Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya mendengar seorang ustaz selebriti berkata jika suami isteri bercerai; sebagai contoh talak 2. Mereka berkahwin dengan pasangan lain dan kemudiannya bercerai. Selepas itu keduanya berkahwin semula dengan pasangan asal. Kata ustaz tersebut, dalam situasi itu talak yang asal iaitu talak 2 terpakai dan cuma tinggal satu talak sahaja lagi. 

Bagaimana pula kesnya dalam keadaan pasangan bercerai talak 3? Kemudiannya isteri berkahwin dengan orang lain dan selepasnya bercerai (bukan diaturkan seperti amalan cina buta). Bukankah mereka boleh kembali berkahwin dengan pasangan asal? 

Sebab kalau diikutkan ustaz tersebut bagaimana mereka hendak berkahwin semula kerana talak telah habis (3 talak). Ikut pemahaman saya, bilangan talak adalah pada masa aqad dan qabul. Jika akad nikah baru maka bilangan talak yang ada kembali kepada sifar. 

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW sehingga ke Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ

Maksudnya: “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.”

Surah al-Baqarah (229)

Dalam menjawab isu di atas, pendapat ustaz tersebut adalah benar dan betul. Berdasarkan kepada kitab-ktiab fiqh bermazhab Syafi’i kami dapati apabila seseorang itu menceraikan isterinya dengan talak satu atau dua kemudian rujuk kembali ataupun berkahwin semula selepas habis iddah, maka jika berlaku perceraian seterusnya ia dianggap sambungan kepada talak yang sedia ada. Kalau satu ia menjadi dua, kalau dua ia menjadi tiga jika lafaz dengan satu talak. 

Begitu juga, jika sekiranya seseorang itu menceraikan isterinya dengan talak tiga dan telah diputuskan oleh mahkamah, kemudian isterinya telah berkahwin dengan lelaki lain serta sempat bersama sebagai pasangan seuami isteri, kemudian, lelaki baharunya itu telah menceraikannya. 

Syarat bersetubuh telah dinaskan dalam hadith Nabi SAW:

أَنَّ رَجُلاً، طَلَّقَ امْرَأَتَهُ ثَلاَثًا، فَتَزَوَّجَتْ فَطَلَّقَ فَسُئِلَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَتَحِلُّ لِلأَوَّلِ قَالَ “‏ لاَ، حَتَّى يَذُوقَ عُسَيْلَتَهَا كَمَا ذَاقَ الأَوَّلُ

Maksudnya: “Seorang lelaki menceraikan isterinya dengan talak 3, kemudian bekas isterinya menikahi seorang lelaki yang lain lalu diceraikan juga olehnya. Nabi SAW ditanya, adakah halal atau tidak jika wanita itu bernikah bersama bekas suaminya yang pertama, lalu Nabi SAW menjawab, tidak, dia tidak boleh bernikah bersama suami yang pertama sehingga suami kedua merasakan manisnya madu sepertimana suami pertama merasai (sehingga suami kedua melakukan hubungan intim bersama).”

Riwayat Bukhari (5261)

Maka, selepas selesai iddah, bekas suami yang pertama ingin berkahwin semula dengan bekas isterinya, maka, ia memerlukan akad yang baru serta permulaan talaknya bermula dari sifar semula. Inilah yang dikemukakan oleh kebanyakan ulama. 

Saranan kami kepada pasangan yang ingin berkahwin, mahupun yang sudah berkahwin ataupun yang sedang berada di ambang konflik penceraian, kami menasihatkan agar berhati-hati dalam tindakan dan perbuatan agar tidak menyesal di kemudian hari. Perjalanan hidup sesebuah keluarga bahagia didasarkan di atas prinsip-prinsip yang saling menjaga dan mengambil berat di antara satu sama lain. Koreksi diri dan bersabarlah, kerana hakikat kehidupan berkeluarga itu amat memerlukan kepada ilmu dan juga toleransi.

Sesungguhnya, antara kelemahan ketara pasangan hidup adalah tidak mampu bertoleransi serta banyak mengungkitkan isu yang kecil sehingga menjadi besar di samping tidak menunaikan tanggungjawab dengan sepenuhnya. Akibatnya, mudahlah berlaku perceraian. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 22 Jun 2023 bersamaan 3 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply