Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Tumpang tanya, jika ada seorang perempuan mengandung dan dia mengidam mahu makan atau minum sesuatu yang diharamkan seperti babi atau arak. Apa yang perlu dilakukan dan adakah ia dibolehkan?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Kami tegaskan terlebih dahulu pendiriran kami dengan menyebutkan satu hadith yang diriwayatkan daripada al-Nu‘man bin Basyir R.Anhuma katanya: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إنّ الحَلالَ بَيِّنٌ، وإنّ الحَرامَ بَيِّنٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya yang halal itu jelas, dan sesungguhnya yang haram itu jelas.”

Riwayat al-Bukhari (2051) dan Muslim (1599)

Perkara yang halal tetaplah halal dan tiada siapa yang boleh mengharamkannya, dan begitulah sebaliknya perkara yang haram tetaplah haram dan tiada siapa yang boleh menghalalkan. Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُحَرِّمُوا طَيِّبَاتِ مَا أَحَلَّ اللَّهُ لَكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik-baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu.”

Firman Allah SWT pada ayat yang lain:

وَلَا تَقُولُوا لِمَا تَصِفُ أَلْسِنَتُكُمُ الْكَذِبَ هَٰذَا حَلَالٌ وَهَٰذَا حَرَامٌ لِّتَفْتَرُوا عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ ۚ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu: “Ini halal dan ini haram”, untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah.”

(Surah al-Nahl: 116)

Menggunakan alasan perasaan mengidam dan hamil untuk membenarkan perkara yang haram adalah tidak boleh. Bahkan perasaan seperti ini adalah talbis iblis yang menghasut manusia untuk melakukan perkara yang haram.

Ibn al-Jauzi berkata bahawa yang dimaksudkan dengan talbis itu ialah menzahirkan kebatilan dengan cara yang seakan-akan benar. (Lihat  Talbis Iblis, hlm. 36)

Sebaliknya, apabila terlintas suatu perasaan untuk melakukan perkara yang diharamkan oleh Allah SW, maka wajib menjauhi perasaan itu.

Diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا طَاعَةَ فِي مَعْصِيَةٍ، إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي الْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Tiada ketaatan pada perkara maksiat, sesungguhnya taat itu pada perkara yang makruf (baik).”

Riwayat al-Bukhari (7257) dan Muslim (1840)

Dalam riwayat yang lain daripada Ali bin Abi Talib R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا طَاعَةَ لِمَخْلُوقٍ فِي مَعْصِيَةِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ‏

Maksudnya: “Tiada ketaatan kepada makhluk dalam perkara maksiat kepada Allah Azza wa Jalla.”

Riwayat Ahmad (1095)

Ingatlah ancaman yang telah disebutkan oleh syara‘ bagi mereka yang makan perkara-perkara haram.

Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdillah R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda kepada Ka‘b bin ‘Ujrah R.A:

إِنَّهُ لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ لَحْمٌ نَبَتَ مِنْ سُحْتٍ أَبَدًا، النَّارُ أَوْلَى بِهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya tidak masuk akan syurga daging yang tumbuh dari sumber yang haram, bahkan neraka lebih utama baginya.”

Riwayat Ahmad (14441), al-Tirmizi (614) dan al-Hakim (7163). Al-Tirmizi mengatakan di dalam al-Sunan bahawa hadith ini berstatus Hasan Gharib (2/512).

Doa mereka yang makan perkara yang haram juga tidak dikabulkan Allah SWT. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A katanya:

ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أشْعَثَ أغْبَرَ، يَمُدُّ يَدَيْهِ إلى السَّماءِ، يا رَبِّ، يا رَبِّ، ومَطْعَمُهُ حَرامٌ، ومَشْرَبُهُ حَرامٌ، ومَلْبَسُهُ حَرامٌ، وغُذِيَ بالحَرامِ، فأنّى يُسْتَجابُ لذلكَ؟

Maksudnya: “Kemudian Baginda menyebutkan ada seseorang yang bermusafir perjalanan jauh di mana keadaan kusut dan berdebu. Dia mengangkatkan kedua tangannya ke langit seraya berkata: Ya Tuhanku, Ya Tuhanku, padahal makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan keperluannya dipenuhi dari sesuatu yang haram, maka bagaimana doanya akan dikabulkan?”

Riwayat Muslim (1015)

Amanat dan pesanan yang disampaikan baginda memberi isyarat kepada kaum Muslimin agar sentiasa mencari sumber yang halal di samping memberi ancaman bahawa hamba yang sumber rezekinya datang daripada sumber yang haram, kelak doanya tidak akan dimakbulkan oleh Allah SWT selagi mana seseorang itu tidak bertaubat.

 

Kesimpulan

Perasaan mengidam seseorang ibu yang mengandung untuk makan apa jua yang diinginkan adalah harus pada asalnya, selagi mana ia bukan dari perkara yang diharamkan oleh Allah SWT.

Nabi SAW telah memberi peringatan kepada para sahabatnya tentang ummat akhir zaman, yang mengambil perkara haram sekalipun dia mengetahui kesannya adalah buruk. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَأْتِي عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ لا يُبَالِي المَرْءُ مَا أَخَذَ مِنْهُ، أَمِنَ الحَلالِ أَمْ مِنَ الحَرَامِ

Maksudnya: “Akan datang satu zaman di mana seseorang itu tidak peduli apa yang diambilnya, sama ada dari perkara yang halal atau haram.”

Riwayat al-Bukhari (2059)

Sebaiknya, ibu-ibu yang mengandung perbanyakkan meneliti dan membaca kisah-kisah wanita solehah supaya dapat menambahkan ilmu di dada tentang cara mendidik dan membesarkan anak-anak dengan cara yang dianjurkan islam, di samping dapat mendekatkan diri dengan Allah SWT.

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 22 Jun 2023 bersamaan 3 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply