Soalan:     

Assalamualaikum w.b.t. Bolehkah beriktikaf di ruangan solat di kawasan Saie di Masjidil haram dan menunaikan solat tahiyyatul masjid?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asalnya kawasan saie bukanlah di dalam kawasan masjid. Ia dikenali sebagai mas’a iaitu tempat yang bersifat memanjang antara Safa dan Marwa. 

Pertama: Sejarah Mas`a

Sebenarnya Mas`a mempunyai sejarah yang panjang dan lama sejak daripada peristiwa Hajar, ibu kepada Nabi Ismail AS yang melakukan sa`ie daripada Safa dan Marwah semata-mata mencari air untuk menyelamatkan keadaan anaknya yang ketika itu dalam keadaan kritikal kehausan kerana habis bekalan dan air. Kisahnya banyak dirakamkan dalam Qasas al-Anbiya’.

Syeikh Sya`rawi di dalam tafsirnya menyebut: Dua bukit Safa mengingatkan nostalgia lama bagaimana Saidatina Hajar iaitu ibu Ismail AS sedang berulang alik antara keduanya mencari air untuk anaknya selepas ditinggalkan kedua-duanya oleh Ibrahim di sisi Baitullah al-Haram. Bagaimana fikiran seorang perempuan ketika ditinggalkan suaminya bersama dengan anak yang masih kecil di tempat yang tidak mempunyai makanan dan sumber air? Di sinilah ucapan Hajar yang masyhur: Kepada siapa kamu serahkan kami, adakah Allah yang perintahkan kamu demikian itu? Lantas jawab Ibrahim: Ya. Dengan penuh yakin, isteri soleh itu berkata: Kalau begitu Allah SWT tidak akan mengabaikan kami. Justeru dia terkaya dengan Khaliq daripada makhluk.

Seperti yang diketahui Mas`a ialah ruang tempat sa`ie yang terletak di antara Bukit Safa dan Marwah. Sa`ie adalah termasuk dalam rukun ibadah haji dan umrah. Tanah tempat sa`ie ini, asalnya merupakan tanah yang berliku, curam dan tidak rata. Pembaikan dan pembaharuannya dilakukan sedikit demi sedkit sepanjang sejarah sehingga keadaannya seperti hari ini.

Sebelum ini Mas`a seperti Masjid al-Haram tidak bersambung dan dipisahkan oleh bangunan-bangunan. Ia terletak di kawasan pasar yang di kiri kanannya terdapat kedai-kedai dan para penjaja. Jadi pada waktu itu orang bersa’ie dengan dengan kesibukan di tengah-tengah deretan kedai. (Lihat al-Tarikh al-Qawim, 6/112).

Sebenarnya banyak buku sejarah yang membicarakan berkenaan dengan Masjid al-Haram, Makkah dan termasuk Mas`a itu sendiri. Sama ada dalam Bahasa Arab mahupun Bahasa Melayu.

Sa`ie

Sa`ie pada bahasa ialah bekerja dan juga diberi maksud dengan cepat dapat perjalanan iaitu berlari. Sedangkan sa`ie antara Safa’ dan Marwah ialah Tawaf antara keduanya. (Lihat Mu’jam Lughah al-Fuqaha’) Sa`ie juga dengan maksud apa-apa pekerjaan yang dilakukan atau usaha dan digunakan juga dengan maksud berjalan banyak sebagaimana yang tercatat dalam firman-Nya:

وَجَآءَ مِنۡ أَقۡصَا ٱلۡمَدِينَةِ رَجُلٞ يَسۡعَىٰ قَالَ يَٰقَوۡمِ ٱتَّبِعُواْ ٱلۡمُرۡسَلِينَ

Maksudnya: “Dan (semasa Rasul-rasul itu diancam), datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, lalu memberi nasihat dengan katanya: “Wahai kaumku! Turutlah rasul-rasul itu.”

Surah Yasin (20)

Mengikut Sa`di Abu Jaib, antara maksud sa`ie itu ialah kerja, usaha dan mengambil upah. (Lihat al-Qamus al-Fiqhi Lughtan wa Istilahan, hlm. 173).

Pada istilahnya iaitu berjalan antara Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali pergi dan balik selepas tawaf haji dan umrah. (Lihat al-Muhazzab, 2/769).

Amalan sa`ie adalah wajib mengikut pendapat ulama’ Hanafi. Sedangkan ia menjadi rukun mengikut jumhur ulama’ termasuk mazhab Syafi’e. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 3/180).

Adakah Mas`a termasuk dalam hukum Masjid al-Haram?

Mungkin timbul persoalan, adakah Mas`a termasuk dalam masjid al-Haram dan mengambil hukumnya seperti hendaklah perempuan yang berada di dalamnya suci daripada haidh. Ini menjad perbincangan di kalangan ulama’ dan juga di dalam kitab-kitab feqah.

Al-Majma’ al-Fiqhi al-Islami (Islamic Fiqh Council) dibawah Rabitah al-‘Alam al-Islami dalam persidangannya ke-14 pada 20 Syaaban 1415H bersamaan 21 Januari 1995 telah membuat keputusan dengan pendapat ramai : “Bahawa Mas`a selepas dibina bersambung dengan binaan Masjid al-Haram tidak termasuk dalam binaan dan hukum Masjid al-Haram”.

Mas`a ialah suatu masy’ar (tempat ibadat) yang tersendiri, Allah SWT berfirman :

إِنَّ ٱلصَّفَا وَٱلۡمَرۡوَةَ مِن شَعَآئِرِ ٱللَّهِۖ

Maksudnya : “Sesungguhnya “Safa” dan “Marwah” itu ialah sebahagian daripada syiar (lambang) agama Allah.”

Surah al-Baqarah (158)

Begitu juga mengikut pendapat jumhur ulama’ antaranya ialah imam mazhab empat. Dari segi hukum adalah harus melakukan solat padanya dan berimamkan imam Masjid al-Haram, sama seperti tempat suci lain. Orang yang berhadas besar, haid, junub boleh duduk dan melakukan sa`ie, namun adalah disunatkan untuk melakukan  sa`ie dengan berwudhuk.

Berdasarkan keterangan di atas, jika mengambil pendapat Majma’ FIqh Islami, maka tidak sah iktikaf di tempat mas’a kerana tidak dianggap sebagai masjid. Saya juga bersetuju dengan pendapat tersebut kerana kepentingan mas’a sebagai tempat saie hendaklah dikekalkan dan orang yang dalam keadaan uzur seperti haid boleh bersaie dengan syarat ketika tawaf dia masih dalam keadaan suci. 

Firman Allah SWT:

ۚ وَلَا تُبَاشِرُوهُنَّ وَأَنتُمْ عَاكِفُونَ فِي الْمَسَاجِدِ ۗ 

Maksudnya: “Dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid.”

Surah al-Baqarah (187)

Nas ini menunjukkan antaranya beriktikaf hanya dalam masjid.

Begitu juga, mas’a sentiasa sibuk dengan orang yang sedang bersaie dan jika kita beriktikaf di situ, jika ramai sudah tentu mengganggu mereka. Oleh itu, masuklah ke dalam Masjidil Haram untuk iktikaf.

Akhir kalam, marilah kita berdoa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Bertarikh: 22 Jun 2023 bersamaan 3 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply