang ketat. Pekerjanya seramai 4 orang dan semuanya bukan Islam, melainkan hanya saya seorang sahaja yang beragama Islam. Mohon pencerahan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Islam menuntut penganutnya agar sentiasa mencari rezeki yang halal lagi baik dalam memenuhi keperluan seharian. Hal ini bertetapan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.”

(Surah al-Baqarah: 168)

Syeikh al-Sa‘di mengulas ayat ini dengan mengatakan bahawa ia ditujukan kepada seluruh manusia sama ada orang-orang beriman ataupun kafir, supaya memakan apa yang ada di atas muka bumi ini, yang terdiri daripada biji-bijian, buah-buahan dan binatang-binatang yang telah dihalalkan buat mereka (makan dan ambil manfaat daripadanya), bukan dengan cara merampasnya, mencuri, melalui hasil muamalat (jual beli) yang diharamkan atau perkara-perkara yang diharamkan.  Manakala ‘tayyiban’ pula adalah bukan daripada perkara yang buruk seperti bangkai, darah, daging khinzir dan lain-lain. Ayat ini merupakan dalil bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara itu (untuk dimakan dan diambil manfaatnya) adalah harus. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/80).

Dalam aspek muamalat, prinsipnya asasnya adalah keharusan untuk bermuamalah selagimana tidak ada dalil yang melarang atau menyatakan sebaliknya. Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebut:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلُّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ.

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60)

Pekerjaan adalah termasuk dalam ruang lingkup muamalat. Oleh itu, hukum asal bagi sesuatu pekerjaan adalah harus selagimana tidak ada dalil yang melarang atau menyatakan sebaliknya. Keharusan itu pula skopnya amat luas, sedangkan keharamannya pula hanya terhad kepada perkara yang sememangnya ditegah oleh Islam. Dalam erti kata lain, sekiranya suatu pekerjaan itu aktiviti pekerjaannya melibatkan perkara-perkara haram, maka hukumnya adalah haram seperti syarikat arak, kedai judi, kedai makan bukan Islam yang menyediakan masakan yang berasaskan arak, khinzir atau seumpamanya. Begitulah juga, sekiranya aktiviti dan tugasan sesuatu syarikat itu harus, maka hukumnya adalah harus seperti restoran makanan halal (sekalipun dimiliki oleh bukan Islam), perniagaan jual beli buah-buahan, perniagaan yang tidak melibatkan sistem riba dan lain-lain.

Begitu juga tidak menjadi kesalahan ke atas seorang Muslim untuk memakan makanan yang dimasak atau disediakan oleh orang bukan Islam yang bukan ahli kitab berupa susu, sayur-sayuran, buah-buahan dan segala jenis makanan yang lain kecuali sembelihan mereka. Bahkan terdapat riwayat daripada Qatadah yang menyatakan bahawa:

لَا بَأْسَ بِأَكْلِ طَعَامِ الْمَجُوسِ مَا خَلَا ذَبِيحَتَهُ

Maksudnya:Tidak mengapa dengan memakan makanan orang Majusi selain daripada sembelihannya.

Riwayat ‘Abd al-Razzaq dalam Musannafnya (10155)

DI samping itu, al-Qurtubi juga ada menukilkan dalam tafsirnya daripada Abu Umar yang menyebutkan bahawa tidak mengapa dengan memakan makanan penyembah berhala, penganut Majusi dan sekalian penganut bukan Islam yang tidak diberikan kitab (yakni bukan ahli kitab) selain daripada sembelihan mereka. Begitu juga, makanan tersebut tidak berhajat kepada sembelihan mengikut syarak kecuali keju kerana ia berasal daripada renet bangkai — disebabkan oleh haiwan itu tidak disembelih mengikut syarak. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 2/221).

Selain daripada itu, status halal suatu makanan itu, bukanlah dilihat daripada individu yang menyediakan makanan tersebut. Akan tetapi, kayu ukurnya adalah pada bahan-bahan dan perkakas yang digunakan bagi menyediakan makanan tersebut. Dalam erti kata lain, mestilah daripada bahan-bahan yang halal dan bersih, di samping alat-alat perkakas yang digunakan untuk memasaknya juga, mestilah tidak digunakan untuk memasak makanan yang haram.

Kesimpulannya

Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat diharuskan untuk seseorang itu bekerja di cafe milik bukan Islam dan hasil pendapatannya juga adalah halal dengan syarat semua aktiviti perniagaannya adalah harus dan tidak melibatkan perkara-perkara yang haram seperti mengandungi unsur riba atau penipuan, atau mengandungi unsur-unsur haram dalam penyediaan makanan atau minuman yang dijual seperti adanya arak, bahan-bahan tidak halal dan seumpamanya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 22 Jun 2023 bersamaan 3 Zulhijjah 1444H

Leave a Reply