Soalan:

Assalamualaikum wrt. wbt. Saya ingin bertanya kalau zakat sampai haul dengan nisab. Tapi kita gunakan zakat tadi untuk bayar pinjaman adakah dibolehkan ustaz?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya : “Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” 

(Surah al-Taubah:103)

Al-Sa’di menyatakan bahawa Allah SWT memerintahlan kepada Rasul-Nya dan kepada orang yang memegang amanah (pemimpin)  supaya menyucikan orang-orang yang beriman daripada dosa-dosa dan akhlak yang buruk dan menyempurnakan iman mereka  dengan mengambil zakat dari harta mereka sebagai sedekah iaitu zakat yang wajib. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm.350)

Imam al-Mawardi berkata dalam tafsirnya bahawa yang dimaksudkan dengan kalimah ‘sadaqah’ ialah sedekah menurut kalam Ibn Zaid dan keduanya ia bermakna zakat, menurut kata-kata ‘Ikrimah. (Lihat Tafsir al-Mawardi, 2/398)

Syeikh Dr. Wahbah Zuhaili menyatakan di dalam kitabnya bahawa para fuqaha’ berpendapat sedekah yang dimaksudkan di dalam ayat di atas adalah zakat yang diwajibkan kepada seluruh umat manusia. (Lihat Tafsir al-Wasit, 1/913)

Selain itu, kewajiban zakat juga boleh dilihat melalui hadith ketika Rasulullah SAW ingin mengutuskan Saidina Mu’az Ibn Jabal RA ke Yaman untuk berdakwah, lalu Rasulullah SAW bersabda:

فأخْبِرْهُمْ أنَّ اللَّهَ قدْ فَرَضَ عليهم صَدَقَةً تُؤْخَذُ مِن أغْنِيائِهِمْ فَتُرَدُّ على فُقَرائِهِمْ

Maksudnya: Maka khabarkanlah kepada mereka bahawa sesungguhnya Allah SWT telah menfardhukan ke atas mereka zakat, yang diambil daripada orang-orang kaya dan diberikan kepada orang-orang fakir miskin dalam kalangan mereka.”

Riwayat al-Bukhari (1496)

Menjawab bagi persoalan di atas, dapat kami nyatakan disini ialah seseorang yang memiliki harta dan  telah mencapai haul dan nisab maka wajib ke atasnya mengeluarkan zakat walaupun dia menanggung hutan. Dinukilkan dalam kitab fiqh al-Manhaji :  

Seseorang yang memiliki jumlah yang mencapai nisab dari harta yang perlu dikeluarkan zakat dan telah berlalu setahun sejak pemilikannya, maka wajib baginya untuk membayar zakat atas harta tersebut, meskipun dia memiliki hutang yang melebihi atau kurang dari nisab. Hal ini sama juga bagi seseorang yang memiliki modal untuk berdagang dan mencapai nisab setelah setahun berlalu sejak pemilikannya. Kewajipan membayar zakat tidak terpengaruh oleh hutang yang dimiliki  baik dalam bentuk modal dagangan atau yang lainnya. Hal ini kerana hutang adalah berhubung dengan tanggungan, sedangkan zakat berhubung dengan harta yang berada di bawah tangan seseorang dan wajib dikeluarkan. Jika zakat telah dibayar, maka harta tersebut menjadi milik penerima zakat, iaitu mereka yang berhak menerimanya. Jika zakat masih berada di tangan pemilik harta, maka zakat tersebut harus diberikan kepada mereka.” (Lihat Fiqh al-Manhaji, 2/69)

Terdapat athar yang diriwayatkan daripada Sain Bin Yazid bahawa Uthman R.anhu berkata :

هذا شَهْرُ زكَاتِكُمْ، فَمَنْ كَانَ عَلَيْهِ دَينٌ فَلْيُؤَدِّ دَيْنَهُ، حَتَّى تَحْصِلَ أَمْوَالكَمْ، فَتُؤَدُّونَ مِنْهُ الزَّكَاة “

Maksudnya : “Ini adalah bulan zakat kalian. Barangsiapa mempunyai hutang hendaklah dia menunaikan hutangnya sehingga harta kalian semua boleh dihitung dan diambil zakatnya.”

Riwayat Malik (525), al-Albani menilai hadis ini sebagai sahih dalam Irwa  al-Ghalil,hlm.850

Imam al-Nawai menyatakan : Tidak terhalang hutang itu daripada kewajipan zakat

(Lihat Minhaju al- Talibin,hlm. 72)

Imam al-Mawardi menyatakan bahawa pendapat yang menyatakan diwajibkan zakat bagi duit yang dipinjam adalah berdasarkan umum ayat dari surat Taubah ayat 103. Perkara ini dinyatakan oleh al-Mawardi di dalam kitabnya al Hawi al Kabir:

وَالدَّلَالَةُ عَلَى صِحَّةِ الْقَوْلِ الثَّانِي عُمُومُ قَوْله تَعَالَى: (خُذْ مِنْ أَمْوَالِهمْ صَدَقَةُ تُطَهِّرَهُمْ وتُزَكِّيهِمْ بِهَا)

Maksudnya: “Dalil atas pendapat kedua (diwajibkan zakat) adalah berdasarkan umum ayat Firman Allah “Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk);”

(Lihat al Hawi al Kabir 3/310)

Telah dinyatakan dalm Fatawa al-Lajnah al-Daimah bahawa : Hutang tidak menghalang daripada mengeluarkan zakat ini kerana Rasulullah SAW menghantar sahabat untuk mengutip zakat dan Baginda tidak pula menyuruh mereka bertanya adakah mempunyai hutang atau tidak. (Lihat al-Fatawa al-Lajnah al-Daimah, 9/189)

Berkaitan dengan menggunakan duit zakat untuk membayar pinjaman, kami nyatakan disini tidak dibolehkan kerana zakat itu adalah hak Allah SWT maka hak Allah lebih utama daripada hak sesama manusia . Oleh kerana itu tidak boleh bagi seseorang untuk menggunakan zakat bagi kepentingan dirinya sendiri, memperkaya harta peribadinya, atau melunaskan hutang.”  

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّار

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Surah al-Baqarah (201)

Wallahu A’lam

[1] Lihat  https://www.elbalad.news/3948532

Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply