Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Mohon izin bertanya, ada tak rujukan kisah hidup Syeikh Ahmad Yassin dan peranan dan dakwah beliau hingga wujudnya gerakan intifada?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW sehingga ke Hari Kiamat.

Sebelum menjawab persoalan di atas, kami ringkaskan sedikit biografi tokoh yang hebat ini. Semoga dengan pengkisahan ini memberi semangat dan obor perjuangan kepada pencinta Masjidil Aqsa khasnya dan Baitul Maqdis amnya. 

Biografi Syeikh Ahmad Yassin

Beliau dilahirkan di sebuah kampung bernama al-Jora, daerah Majdal di dalam wilayah Asqalan pada tahun 1938. Beliau dibesarkan di sana sehingga tahun 1948 ketika pendudukan pengganas Yahudi ke atas bumi Palestin, lalu akhirnya dia dan keluarga dipaksa untuk berpindah ke Semenanjung Gaza.

Beliau membesar sebagai seorang pelajar yang cemerlang dalam pelajarannya. Beliau juga aktif sebagai seorang ahli sukan pada zaman persekolahannya. Sehinggalah akhirnya beliau telah ditimpa kemalangan yang menyebabkan beliau lumpuh pada bahagian kakinya.

Pada tahun 1964, beliau telah melanjutkan pelajaran ke Universiti Ain Syams di Kaherah, Mesir. Pengajiannya di universiti tersebut walau bagaimanapun tidak dapat ditamatkan kerana beliau dipenjarakan selama sebulan oleh pihak berkuasa Mesir disebabkan keterlibatannya dengan pertubuhan Ikhwan Muslimin pada tahun 1966. Beliau akhirnya dihantar pulang ke Gaza sehingga menyebabkan beliau tidak dapat menamatkan pengajiannya.

Apabila pulang ke Gaza, beliau bergiat aktif memperjuangkan Islam dan berkhidmat sebagai guru bahasa Arab, serta khatib di masjid Gaza. Dalam masa yang singkat, namanya menjadi terkenal di kalangan penduduk Gaza dengan khutbah-khutbahnya yang bersemangat dan menyedarkan ummah, khususnya selepas pendudukan rejim Zionis ke atas Gaza pada tahun 1967.

Hasil usaha Syeikh Ahmad Yassin, pada sekitar 1969-1970, pertubuhan Ikhwan Muslimin telah berkembang di kawasan Gaza. Akhirnya pada tahun 1973, Syeikh Ahmad Yassin telah berjaya menubuhkan pertubuhan kebajikan yang menjaga kebajikan pelarian-pelarian Palestin yang dinamakan Mujamma’ al-Islam.

Usahanya kemudian dikembangkan dengan penubuhan sebuah gerakan jihad yang dinamakan sebagai al-Mujahidun al-Filastiniyyun pada tahun 1982 sebagai kesinambungan perjuangan Kata’ib Syuyukh yang mengambil wasilah jihad sebagai landasan perjuangan mereka.

Pada tahun 1983, beliau telah ditangkap dan dipenjarakan oleh rejim Zionis atas tuduhan memiliki senjata api dan cuba menggugat kerajaan Zionis Israel. Beliau dijatuhkan hukuman penjara selama 13 tahun melalui mahkamah tentera Israel.  Namun, pada tahun 1985, beliau telah dibebaskan hasil proses penukaran tawanan antara pihak Palestine Liberation Organization (PLO) dengan rejim Zionis. 

Pada tahun 1987, Syeikh Ahmad Yassin dan rakan-rakannya telah menubuhkan gerakan pembebasan Islam yang dikenali sebagai HAMAS. Dengan itu, bermulalah corak baru penentangan, iaitu dengan mengadakan demonstrasi jalanan dan pertempuran secara bersemuka dengan pihak tentera Zionis. Kebanyakan ahli pergerakan ini dihasilkan dari masjid-masjid dari kalangan orang-orang muda yang dikenali dengan nama Atfal Hijarah (kanak-kanak batu) kerana menggunakan batu untuk berhadapan dengan tentera Zionis. 

Penentangan ini memberi impak yang besar terhadap rejim Zionis dan ia dikenali sebagai Intifadah. Kesan ini amat hebat apabila pihak rejim Zionis terpaksa mengambil tindakan drastik bagi mengekang kemaraan HAMAS.

Natijahnya, pada Ogos 1988, pihak tentera Zionis telah merobohkan rumahnya dan membuangnya ke sempadan Lubnan. Tidak cukup dengan itu, beliau bersama ratusan anggota pergerakan HAMAS telah dipenjarakan kerana kejayaan operasi-operasi yang dilancarkan oleh mereka dalam usaha membunuh tentera dan komando-komando Israel. 

Pada 1991, sekali lagi Syeikh Ahmad Yassin telah dikenakan hukuman penjara selama 15 tahun oleh mahkamah tentera Israel atas sembilan pertuduhan yang disabitkan ke atasnya. Kesan daripada penahanan tersebut, beliau telah mengalami lumpuh seluruh tubuh kecuali kepalanya sahaja. Beliau juga telah kehilangan penglihatan mata kanannya dan penglihatannya menjadi kabur selain masalah pendengaran, disebabkan deraan yang dikenakan ke atasnya. 

Pada 1992, komando HAMAS yang dikenali sebagai Kata’ib al-Qassam telah berjaya menculik seorang tentera Zionis, lalu mereka menawarkan pertukaran tawanan dengan pihak rejim. Namun, pihak rejim telah menolak permintaan tersebut. 

Pada 1997, hasil rundingan pertukaran tawanan antara kerajaan Jordan dan rejim Zionis, Syeikh Ahmad Yassin telah dibebaskan. Setelah pembebasannya, Syeikh Ahmad Yassin telah memainkan peranannya sebagai pemimpin agama bagi gerakan HAMAS. 

Pada September 2000, tercetuslah Intifadah kali kedua selepas Perdana Menteri rejim Zionis, Ariel Sharon telah mencemarkan dan menceroboh ke atas Masjid al-Aqsa bersama 200 tenteranya dengan biadap dan angkuh sekali. Sekali lagi, Syeikh Ahmad Yassin telah berjaya membangkitkan rakyat Palestin untuk berjuang menentang kegilaan rejim Zionis. 

Impaknya amat besar terhadap rejim Zionis. Kerugian harta dan nyawa adalah yang paling teruk dialami sepanjang 50 tahun penubuhan. Lantaran itu pihak rejim melakukan pelbagai usaha untuk mengekang kemaraan rakyat Palesin.

Hasil kegilaan mereka itu, beberapa pemimpin pejuang Palestin telah dibunuh syahid oleh rejim menggunakan jet-jet pejuang, helikopter dan juga kereta kebal mereka. Antara yang menjadi sasaran mereka termasuklah Syeikh Ahmad Yassin.

Pada 6 September 2003, sebuah helikopter Apache milik tentera Zionis telah membedil dan merobohkan rumah Syeikh Ahmad Yassin. Namun Syeikh Ahmad Yassin telah terselamat dalam serangan ini dan hanya mengalami kecederaan ringan pada tangan kanannya.

Pada Subuh, 22 Mac 2004, rejim sekali lagi menyerang Syeikh Ahmad Yassin ketika beliau dalam perjalanan pulang dari masjid setelah selesai solat Subuh berjemaah. Tiga buah roket telah dilancarkan ke atas Syeikh Ahmad Yassin yang lumpuh, sehingga menyebabkan Syeikh Ahmad Yassin dan empat yang lain termasuk anaknya telah terbunuh syahid. 

Allah SWT menjadikan kematiannya sebagai suatu yang begitu besar. Lebih daripada 200 ribu orang-orang di Gaza telah berhimpin untuk mengiringi jenazahnya ke maqam syuhada. Umat Islam seluruh dunia bercerita tentang kesyahidan dan masing-masing meluahkan rasa penghargaan yang begitu besar terhadap kehebatan perjuangannya.

Penghormatan terakhir buat jenazah Syeikh Ahmad Yassin.

Menjawab persoalan di atas, banyak buku yang menceritakan pengorbanan dan perjuangan Syeikh Ahmad Yassin. Antara tajuk buku-buku tersebut:

  • Syaza al-Rayahin min Sirati wa Isytihadi al-Syeikh Ahmad Yassin yang dikaryakan oleh Sayyid Husin al-’Afani. Mengandungi 2 jilid yang diterbitkan oleh Maktabah Afa’ Ghazzah pada tahun 2004 lagi.
  • al-Syeikh Ahmad Yassin Syahidun ‘ala ‘Asri al-Intifadah oleh Ahmad Mansur. Ia diterbitkan oleh al-Maktab al-Misri al-Hadith.
  • Kitab Thaqafah al-Imam al-Syahid Ahmad Yassin yang diterbitkan oleh Rabitah Ulama Palestin pada tahun 2006 yang disertai dengan Silsilah Mujtama Khaluq wa Muthaqqaf.
  • Kitab al-Imam al-Syahid Ahmad Yassin… Hayatuhu wa Da’watuhu wa Thaqafatuhu hasil karya Prof Dr Nasim Syahdah Yassin. Ia mengandungi 136 halaman.

Semoga Allah SWT menempatkan Syeikh Ahmad Yassin bersama para syuhada yang soleh di syurga Firdaus. Amin.

Bertarikh: 22 Jun 2023 bersamaan 3 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply