Soalan:

Apakah hukum membaca ayat quran dan zikir zikir tertentu untuk meminta hajat daripada Allah SWT?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ

Maksudnya: Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.

Surah Ghafir (60)

Zikir merujuk kepada lafaz-lafaz tertentu yang disyariatkan oleh Allah SWT seperti membaca al-Qur’an, menyebut nama-nama dan sifat-sifat-Nya yang Maha Tinggi dengan bibir atau di dalam hati sebagaimana yang termaktub di dalam al-Qur’an, atau pun lafaz-lafaz yang disyariatkan menerusi lidah Rasulullah SAW yang memberi erti pujian, penyucian, pengudusan dan pengesaan terhadap Allah SWT. (Lihat al-Zikr wa Atharuh fi Dunya al-Muslim wa Akhiratih, hlm. 17-20)

Maka ini bermakna, zikir pada asasnya adalah sesuatu yang amat dituntut di dalam agama. Bahkan ayat-ayat al-Qur’an banyak menyentuh tentang perintah supaya kita berzikir kepada Allah SWT. Ada antara perintah tersebut berbentuk wajib seperti berzikir mengingati Allah SWT melalui solat lima waktu sebagaimana firman Allah SWT:

إِنَّنِي أَنَا اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدْنِي وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي

Maksudnya: “Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati daku.”

Surah Taha (14)

Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami nyatakan hukum membaca ayat al-Quran dan zikir yang tertentu bagi meminta hajat, adalah dibolehkan. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ ۙ وَلَا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلَّا خَسَارًا

Maksudnya: “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Aya-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.”

Surah al-Isra’ (82)

Ibnu Kathir menjelaskan bahawa makna dari surah al-Isra’ ayat 82 adalah bahawa al-Quran dapat menghilangkan segala penyakit yang ada di dalam hati, seperti syak (keragu-raguan), nifaq (kemunafikan), syirik (penyekutuan terhadap Allah), zaig (penyimpangan dari kebenaran), dan ma’il (kecenderungan pada keburukan). Al-Quran dapat menyembuhkan segala penyakit tersebut. Al-Quran juga menjadi rahmat, kerana dapat menghasilkan atau mendatangkan keimanan, hikmah (kebijaksanaan), dorongan pada kebaikan, dan kegemaran untuk berbuat baik. Semua hal tersebut hanya dapat diraih oleh orang-orang yang beriman pada al-Quran, membenarkannya, serta mengikuti petunjuk yang ada di dalamnya. Demikianlah al-Quran menjadi syifa’  dan rahmat yang sebenar-benarnya (Lihat Tafsir Ibnu Kathir, 1997).

Al-Syaukani menjelaskan telah terjadi ikhtilaf  di kalangan ahlul ilmi terkait makna “syifa‘”—dalam Al-Isra ayat 82 tersebut— dengan dua pendapat; 

Pendapat pertama, al-Qur’an sebagai ubat bagi qalbun (hati) untuk menghilangkan kejahilan, keragu-raguan, serta menyingkap penyimpangan tentang hal-hal yang berkaitan dengan (wujud) Allah SWT; 

Pendapat kedua, bahawasanya al-Quran sebagai ubat bagi penyakit-penyakit zahir —seperti pusing, demam, infeksi, bengkak disengat sesuatu, dan sebagainya. Dengan cara ruqyah dan ta’awwudz (memohon perlindungan kepada Allah). Tidak ada keberatan (perdebatan) terkait syifa’ yang memiliki dua makna. Ini termasuk dalam bab keumuman majaz atau termasuk dalam bab musytarak (lafaz yang memiliki dua makna atau lebih). (Lihat Fath al-Qadir, 2007).

Daripada Abu Sa’id Al-Khudri RA, katanya:

أَنَّ نَاسًا مِنْ أَصْحَابِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانُوا فِي سَفَرٍ، فَمَرُّوا بِحَيٍّ مِنْ أَحْيَاءِ الْعَرَبِ، فَاسْتَضَافُوهُمْ فَلَمْ يُضِيفُوهُمْ، فَقَالُوا لَهُمْ : هَلْ فِيكُمْ رَاقٍ ؟ فَإِنَّ سَيِّدَ الْحَيِّ لَدِيغٌ أَوْ مُصَابٌ. فَقَالَ رَجُلٌ مِنْهُمْ : نَعَمْ. فَأَتَاهُ، فَرَقَاهُ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ، فَبَرَأَ الرَّجُلُ، فَأُعْطِيَ قَطِيعًا مِنْ غَنَمٍ، فَأَبَى أَنْ يَقْبَلَهَا، وَقَالَ : حَتَّى أَذْكُرَ ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. فَأَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَذَكَرَ ذَلِكَ لَهُ، فَقَالَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَاللَّهِ مَا رَقَيْتُ إِلَّا بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ. فَتَبَسَّمَ وَقَالَ : “ وَمَا أَدْرَاكَ أَنَّهَا رُقْيَةٌ ؟ “ ثُمَّ قَالَ: “خُذُوا مِنْهُمْ، وَاضْرِبُوا لِي بِسَهْمٍ مَعَكُمْ.

Maksudnya: “Bahawa ada sekelompok sahabat Rasulullah SAW dahulu berada dalam musafir, lalu melewati satu perkampungan Arab. Waktu itu, mereka meminta untuk menjadi tetamu, namun penduduk kampung tersebut enggan untuk menjamu mereka. Penduduk kampung tersebut lantas bertanya kepada para sahabat, “Apakah di antara kamu ada yang boleh meruqyah (merawat) kerana pembesar kampung kami tersengat binatang atau terserang demam?” Ada seorang sahabat menjawab, “Ya, ada”  Lalu ia (salah satu sahabat) pun mendatangi pembesar tersebut dan meruqyahnya dengan membaca surah Al-Fatihah. Pembesar tersebut pun sembuh. Lalu yang membacakan ruqyah tadi diberikan (hadiah) selembah daripada kambing, namun ia enggan menerimanya sampai kisah tadi diceritakan terlebih dahulu pada Nabi SAW. Lalu ia mendatangi Nabi SAW dan menceritakan kisahnya tadi pada beliau. Ia berkata, “Wahai Rasulullah, demi Allah aku tidaklah meruqyah melainkan hanya membacakan surah Al-Fatihah.” Rasulullah SAW lantas tersenyum dan berkata, “Bagaimana engkau boleh tahu Al-Fatihah adalah (surah yang dapat dijadikan) ruqyah?” Beliau pun bersabda, “Ambillah kambing itu dari mereka dan berikan untukku sebahagiannya bersama kamu.” 

Riwayat Muslim (2201)

Misalnya, dalam perubatan syifa juga, terdapat ayat-ayat al-Quran yang khusus, yang mana dibaca oleh perawat Islam bagi memulihkan pesakit dari gangguan jin dan seumpama. Namun, perkara yang mesti dipastikan ialah ayat-ayat al-Quran yang dibaca itu mestilah betul dan zikir-zikir yang tidak bercanggah dengan syarak.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 23 Jun 2023 bersamaan 4 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply