Soalan:     

Assalamualaikum w.b.t. Dato’ Seri. Saya ada soalan. Ada kawan Chinese Muslim saya ajak saya makan makanan tradisi mereka iaitu Bak Kut Teh di rumahnya. Katanya, ia halal dan tak guna babi serta bahan-bahan yang tidak halal. Sebenarnya, bolehkah saya memakannya, sebab setahu saya perkataan “Bak” itu sendiri merujuk kepada babi? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Bak Kut Teh

Kami mulakan dengan menerangkan terlebih dahulu apakah yang dimaksudkan dengan Bak Kut Teh tersebut. Bak Kut Teh merupakan sejenis hidangan sup berserta daging rusuk (terutamanya babi) yang dimasak dalam herba tradisi Cina yang berasal dari Klang, Malaysia. Herba dan ginseng dicampur bukan sahaja sebagai perasa tetapi juga menambah khasiat. Pelbagai jenis cendawan sering kali ditambah kepada hidangan dan biasanya dihidangkan dalam mangkuk tembikar Cina. Pada masa kini terdapat karung Teh Bak Kut, yang mengandungi semua ramuan yang diperlukan. Ini memudahkan penyediaan Bak Kut Teh. Bak Kut Teh seringkali dijadikan hidangan sarapan, atau makan tengahari.

Bak Kut Teh biasanya menggunakan daging babi sebagai bahan asasnya, namun ada yang menggunakan daging lembu dan ayam. Bak Kut Teh berasal dari Klang, Malaysia dan ia kini popular disajikan di sekitar rantau Asia tenggara seperti Singapura, Thailand, Korea Selatan dan Kepulauan Riau.

Dari segi asal usulnya, Bak Kut Teh telah diperkenalkan kepada Malaya pada kurun ke-19 oleh pekerja dan kuli cina yang berketurunan Hokkien. Hidangan ini dilaporkan sebagai diet tambahan tidak seberapa kepada kuli pelabuhan dan sebagai tonik untuk meningkatkan kesihatan mereka. Orang Teochew datang kemudiannya dan perbezaan utama antara Bak Kut Teh Hokkien dan Bak Kut Teh Teochew adalah yang Hokkien menggunakan kicap pekat yang menyebabkan permukaan sup menjadi lebih gelap. Perkataan Cina yang merujuk kepada daging atau secara khususnya babi, sekarangnya disebut sebagai “Ba” dalam loghat Min-nan dan loghat Teochew di selatan China. Walau bagaimanapun, nama hidangan ini iaitu “Bak Kut Teh” masih mengekalkan sebutan lama “Bak” yang digunakan di selatan wilayah Fujian dan di timur wilayah Guangdong sebelum kurun ke-19.[1]

Pengharaman daging babi

Sebagaimana yang kita telah ketahui, para fuqaha telah bersepakat akan kenajisan daging babi sekalipun disembelih. Hal ini berdasarkan nas al-Quran yang telah menyebutkan bahawa babi adalah najis secara zatnya. Maka dagingnya dan kesemua bahagiannya sama ada bulu, tulang dan kulit adalah najis sekalipun disembelih. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 1/302). Firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya).”

(Surah al-Ma’idah: 3)

Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan bahawa pengharaman babi itu meliputi semua bahagiannya sehingga pada lemak dan kulitnya. Adapun dikhususkan dengan menyebut dagingnya sahaja kerana ia merupakan kebanyakan bahagian yang dimakan. Sesungguhnya syarak telah melarang untuk mengambil manfaat daripada semua bahagian babi. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 6/77). Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah.’

(Surah al-An‘am: 145)

Begitu juga di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah ada dinukilkan perkataan al-Alusi bahawa dikhususkan dengan menyebut dagingnya, sedangkan baki bahagiannya yang lain juga adalah dihukumkan sebagai najis, berbeza dengan pendapat ulama dalam kalangan mazhab Zahiri kerana ia merupakan kebanyakan bahagian daripada haiwan yang dimakan. Manakala baki bahagian-bahagiannya yang lain pula adalah mengikuti hukumnya — yakni hukum daging itu. Menurutnya, pengkhususan dengan menyebut dagingnya itu adalah bertujuan bagi menzahirkan keharaman apa yang dianggap baik dan disukai pada seluruh daging serta membesarkan lagi tanda pengharamannya itu.

Selain daripada itu, dhamir pada ayat “أَوْ لَحْمَ خِنْزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ”, dalam kaedah bahasa Arab ia akan kembali yang terdekat disebutkan iaitu perkataan ‘babi’ itu sendiri. Maka, sahihlah dengan al-Quran bahawa babi itu zatnya adalah kotor dan najis. Sesuatu yang kotor dan najis adalah haram dan wajib dijauhi. Justeru, babi itu keseluruhannya adalah haram dan tidak terkeluar daripada hukum haram itu sama ada bulunya mahupun selainnya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/140-141).

Hukum Bak Kut Teh

Pada asasnya, hukum asal bagi makanan dan minuman adalah halal melainkan terdapatnya dalil yang menyatakan hal sebaliknya. (Lihat Raudhah al-Talibin, 3/271; al-Raudh al-Murbi‘ Syarh Zad al-Mustaqni‘, hlm. 685). Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

(Surah al-Baqarah: 29)

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2). Justeru, diharuskan untuk memakan semua makanan yang suci lagi bersih, bukannya makanan yang bernajis mahupun mutanajjis (terkena najis), dan yang tidak ada kemudaratan padanya seperti racun dan seumpamanya. Oleh itu, termasuklah yang diharuskan untuk makan itu adalah kasturi — kerana ia adalah suci dan tidak memudaratkan —dan seumpamanya seperti biji-bijian, buah-buahan dan lain-lain yang terdiri daripada benda-benda yang suci. (Lihat al-Raudh al-Murbi‘ Syarh Zad al-Mustaqni‘, hlm. 685).

Tambahan lagi, kenyataan ini disokong dengan kaedah fiqh yang dipersetujui para ulama:

الأَصْلُ فِي الأَطْعِمَةِ الْحِلُّ، وَلاَ يُصَارُ إِلَى التَّحْرِيمِ إِلاَّ لِدَلِيلٍ خَاصٍّ

Maksudnya:Hukum asal bagi makanan adalah halal dan hukumnya tidak berubah kepada haram melainkan terdapat dalil khusus.” (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/124-125).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, jika suatu makanan itu adalah bersumberkan daripada bahan-bahan yang halal dan tidak ada sebarang bahan yang bernajis mahupun tidak halal digunakan, maka makanan itu dihukumkan sebagai halal dan diharuskan untuk memakannya. Hal ini kerana ia kembali kepada hukum asalnya iaitu halal dan harus untuk dimakan.

Namun, jika bahan asas makanan tersebut terdiri daripada bahan-bahan yang tidak halal dan bernajis, maka ia dihukumkan sebagai haram untuk dimakan oleh orang Islam. Oleh itu, jelaslah bahawa hidangan Bak Kut Teh yang berasaskan kepada daging rusuk babi dan bahan-bahan yang tidak halal adalah haram untuk dimakan oleh orang Islam kerana terdapatnya dalil yang jelas berkenaan pengharaman babi dan bahan-bahan bernajis. Firman Allah SWT:

وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: “Dan dia mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”

(Surah al-A‘raf: 157)

Fakhruddin al-Razi menyebutkan, ayat ini menunjukkan kepada pengharamannya. Jadi, semua najis adalah khaba’ith, maka wajib untuk berpendapat dengan keharamannya. Selain itu, umat juga telah bersepakat bahawa haram untuk memakan benda-benda najis. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 13/168-169).

Akan tetapi jika Bak Kut Teh itu tidak menggunakan daging babi sebagai bahan asas utamanya, tetapi menggunakan daging dan ayam yang halal (sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak), di samping bahan-bahan lain yang dimasukkan di dalamnya juga adalah halal dan bukan najis, maka hukumnya adalah halal dan harus untuk dimakan. Sekadar memanggil hidangan tersebut dengan nama asalnya iaitu Bak Kut Teh (yang mana makna asalnya merujuk kepada sejenis hidangan berasaskan bahan babi), tidaklah memberi sebarang kesan mahupun hukum ke atasnya kerana kaedah ada menyebutkan:

العِبْرَةُ بِحَقَائِقِ الأَشْيَاءِ لاَ بِأَسْمَائِهَا

Maksudnya: “Hukum sesuatu itu diambil kira berdasarkan kepada hakikatnya dan bukan pada namanya.”

Justeru, kami berpendapat tidak mengapa saudara yang bertanya memakan hidangan Bak Kut Teh yang disediakan oleh kawan Cina Muslim saudara kerana jelas dia menyebutkan semua bahan-bahannya adalah halal. Akan tetapi bagi hidangan Bak Kut Teh di restoran-restoran luar yang mendakwa ia adalah halal tetapi tidak dapat dipastikan kehalalannya secara jelas, sebaik-baiknya jauhkanlah diri daripada memakannya. Jadilah seorang pengguna Muslim yang bijak dengan menjauhkan diri daripada apa jua bentuk makanan yang meragukan. Lebih-lebih lagi makanan atau hidangan yang jelas mempunyai hubungan dengan perkara yang dilarang syarak seperti daging babi.

Kami syorkan agar Bak Kut Teh yang tidak menggunakan daging babi tetapi diganti dengan daging-daging yang lain seperti lembu, kambing biri-biri maka alangkah eloknya ditukar nama dengan meletakkan tambahan yang sesuai pada hadapannya tapi boleh dikekalkan Kut Teh di belakangnya. Contohnya:

  • Niu Kut Teh yang memberi makna daging lembu
  • Shanyang Kut Teh yang memberi makna daging kambing

Ini untuk menghindarkan sebarang keraguan bagi mereka yang ingin merasa makanan seperti Bak Kut Teh yang tidak menggunakan khinzir. Kami yakin dan percaya, jika ini dapat dipromosikan, sudah tentu ia memberi peluang perniagaan yang besar dan masyarakat Islam juga kemungkinan menjadi pelanggan utama untuk merasa menu tersebut. 

Terdapat riwayat daripada al-Hasan bin Ali R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لاَ يَرِيبُكَ فَإِنَّ الصِّدْقَ طُمَأْنِينَةٌ وَإِنَّ الْكَذِبَ رِيبَةٌ

Maksudnya: “Tinggallah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan, kerana sesungguhnya kebenaran itu ialah suatu ketenangan dan dusta itu pula ialah suatu keraguan.”

Riwayat al-Tirmizi (2518) dan Ahmad (1723)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

[1] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Bak_Kut_Teh. Diakses pada 15 Jun 2023.

Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply