Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada persoalan, apakah hukum seseorang yang bernazar untuk tidak melakukan maksiat, kemudian melanggar nazar tersebut?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji mendefinisikan nazar sebagai mewajibkan ke atas diri sendiri suatu perbuatan qurbah (ibadah yang mendekatkan diri dengan Allah) yang tidak diwajibkan oleh syara‘ (ke atas dirinya), sama ada secara mutlak atau pun dengan menta‘liqkan (iaitu mengaitkan) dengan suatu perkara. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/21)

Sebelum menjawab persoalan di atas, kami nyatakan terlebih dahulu secara ringkas pandangan ulama’ berkenaan nazar untuk meninggalkan maksiat. Terdapat dua pandangan:

  • Pertama, pandangan yang mengatakan bahawa nazar itu tidak sah. Maka orang yang bernazar tersebut tidak diwajibkan kaffarah baginya, sebaliknya dia perlu beristighfar, bertaubat dan berazam untuk tidak mengulanginya.
  • Kedua, pandangan yang mengatakan bahawa nazar itu sah. Maka diwajibkan untuk membayar kaffarah sekiranya dia melanggar nazar tersebut.

Majoriti ulama’ cenderung mengatakan bahawa nazar untuk meninggalkan maksiat tidak sah hukumnya. Hal ini kerana hukum asal meninggalkan maksiat itu adalah wajib, dan nazar pula dibuat untuk mewajibkan sesuatu yang tidak diwajibkan oleh syara‘ pada asalnya. Ia seakan mewajibkan perkara yang sudah sedia wajib pada kita, dan hal ini disebutkan oleh ulama’ sebagai tahsil al-hasil (تَحْصِيلُ الْحَاصِلِ), iaitu menghasilkan sesuatu yang sudah dihasilkan sebelumnya.

Ia merupakan pandangan Mazhab Hanbali dan Mazhab al-Syafi‘i seperti yang disebutkan oleh Ibn Qudamah al-Maqdisi, katanya “Jika dia bernazar untuk melakukan sesuatu yang wajib seperti solat fardhu, maka ashab Hanbali berkata bahawa nazarnya tidak sah. Dan itu adalah pandangan para ashab al-Syafi‘i, kerana nazar itu wajib, dan tidak sah bernazar melakukan apa yang telah diwajibkan untuknya.” (Lihat al-Syarh al-Kabir ‘ala al-Muqni‘, 28/172)

Syeikh Abu al-Hasan al-‘Adawi berkata bahawa nazar wajib tidak ada makna, hal ini  kerana ia adalah tahsil al-hasil (تَحْصِيلُ الْحَاصِلِ). (Lihat Hasyiah al-‘Adawi ‘ala Kifayah al-Talib al-Rabbani, 2/28)

Suka untuk kami mengingatkan supaya kita tidak bermudah-mudahan untuk bernazar dengan sesuatu perkara. Hal ini kerana Rasulullah SAW pernah bersabda:

لَا تُنْذِرُوا، فَإِنَّ النَّذْرَ لَا يُغْنِي مِنْ الْقَدَرِ شَيْئًا، وَإِنَّمَا يُسْتَخْرَجُ بِهِ مِنْ الْبَخِيلِ

Maksudnya: “Janganlah kamu untuk bernazar (dengan sesuka hati), kerana sesungguhnya nazar tidak akan mengubah daripada takdir yang telah ditentukan Allah SWT sedikitpun. Hanyasanya ia dikeluarkan daripada orang yang bakhil.”

Riwayat Muslim (1640)

Ibn Qudamah mengatakan bahawa bernazar tidaklah digalakkan. Hal ini kerana Ibn Umar R.Anhuma berkata bahawa Nabi SAW melarang untuk bernazar sambil bersabda, “Kerana sesungguhnya nazar tidak akan mengubah daripada takdir yang telah ditentukan Allah SWT sedikitpun. Hanyasanya ia dikeluarkan daripada orang yang bakhil.”

Hal ini menunjukan bahawa ia adalah larangan yang membawa maksud makruh dan bukannya haram. Sekiranya nazar itu haram, Allah SWT tidak akan memuji orang yang menunaikan nazar kerana dosa mereka ketika terjerumus pada yang haram itu lebih berat dibandingkan dengan ketaatannya dalam menunaikan (janjinya). Sekiranya nazar itu digalakkan, pasti Nabi SAW dan para sahabat yang mulia akan melakukannya. (Lihat al-Mugni, 10/68)

Langgar Nazar Meninggalkan Maksiat

Hukum asal bagi mereka yang melanggar nazar yang telah dibuat adalah wajib membayar kaffarah seperti mana kaffarah sumpah.

Telah diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma secara mauquf:

مَنْ نَذَرَ نَذْرًا لَمْ يُسَمِّهِ فَكَفَّارَتُهُ كَفَّارَةُ يَمِينٍ، وَمَنْ نَذَرَ نَذْرًا لاَ يُطِيقُهُ فَكَفَّارَتُهُ كَفَّارَةُ يَمِينٍ، وَمَنْ نَذَرَ نَذْرًا أَطَاقَهُ فَلْيَفِ بِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang bernazar suatu nazar yang tidak dinyatakan (jenisnya), maka kaffarahnya ialah kaffarah sumpah. Sesiapa yang bernazar melakukan maksiat, maka kaffarahnya adalah kafarrah sumpah. Sesiapa yang bernazar dengan suatu nazar yang tidak mampu dilaksanakannya maka kaffarahnya ialah kaffarah sumpah, sesiapa yang bernazar dengan nazar yang mampu dilaksanakannya, maka hendaklah dia melaksanakan nazar tersebut.”

Riwayat Abu Dawud (3322) dan Ibn Majah (2128)

Adapun kaffarah yang wajib baginya sebagaimana yang disebutkan di dalam firman Allah SWT:

فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ ۖ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ ۚ ذَٰلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ ۚ وَاحْفَظُوا أَيْمَانَكُمْ ۚ

Maksudnya: “Maka kaffarahnya adalah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah – peliharalah sumpah kamu.”

(Surah al-Ma’idah: 89)

Imam Al-Sabuni mengatakan bahawa kewajipan melaksanakan kaffarah sumpah adalah mengikut turutan kemampuan seperti berikut:

  • Membebaskan hamba yang beriman.
  • Memberi makanan yang mengenyangkan kepada 10 orang fakir miskin, lazimnya makanan asasi yang dimakan oleh keluarga. Boleh juga disediakan wang dengan nilai makanan tersebut.
  • Membekalkan pakaian yang lengkap kepada 10 fakir miskin.
  • Jika tidak dapat menyediakan semua perkara di atas, maka hendaklah berpuasa selama tiga hari.

(Lihat Safwah al-Tafasir, 1/263)

Kembali kepada persoalan, apabila melanggar nazar meninggalkan maksiat, pandangan yang yang kuat mengatakan bahawa orang yang melanggar nazar tersebut tidak diwajibkan baginya membayar kaffarah.

Bahkan yang wajib baginya apabila melakukan maksiat adalah bersegera melakukan taubat. Ini jelas berdasarkan firman Allah SWT:

وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

(Surah al-Nur: 31)

Firman Allah SWT di dalam ayat lainnya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَّصُوحًا عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَن يُكَفِّرَ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu.”

(Surah al-Tahrim: 8)

Akan tetapi, sebagai langkah berjaga-jaga (ihtiyat) boleh bagi seseorang untuk membayar kaffarah sebagai jalan keluar daripada perbezaan pandangan yang terdapat dalam masalah ini.

Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa para ulama’ menggalakkan seseorang untuk keluar daripada perselisihan pandangan, jika ia tidak menyebabkan seseorang melanggar sunnah lainnya atau terjerumus ke dalam perselisihan yang lain. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 2/23)

Disebutkan di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah bahawa majoriti fuqaha’ berpendapat bahawa sunat untuk meraikan perbezaan pendapat, dengan cara menjauhi apa yang diselisihi pada pengharamannya, dan melakukan apa yang diselisihi pada kewajipannya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 36/332)

Kesimpulan

Pertamanya, nazar merupakan hal yang penting untuk difahami oleh umat Islam. Terkadang-kadang kelemahannya apabila bernazar pada perkara yang harus atau pada perkara yang wajib atau pada perkara yang haram. Kesemua perkara tersebut sebenarnya tidak mendatangkan pahala kera ia merupakan perkara yang harus. 

Begitu juga yang wajib, kerana tanpa nazar ia tetap wajib. Sebab itu para ulama’ berkata, “Apabila seseorang itu bernazar untuk melakukan haji, sedangkan atasnya ada haji Islam, maka wajib baginya haji Islam dahulu. Dan wajib juga baginya haji nazar tersebut pada tahun seterusnya.”

Begitu juga dengan isu perkara haram yang wajib ditinggalkan dan haram melaksanakannya, apabila seseorang itu bernazar untuk meninggalkan yang haram, maka samalah seperti seseorang yang bernazar untuk melakukan perkara yang wajib. 

Kebanyakan nas menunjukkan nazar pada perkara yang sunat, yang dengan sebab nazar akan jadi wajib, seperti: “Jika aku berjaya dalam peperiksaan, aku bernazar untuk puasa 3 hari.” Ini bermakna, jika dia berjaya maka hendaklah dia berpuasa 3 hari, bukan puasa Ramadhan atau puasa kaffarah.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Ya Rabb kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari seksa api neraka.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 23 Jun 2023 bersamaan 4 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply